Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menafikan dakwaan jentera Wanita UMNO Kuala Kangsar merajuk dan tidak memberi kerjasama terhadap kempen calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid.
Beliau berkata jentera Wanita UMNO Kuala Kangsar termasuk Wanita UMNO Negeri Perak dengan disokong jentera Wanita UMNO negeri-negeri memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kempen calon BN itu bagi pilihan raya negeri (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.
“Dakwaan itu memalukan, jika ada yang berkata jentera Wanita Kuala Kangsar merajuk, saya mahu buktikan seperti program hari ini, Ketua Wanita UMNO Kuala Kangsar (Aishah Halid) juga ada (hadir) bersama-sama kita.
“Malah jentera Wanita menjadi sebahagian daripada jentera BN di Kuala Kangsar keseluruhannya. Kita memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada calon,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Solat Duha/Hajat dan Tadarus Perdana anjuran Wanita UMNO di Masjid Ridzuaniah Kuala Kangsar Rabu.
Kenyataan Shahrizat itu kemudian disokong Aishah yang berkata dakwaan tersebut sebagai fitnah.
“Saya yang menjalankan amanah daripada ahli-ahli Wanita (UMNO ) Kuala Kangsar ingin menjelaskan bahawa dakwaan itu adalah fitnah. Segala gerak kerja kempen berjalan dengan baik, saya dan ahli telah turun ke semua PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan segalanya berjalan lancar setakat ini,” katanya.
Sebelum ini terdapat dakwaan bahawa jentera Wanita UMNO Bahagian Kuala Kangsar merajuk kerana terdapat calon yang disenaraikan untuk menjadi calon BN di Kuala Kangsar tidak terpilih termasuk Aishah.
Shahrizat berkata sebagai menghormati bulan Ramadan, jentera Wanita UMNO berkempen secara tertib dan beradab serta fokus pada memberitahu pengundi kelebihan calon BN itu dalam meneruskan perjuangan suaminya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar sebelum terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Mengulas mengenai kenyataan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary yang mempertikaikan calon wanita dalam PRK itu, Shahrizat berkata pendapat tersebut nyata ketinggalan zaman dan dangkal.
“Saya jadi kesian kepada individu yang membuat kenyataan sedemikian, kenapa tidak boleh wanita menjadi calon, dalam Islam wanita diletak di suatu tempat yang amat tinggi dan mulia sekali,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Shahrizat turut menyampaikan sumbangan kepada 100 anak yatim di kawasan Parlimen Kuala Kangsar berupa sumbangan dan keperluan Aidilfitri.
Beliau selepas itu melawat Pusat Media PRK Kuala Kangsar dan beramah mesra dengan warga media di sana.
Pengundian PRK Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini. PRK itu melibatkan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, PAN dan Bebas.