Showing posts with label lensa parlimen. Show all posts
Showing posts with label lensa parlimen. Show all posts

Tuesday, 22 August 2017

Pemimpin Akar Umbi Perlu Tangkas Sampaikan Kebenaran, Tangkis Persepsi - PM Najib


Pemimpin di peringkat akar umbi perlu tangkas dan berperanan lebih besar dalam menyampaikan kebenaran dengan sekali gus memperbetulkan persepsi negatif rakyat yang sering dikelirukan pembangkang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata pembangkang kerap kali gemar menyelewengkan fakta dan seterusnya disebar luaskan menerusi media sosial sehingga yang batil menjadi benar, dan sering kali juga kerajaan menjadi mangsa dalam permainan persepsi ini.


Justeru, katanya, sebagai pemimpin yang paling dekat dengan rakyat, pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) perlu cekap dalam peranan mereka, seiring dengan cabaran semasa.

"Beritahu orang kampung, jangan mudah terpedaya dengan apa yang ada dalam media sosial. Dalam media sosial banyak pembohongan dan banyak juga pendapat. Tolong bezakan antara pendapat, fakta dan realiti. Itulah tugasan kita hari ini.

"Kalau dulu lain kerana tidak ada media sosial, (malahan) peranan ketua-ketua kampung, setiausaha JKKK tidak seberat dan sekompleks hari ini. (Sebaliknya) Hari ini, peranan kita berbeza. Kita mesti tahu medium baharu, mesti tahu 'the new battlefield' (medan perang baharu) iaitu media sosial...bagaimana kita nak lawan perang persepsi dan bagaimana nak baca isi hati rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen JKKK/JKKP dan Anugerah Desa Perdana 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya Datuk Alexander Nanta Linggi antara pemimpin yang turut hadir pada konvensyen itu bersama-sama lebih 10,000 pemimpin JKKK, JKKKP dan JKKKOA dari seluruh negara.

Mengulas lanjut, perdana menteri berkata pembohongan dan dakyah pembangkang meliputi pelbagai cara dan kaedah hingga ada dalam kalangan anggota Parlimen pembangkang yang terdesak mengambil foto jalan balak di Sarawak dan kemudian ditularkan kononnya itulah pembangunan yang telah dibuat kerajaan pusat di Sarawak.

"Ia jelas satu pembohongan sebab jalan luar bandar yang ada hari ini sebenarnya jauh lebih baik. Malah kita bina jaringan Lebuh raya Pan Borneo tanpa tol untuk Sabah dan Sarawak sebagai hadiah kerana menyokong kita," katanya.

Najib berkata pembohongan itu tidak terhenti begitu sahaja malahan beliau dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor turut tidak terlepas daripada menjadi permainan bahan fitnah pembangkang.

"Saya juga sering menjadi mangsa pembohongan sebegini. Contohnya ada satu gambar saya di bilik hotel ketika di Beijing semasa melawat ke China. Isteri saya ada, menteri-menteri dan duta juga ada dengan saya tetapi dalam media sosial diviralkan (kononnya isteri saya hadir dalam mesyuarat jemaah menteri di Putrajaya.

"Sebab itulah kita mesti beritahu kepada rakyat bahawa apa-apa berita yang disampaikan, tolong selidik dahulu. Dalam Islam pun dianjurkan untuk kita guna konsep tabayyun, iaitu siasat (dan semak) dulu apa-apa berita yang disampaikan," kata perdana menteri.

jkk-1

Sehubungan itu, Najib meminta semua pihak supaya bersikap lebih rasional apabila menerima sebarang berita, termasuk berkaitan dalam aspek pembangunan negara kerana rakyat perlu sedar bahawa sebarang perancangan berkaitan pembangunan, sememangnya mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan.

Selain itu, perdana menteri juga berharap supaya rakyat dapat melihat bahawa kerajaan turut menghadapi kekangan-kekangan yang di luar kawalan seperti masalah kemelesetan harga minyak dunia yang turut menjejaskan pendapatan dan ekonomi negara.

"Daripada perdana menteri pertama sampai kepada perdana menteri keenam, kita perlukan kesinambungan untuk mencapai apa yang kita impikan.., kita perlukan masa. Kadang-kadang negara hadapi kemelesetan ekonomi dunia yang di luar daripada jangkauan kita.

"Kejatuhan harga minyak di luar kuasa kita. Saya hairan tak pernah berlaku di negara lain kalau harga minyak naik pemimpin dipersalahkan, Tapi di Malaysia harga minyak naik perdana menteri kena kutuk.

