Thursday, 17 August 2017

Pekerja Asing Diwajibkan Menjalani Empat Sesi Pemeriksaan Kesihatan Dan Saringan Tambahan - TPM Zahid


Pekerja asing diwajibkan menjalani empat sesi pemeriksaan kesihatan dan saringan tambahan bagi mengelakkan peningkatan penyakit berjangkit bermula 1 Januari depan, kata YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

YAB Timbalan Perdana Menteri berkata, empat sesi pemeriksaan kesihatan adalah sebelum berlepas ke Malaysia, sebulan selepas berada di negara ini, pada akhir tahun pertama dan akhir tahun kedua.

Katanya, pekerja asing yang mengikat kontrak penggajian maksimum 10 tahun pula perlu menjalani pemeriksaan kesihatan tambahan setiap dua tahun