"Adakalanya ia bukan kerana perdana menteri, (malahan) Arab Saudi pun tak boleh kawal harga minyak dunia.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin akar umbi perlu mendidik rakyat untuk memahami perkaitan isu global dan isu nasional supaya mereka lebih jelas dan memahami cabaran yang dihadapi kerajaan sebelum membuat sesuatu kesimpulan.

"Saya pasti, rakyat akan sedar bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang terbaik terutama untuk masyarakat luar bandar. Dari segi komitmen peribadi, saya tidak akan meninggalkan pembangunan luar bandar.

"Bila soal kemudahan asas luar bandar sudah selesai kita fikir macam mana pula nak naikkan pendapatan masyarakat luar bandar. Inilah kerajaan kita yang sentiasa prihatin untuk masyarakat luar bandar," katanya.

Pada majlis itu, perdana menteri turut memperkenalkan Skim Insurans Berkelompok kepada semua JKKK, JKKKP dan JKKKOA berkuat kuasa awal tahun depan yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 265,000 golongan itu di seluruh negara.

Selain itu, Najib turut melancarkan Kad Identiti JKKK, JKKKP dan JKKKOA yang antara lain memberi diskaun kepada pemegang kad di beberapa lokasi terpilih, sebagai bukti komitmen bahawa kerajaan sentiasa menjaga kebajikan kumpulan itu.

Perdana menteri juga menyampaikan sijil kepada peserta yang mengikuti program Sijil Tadbir Urus Desa, yang merupakan program kerjasama antara Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Sementara itu, Kampung Baru Kemasik, Terengganu dinobatkan sebagai johan Anugerah Desa Perdana 2017 peringkat kebangsaan bagi kategori Kampung Tradisional, membawa pulang wang tunai RM100,000 dan hadiah berbentuk projek bernilai RM600,000.

Kampung Pengkalan Tereh, Johor pula muncul johan bagi kategori Kampung Orang Asli, manakala Rumah Bengau, Ng Sut, Kapit di Sarawak menjadi johan kategori Rumah Panjang, dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 dan hadiah berbentuk projek bernilai RM100,000.

Sebanyak 582 buah kampung menyertai pertandingan Anugerah Desa Perdana di peringkat daerah, 159 kampung di peringkat negeri dan bagi peringkat kebangsaan pula sebanyak 23 kampung dipilih mewakili negeri dalam kategori masing-masing. - Bernama

Sunday, 20 August 2017

Kerajaan Sedia Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat Tragedi Memali - TPM Zahid


TAIPING - Kerajaan bersedia menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat peristiwa Memali sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa, kata YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata keadilan perlu ditegakkan dan orang yang bertanggungjawab terhadap peristiwa itu mesti dipertanggungjawabkan.

“Saya selaku Menteri Dalam Negeri akan meneliti sendiri semua laporan mengenai peristiwa tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata dalam menegakkan undang-undang semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik.

Peristiwa Memali pada 19 Nov 1985 menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

Ahmad Zahid berkata bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam dalam bukunya bertajuk ‘Frankly Speaking’ ada menyebut bahawa beliau mendapat arahan untuk menghapuskan Kampung Memali kerana terdapat unsur keganasan dan militan yang dilakukan oleh pemimpin PAS.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata pemimpin yang mendakwa dirinya tiada dalam negara ketika tragedi tersebut berlaku, diminta mengakuinya.

“Peristwa Memali telah berlalu lebih dua dekad, namun kita harus ingat mangsa, keluarga, anak-anak yatim yang meninggal dunia dinafikan hak oleh pemerintah ketika itu.

“Akibatnya ia kini menjadi isu kerana darah dan nyawa yang hilang dipandang mudah oleh orang yang melaksanakan kuasa, tetapi tidak mudah dilupakan oleh mangsa,” katanya. - Bernama

'Mengapa Orang Melayu Perlu Tolak Pakatan Pembangkang' - Haji Hadi


Permuafakatan antara PAS dan UMNO adalah atas konsep 'taawun' iaitu penyatuan atau kerjasama dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Pendirian saya sama dengan pendirian PAS dan Majlis Syura Ulama. Bekerjasama atas konsep taawun dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan.

"Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 2: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan," katanya dalam temubual eksklusif bersama BH.


Abdul Hadi ditanya mengenai pendiriannya terhadap kemungkinan PAS dan UMNO mewujudkan kerjasama menjelang pilihan raya umum akan datang.

Mengenai dilema orang Melayu dan Islam yang dikatakan berada di persimpangan jalan sama ada memilih gabungan parti dominan Melayu Islam (UMNO dan PAS) atau gabungan parti pembangkang yang dikuasai dan dipandu DAP, menjelang PRU-14, beliau berkata berasaskan pelaksanaan Islam dan sejarahnya, adalah wajib ditegakkan pemerintahan dengan cara yang betul, bersama kepemimpinan negara beragama Islam daripada bangsa Melayu.

"Pada masa sama, wajib berlaku adil terhadap masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum, membabitkan mereka dalam urusan politik pemerintahan dan kehidupan bermasyarakat seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

"Hanya Islam yang mempunyai roh perhitungan beribadat kepada Allah dalam aspek pemerintahan dan ada perhitungan dosa dan pahala terhadap segala tindakan kerajaan, dapat memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan berkebajikan terhadap semua.

"Maka sokonglah parti yang benar-benar serius mempertahankan Islam dengan segala halangan dan rintangan, moga-moga rakyat selamat dan sejahtera bersama Islam," katanya. - BH Online

Saturday, 19 August 2017

Status Bebas Cukai Langkawi Kekal Selagi BN Memerintah - PM Najib


LANGKAWI - Status Langkawi sebagai pulau bebas cukai akan tetap dikekalkan selagi kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang terus memerintah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Katanya status yang telah melonjak mana pulau ini sebagai destinasi pelancongan antarabangsa telah memberi banyak manfaat kepada rakyat dan negara serta menjadi asas untuk merencanakan pembangunan Langkawi pada masa depan.

"Saya memberi komitmen (bahawa) kita akan terus mempertahankan Langkawi sebagai pulau bebas cukai sampai bila bila, malah akan menambahkan lagi dengan projek-projek lain, " katanya semasa berucap pada program Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan PPR dan Jeti Nelayan Chenang.

Menurut Najib, kejayaan untuk membawa pembangunan di Langkawi selama ini bukanlah kerana usaha seorang individu atau pemimpin UMNO sebelum ini sahaja tetapi dengan sokongan kuat daripada anggota parti yang dipimpinnya.

"Kita tidak boleh mengetepikan peranan institusi parti (dalam menjayakan rancangan pembangunan yang diilhamkan oleh seseorang pemimpin) dan dengan berpaksikan kepada keperibadian bukanlah jaminan perjuangan masa depan kita, "katanya.

Najib berkata dalam meneruskan pembangunan di Langkawi, kerajaan pimpinannya sedang berusaha menerapkan dua konsep pelancongan, iaitu menjadikan pulau ini sebagai "Monaco of the East " bagi mempromosi pelancongan mewah dan pelancongan untuk rakyat.

"Kita sudah meletakkan asasnya untuk membawa Langkawi ke fasa pembangunan seterusnya, " katanya.

Menurutnya pelaksanaan projek perumahan yang dilancarkannya hari ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kesulitan yang dihadapi oleh rakyat di pulau ini untuk memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata projek bernilai RM242 juta dan dijangka dapat disiapkan menjelang 2019 pada asalnya tidak tersenarai di dalam bajet tahunan namun diluluskan selepas mempertimbangkan rayuan daripada wakil-wakil rakyat Barisan Nasional di sini.

"Ini bukan projek politik sebab projek ini sedang dalam pelaksanaan dan kontraktor pun sudah memulakan kerja mereka, " katanya berhubung projek berkenaan yang melibatkan pembinaan lima blok perumahan 11 tingkat itu.

Menyentuh jeti nelayan Kampung Chenang yang turut dirasmikannya, Najib berkata projek yang diluluskan beliau dalam lawatannya sebelum ini dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 400 orang nelayan di pulau ini.

Beliau juga berkata para nelayan di Langkawi turut menerima bantuan bulanan bernilai RM300 sebulan selain menjadi sebahagian daripada kalangan rakyat yang menikmati sumbangan di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Sebagai pemimpin, (saya) kena dengar suara hati rakyat, ini mantera perjuangan kita, " katanya.

Beliau juga memberi jaminan untuk mempertimbangkan permintaan anggota Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, supaya hospital di pulau ini diperbesarkan lagi bagi menampung peningkatan penduduk dan pelancong di sini.

"Kita kena tengok dulu. Mungkin kita akan dapat masukkan dalam manifesto (pilihan raya) nanti, (kita akan laksanakan) kalau menang (pilihan raya) di Langkawi nanti, " katanya.

Friday, 18 August 2017

Jangan Biarkan PM Berseorangan Tangani Tohmahan - TPM Zahid


YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta rakyat khususnya anggota UMNO supaya tidak membiarkan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersendirian dalam menghadapi pelbagai tohmahan yang dilemparkan pembangkang.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO dan menggalas tugas-tugas Timbalan Presiden berkata usaha perdana menteri berdepan tindakan sedemikian daripada pembangkang walaupun membawa pembangunan dan kemajuan termasuk transformasi dalam pelbagai bidang demi memanfaatkan rakyat.

“Jangan biarkan perdana menteri kita berseorangan, kita kena bangun untuk tentukan bahawa apa yang dilakukan beliau adalah untuk kebaikan rakyat dan anggota UMNO di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu di Dewan Seri Serdang di sini.

Turut hadir Ketua UMNO bahagian merangkap Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta Anggota Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abd Rahim.

Ahmad Zahid berkata memandangkan bekas pemimpin utama UMNO yang menerajui serangan terhadap parti itu, semua anggota UMNO perlu memastikan bekas pemimpin itu tidak lagi relevan dalam politik di negara ini.

“Kita mesti tentukan bahawa UMNO dan Barisan Nasional dipimpin oleh mereka yang ada ketika ini,” katanya.

Thursday, 17 August 2017

PM Najib Mahu Pengundi Permatang Pauh Buat "U-Turn" Kepada BN

Post Pic

YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sudah tiba masanya bagi pengundi di Permatang Pauh membuat perubahan dengan memilih Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata parti pembangkang menggerakkan reformasi kira-kira 17 tahun lepas untuk melawan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi secara rasminya gerakan itu boleh dikatakan berkubur apabila orang yang dilawan dahulu, membuat pusingan 360 darjah, dan kini bekerjasama dengan pembangkang.

"Takkan tak boleh buat perubahan di Permatang Pauh sebab reformasi dah tak ada. Reformasi ditubuhkan nak lawan orang yang dikatakan diktator, maha firaun, maha zalim, tetapi orang itu yang didakap pula...dah dakap jadi pengerusi (pakatan harapan)).

"Mana (ada) lagi semangat reformasi, dah tak ada reformasi. Bila sudah tak ada, kita tutup buku lama, buka buku baharu, " katanya.

Najib menegaskan bahawa sudah sampai masanya penduduk mengubah pendirian apabila Dr Mahathir sudah banyak kali membuat pusingan-U.

"(Justeru) Tuan-tuan pun kena buatlah 'u-turn' di Permatang Pauh," katanya ketika berucap pada majlis Kenduri Bersama Rakyat di Politeknik Seberang Perai, di sini hari ini.

Najib berkata sudah tiba masanya pengundi di Permatang Pauh membuat perubahan itu selepas PKR juga dilihat gagal membuat perubahan sepanjang berbelas tahun mewakili kawasan itu.

"Tidak banyak perubahan di sini. Tak tahu apa peranan Anggota Parlimen (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) selama ini, " katanya.

Oleh itu penduduk boleh buat perubahan dengan mengundi BN di Permatang Pauh, tegas beliau.

Perdana menteri berkata pembangkang tidak perlu bermain sandiwara politik kerana penduduk sudah celik dan sedar, maka sudah sampai masanya untuk kepentingan rakyat dijaga dengan menjadikan Malaysia lebih maju, lebih hebat dan lebih cemerlang.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata berdasarkan sejarah, Permatang Pauh sememangnya kawasan kubu kuat BN tetapi landskap politik berubah pada tahun 1998 selepas Dr Mahathir memecat Anwar yang ketika itu timbalan perdana menteri.

Perdana menteri berkata BN tidak pernah putus hubungan untuk berkhidmat di kawasan Permatang Pauh walaupun kawasan itu telah lama diwakili pembangkang.

BN sentiasa menunaikan janji dan bukan seperti pembangkang yang berjanji tetapi tidak melaksanakan apa yang dijanjikan, katanya.

Sambil memberi contoh kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP, perdana menteri berkata kepimpinan kerajaan negeri membuat pelbagai janji, antaranya membina terowong dasar laut dan aerobus, tetapi sehingga kini belum dilaksanakan.

Kerajaan BN bina MRT dan melaksanakan pelbagai perkara untuk Malaysia sehingga dihargai oleh dunia, jauh berbeza dengan kerajaan negeri "berjanji (kadar) air tidak naik pun, (telah) empat kali (kadar) dinaikkan".

Kerajaan Komited Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik - PM Najib



Kerajaan komited dan akan terus memberikan tumpuan dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata konsep pembangunan yang menyeluruh dan holistik amat diperlukan bagi memastikan golongan itu mempunyai keupayaan dalam pemilikan ekuiti.

"Sebab itulah baru-baru ini saya ubah kriteria asal kepada konsep transformasi kesejahteraan. Bila kita tegaskan aspek kesejahteraan ia melibatkan antaranya soal pemilikan hartanah kerana pemilikan hartanah, pada saya lebih bermakna berbanding pemilikan saham kepada individu sebab tanah merupakan aset yang cukup tinggi nilainya kepada keluarga.

"Oleh itu, kita melihat soal pembangunan perumahan ini bukan semata-mata dari sudut projek ekonomi sahaja tetapi ia terangkum dalam konsep membangunkan rakyat, membangunkan golongan Bumiputera berasaskan kepada konsep kesejahteraan. Kesejahteraan bererti pemilikan hartanah," katanya berucap ketika melawat projek perumahan Casa Anggun, Sungai Nibong di sini hari ini.

Projek fasa kedua itu melibatkan pembinaan 340 unit rumah kos sederhana seluas 800 hingga 900 kaki persegi yang dijual pada harga permulaan RM324,000 iaitu 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran dan habis dijual dalam tempoh dua hari.

Turut hadir Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Pengerusi Barisan Nasional negeri Teng Chang Yeow, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Najib berkata agenda perumahan antara yang diberi keutamaan tinggi pada masa ini kerana rumah mampu milik adalah perkara yang paling dikehendaki dan diingini rakyat.

"Sejak saya mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, kita telah membuat penilaian apakah yang dikehendaki oleh rakyat dan antara yang dikehendaki mereka adalah rumah mampu milik. Rumah mampu milik ini amat dekat di hati rakyat. Justeru, kita telah memberi komitmen untuk melaksanakan satu juta rumah mampu milik di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata usaha melaksanakan kehendak rakyat itu meliputi pelbagai peringkat termasuk mengenal pasti tanah sama ada milik kerajaan atau swasta dan kerjasama agensi kerajaan sebagai contoh di Pulau Pinang, JKP Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Dalam pada itu, Najib berkata pihaknya akan mempertimbangkan permohonan JKP Sdn Bhd untuk membina 10,000 unit rumah mampu milik di dua bidang tanah milik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Gelugor dan Batu Maung di sini.

"Jika Kabinet luluskan, projek ini bakal menjadi kenyataan nanti. Inilah usaha-usaha yang kita dapat lakukan. Kita nak semua golongan dapat manfaat," katanya.

Terdahulu, Zainal Abidin ketika berucap berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan khas ke atas permohonan itu untuk membina 10,000 unit rumah mampu milik di tanah berkenaan demi memberi kesejahteraan kepada rakyat Pulau Pinang.- Bernama

Pekerja Asing Diwajibkan Menjalani Empat Sesi Pemeriksaan Kesihatan Dan Saringan Tambahan - TPM Zahid


Pekerja asing diwajibkan menjalani empat sesi pemeriksaan kesihatan dan saringan tambahan bagi mengelakkan peningkatan penyakit berjangkit bermula 1 Januari depan, kata YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

YAB Timbalan Perdana Menteri berkata, empat sesi pemeriksaan kesihatan adalah sebelum berlepas ke Malaysia, sebulan selepas berada di negara ini, pada akhir tahun pertama dan akhir tahun kedua.

Katanya, pekerja asing yang mengikat kontrak penggajian maksimum 10 tahun pula perlu menjalani pemeriksaan kesihatan tambahan setiap dua tahun.

"Mesyuarat hari ini turut mengambil maklum majikan cenderung menggajikan pekerja asing kerana kos lebih rendah.

"Kerajaan juga bersetuju meningkatkan levi secara progresif dan mewujudkan persekitaran lebih kondusif dan kompetetif bagi menggalakkan lebih banyak majikan menggajikan pekerja tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) Ke-17, yang kedua pada tahun ini, di Bangunan Parlimen, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kadar levi progresif mengikut bilangan pekerja asing yang digajikan akan dilaksanakan pada 2019, selepas selesai sesi perbincangan bersama pihak industri dan pihak berkepentingan.

Sementara itu, beliau berkata, pengambilan pekerja asing boleh dibuat melalui sistem atas talian iaitu Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA).

"Kerajaan berharap tiada lagi masalah orang tengah dalam urusan pengambilan pekerja asing, sekali gus isu ini dapat dibanteras secara holistik," katanya.

Setakat 31 Julai lalu, bilangan pekerja asing yang sah berkurangan kepada 1.75 juta orang berbanding 2.13 juta pada Disember 2015.

Mesyuarat itu turut membincangkan lapan perkara daripada enam kementerian.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan cadangan status semasa penggajian pekerja asing dan projek perintis kebenaran bekerja untuk pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Rohingya.

Jabatan Imigresen mencadangkan pendaftaran PATI dan majikan bagi pengeluaran kad penguatkuasaan (E-kad).

Kementerian Sumber Manusia mencadangkan penambahbaikan persekitaran penggajian pekerja asing dan cadangan model dan kadar baharu levi pekerja asing.

Kementerian Kesihatan mengemukakan cadangan memperkukuhkan semula pemeriksaan perubatan pekerja asing.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencadangkan garis panduan permohonan penempatan sementara pekerja asing di lokasi baharu dalam sektor pembuatan di bawah konsep 'factory-in-factory'.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mencadangkan Skim Khidmat Layan Diri (SKLD) di stesen minyak. -  BH Online




Wednesday, 16 August 2017

PM Najib Jamin Kerajaan Terus Sokong Projek PR1MA


YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan di bawah pimpinannya akan terus memberi sokongan kepada projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi mencapai visi membentuk komuniti berkualiti.

Katanya idea penubuhan PR1MA bukan sekadar untuk membina rumah sahaja, tetapi juga rumah yang dimiliki rakyat itu adalah berkualiti dan dibina dalam komuniti berkualiti dengan harga lebih rendah daripada pasaran.

"Sebagai contoh, projek PR1MA di Kuala Ketil, Kedah, bernilai RM235,000 seunit sedangkan harga rumah yang kurang berkualiti di seberang jalan RM295,000. Beza RM60,000. Ini contoh terbaik kejayaan PR1MA, ramai yang mampu miliki rumah kerana projek PR1MA," katanya pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama Rakan Bumiputera PR1MA, di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga memberi jaminan bahawa agenda Bumiputera akan terus menjadi bahagian penting daripada program PR1MA. Najib berkata soal membangunkan ekonomi Bumiputera bukan sahaja melibatkan saham tetapi juga kualiti rumah dan nilai tanah yang dibangunkan.

"Jika rumah berkualiti dibina di atas tanah berkualiti maka nilai akan melonjak dan sekali gus kekuasaan ekonomi Bumiputera juga akan melonjak," katanya.

Tambahnya rumah PR1MA juga perlu dilengkapi teknologi terbaik seperti "fibre to home", suatu format penghantar isyarat optik dari pusat penyedia ke kawasan pengguna menggunakan serat optik sebagai medium penghantaran, kerana beliau mahu melihat generasi akan datang membesar dalam ekosistem berkualiti.

"Bukan rumah robek, atap bocor, dinding reput. Kita tidak mahu lagi keadaan itu untuk generasi akan datang, sebab itulah kita bangunkan PR1MA," katanya.

Selain itu, katanya, satu daripada rasional mewujudkan PR1MA juga adalah untuk membangunkan komuniti profesional dan peniaga Bumiputera supaya mereka mendapat peluang untuk lebih berjaya.

Najib berkata Perbadanan PR1MA Malaysia telah memberikan kontrak bernilai lebih RM15 bilion kepada 574 firma Bumiputera untuk pelbagai kerja pembinaan, perundingan dan perkhidmatan sokongan bagi projek-projeknya.

"Ini jumlah yang besar sebagai komitmen untuk projek ini dan nilai yang dapat diagihkan kepada syarikat Bumiputera akan terus meningkat pada masa akan datang," katanya.

Bagi memberi sokongan kepada PR1MA, suntikan tambahan kerajaan kepada perbadanan itu akan ditentukan dalam sedikit masa lagi, sebagai tambahan kepada peruntukan RM3.9 bilion yang telah diagihkan, katanya.

"Soal kemampuan kewangan, ada yang sangsi sama ada PR1MA boleh berterusan secara mampan..PR1MA memerlukan suntikan tambahan dan kita akan beri jaminan sebagai sebuah kerajaan akan tetap beri sokongan kepada PR1MA supaya cukup kewangannya untuk melaksanakan projek," jelasnya.

Perdana Menteri berkata 80 peratus daripada rumah PR1MA yang ditawarkan setakat ini telah berjaya dijual.

Selain isu perumahan, Najib menegaskan soal pengangkutan awam, kos sara hidup, pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan turut menjadi agenda utama kerajaan. - Bernama

eVisa, eVCOMM Permudah Kedatangan Pelancong Tanpa Jejas Keselamatan Negara - PM Najib


YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Jabatan Imigresen melaksanakan tanggungjawab penting menentukan keselamatan dan kedaulatan negara terkawal dan terpelihara dengan baik sepanjang masa dari kemungkinan ancaman luar dalam dunia tanpa sempadan pada hari ini.



Beliau berkata perkhidmatan imigresen juga memainkan peranan cukup kritikal dalam menyambut dan memudahkan kemasukan pelancong dan pengunjung asing tulen ke Malaysia dari pengunjung percutian kepada pelabur dan juga pelajar.

Turut hadir pada majlis itu YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Najib menegaskan demikian ketika melancarkan dua inisiatif penting dilaksanakan Jabatan Imigresen iaitu eVISA dan Pusat Komunikasi eVISA (eVCOMM) untuk memudahcara kedatangan pelancong dan pengunjung tanpa menjejaskan keselamatan negara.

Menghuraikan mengenai program eVISA, Najib berkata ia merupakan suatu kemudahan atas talian yang mesra pengguna bagi membolehkan pelancong dan pelajar antarabangsa serta ekspatriat mendapatkan visa ke Malaysia dalam tempoh 48 jam tanpa perlu ke One Stop Centre atau kedutaan dan konsulat seperti dahulunya.




"Program eVISA ini bukan sahaja mampu membawa negara ke tahap keselamatan yang lebih tinggi, bahkan telah membantu mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih selamat untuk rakyat, pelancong dan komuniti perniagaan," katanya.

Beliau berkata kerajaan melaksanakan eVISA kepada warganegara dari China, India, Myanmar, Nepal dan Sri Lanka, diikuti dengan Pakistan, Bangladesh, Bhutan, Serbia dan Montenegro pada Mac tahun lepas dimana mereka boleh memohon eVISA dari mana sahaja di seluruh dunia.


Memuji strategi Jabatan Imigresen menubuhkan Hab Serantau eVisa, Najib berkata melalui lapan Hab Serantau eVISA, ia boleh memainkan peranan penting dalam memudahcara permohonan dan kelulusan eVISA kepada pemohon.

"Inisiatif ini secara tidak langsung, akan membuka dan meneroka peluang-peluang baharu yang lebih luas pasarannya, dengan anggaran lebih 100 juta diaspora dari 10 buah negara yang telah diberikan kemudahan eVISA, bertebaran di merata dunia," katanya.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan pembukaan dua lagi Hab Serantau eVISA iaitu di Brazilia, Brazil dan Moscow, Rusia menjelang akhir tahun ini.



Katanya, kedua-dua Hab Serantau eVISA itu masing-masing akan memudahcarakan permohonan dan kelulusan eVISA bagi 10 warganegara tersebut di rantau Amerika Selatan serta Eropah Timur dan Asia Tengah.

Najib berkata, semasa melawat China dan India, beliau telah menerima cadangan bagi memudahkan proses kemasukan para pelancong dari kedua-dua buah negara tersebut ke Malaysia.

Susulan itu, katanya, telah membawa kepada pengenalan Program Tanpa Visa, atau lebih dikenali sebagai eNTRI (Electronic Travel Registration and Information) dan eVISA (Multiple Entry).

Berdasarkan statistik dari Tourism Malaysia, beliau berkata antara Mac tahun lepas dan April tahun ini berlaku peningkatan sejumlah 284,606 dan 323,173 pelancong dari negara China yang telah memohon kemudahan eVISA dan eNTRI.


"Bagi tahun ini, kita mensasarkan seramai 3 (tiga) juta pelancong dari negara Tembok Besar berkunjung ke Malaysia.

"Pada masa yang sama juga, permohonan visa bagi warganegara India telah turut meningkat sebanyak 91.1 peratus, daripada 36,442 yang diluluskan pada Mac tahun lepas kepada 69,635 visa yang diluluskan pada April tahun ini," katanya.

Mengenai eVCOMM, Najib berkata ia membolehkan pegawai Imigresen memantau, mengawal dan menggunakan teknologi digital bagi memastikan kedatangan pengunjung dipantau dengan sebaik-baiknya.

Beliau percaya bahawa eVCOMM merupakan platform strategik yang boleh digunakan oleh pelbagai agensi relevan di Malaysia, dianggap sebagai hubungan penting dalam melindungi keselamatan dan kedaulatan negara.

"Ketika Malaysia sekian lama mengamalkan tradisi menjadi negara amat terbuka dan mengalu-alukan pelawat tulen, kita perlu imbangi keterbukaan ini dengan bentuk kewaspadaan dan kesediaan untuk melindungi keselamatan dan kedaulatan kita dari ancaman dan anasir perosak," kata beliau.

"Saya berharap dengan pengenalan eVCOMM, fasiliti tercanggih, akan membawa kepada pembaharuan pesat dalam cara Jabatan Imigresen mengendali urusannya dan meningkatkan kemampuannya untuk memantau semua data bersangkutan visa dari seantero dunia," kata beliau.

Sementara itu, Mustafar memberi jaminan bahawa Jabatan Imigresen tidak akan mengabaikan aspek kedaulatan dan keselamatan negara dengan pelaksanaan inisiatif eVISA dan eVCOMM yang memudahcara kemasukan pelawat-pelawat asing ke Malaysia.

Beliau berkata program eVISA dengan bayaran US$25 yang mulanya hanya untuk pelancong telah diperluaskan dan merangkumi golongan ekspatriat dan pelajar antarabangsa, bermula pada 1 Ogos.

Sumber : Bernama







































Tuesday, 15 August 2017

BR1M Peringkat Ketiga Dibayar Mulai Esok

PUTRAJAYA - Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia peringkat ketiga, yang juga pembayaran terakhir BR1M 2017, akan dibuat mulai esok (16 Ogos) bersempena sambutan Aidiladha yang dijangka pada 1 Sept ini.

Bagi permohonan yang lulus pada peringkat rayuan, pembayaran akan dibuat pada 29 Ogos ini.


"Kerajaan berharap pemberian BR1M dapat membantu rakyat membeli barangan keperluan dan persiapan bagi menyambut Aidiladha kelak," kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini.

Menurut kementerian pembayaran BR1M akan dikreditkan terus ke akaun penerima masing-masing.

Bagi mereka yang tiada nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional berhampiran, katanya.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 serta e-mel kepada: br1m@treasury.gov.my.

Buku POCA Nukilan TPM Zahid Dilancarkan


Buku 'POCA' - Nafas Baharu Banteras Jenayah' hasil tulisan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilancarkan hari ini yang akan menjadi bahan rujukan berautoriti mengenai Akta Pencegahan Jenayah (POCA).



Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau mengambil masa hampir dua tahun untuk menyiapkan buku berkenaan supaya tiada fakta yang tercicir.

Buku berkenaan mengandungi lima bab dengan 315 muka surat termasuk penerangan terperinci, gambar, jadual dan rajah yang berkaitan untuk menjadi bahan bacaan yang bermutu dan rujukan berautoriti.

"Saya memulakan usaha menulis buku ini dengan bantuan sidang editorial. Niat saya tiada lain hanya ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan kerana saya terbabit secara langsung dalam keseluruhan proses kewujudan akta ini," katanya.


Ahmad Zahid berkata POCA digubal untuk disesuaikan dengan suasana semasa apabila jenayah semakin kompleks seiring dengan ledakan perkembangan ICT yang mewujudkan dunia tanpa sempadan.

"Proses ini tidak mudah dan sangat panjang," katanya pada pelancaran buku itu di sini hari ini yang turut dihadiri dua Timbalan Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat.

Beliau berkata penggubalan POCA bermula dengan perbincangan panjang lebar dalam mesyuarat kabinet dan diikuti siri penglibatan bersama masyarakat awam menerusi perjumpaan dalam sesi dialog.




Seminar serta forum jenayah turut diadakan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas seluruh rakyat Malaysia mengenai akta itu, katanya.

Pandangan segenap lapisan masyarakat dikaji dan akta itu kemudiannya dibahaskan di Dewan Rakyat dan seterusnya di Dewan Negara.

Ahmad Zahid berkata buku itu mempunyai petikan Penyata Rasmi Parlimen (hansard) yang menerangkan keseluruhan proses dan prosedur penggubalan dan perbahasan POCA di Parlimen.

Sebanyak 3,000 naskhah buku berkenaan sudah terjual setakat ini. - Bernama

PM Najib Bersama Warga Pesara Oktober Depan - TPM Zahid


YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal berhimpun bersama pesara-pesara kerajaan pada Oktober depan bagi menyelami hati warga berkenaan dalam mendepani Tranformasi Nasional 2050 (TN50).

Perkara itu diumumkan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan bahawa program yangi diberi nama “Beautiful Life of Beautifulness adalah bersempena dengan sambutan hari warga emas.



“Ia adalah anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, program itu cukup baik dimana lokasi yang akan diumumkan oleh PM akan menghimpunkan semua pesara dan lokasinya bersesuaian dimana pesara-pesara ada tempat untuk kita melepaskan kerinduan bertemu dengan rakan-rakan kita, termasuk saya suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Perhimpunan 1Pesara Malaysia 2017 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selasa.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan bekas presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Tambah Zahid, golongan pesara kerajaan diminta mengamalkan adab dan tatasusila dalam melontarkan perbezaan pendapat masing-masing walaupun tidak lagi berada dalam organisasi kerajaan.


Menurutnya biarpun mereka kini sudah terkeluar daripada kepompong ‘SYMP’ iaitu tidak lagi melaksanakan ‘Saya Yang Menurut Perintah’ kerajaan, segala pandangan perlu disalurkan secara berhemah.

“Kita tahu apabila berusia lebih 60 tahun kita agak lebih sensitif, jiwa kita halus dan mudah terasa hati jika ada yang tidak setuju dengan kita. Namun, kita harus menerima hakikat yang lama dihormati dan yang baharu disayangi.

“Kita sedar tanggungan kerajaan banyak. Kalau kita mendoakan agar kedudukan kewangan lebih kukuh dan pendapatan negara lebih banyak, saya yakin keprihatinan Perdana Menteri akan memberi lebih banyak faedah kepada pesara,” kata Zahid.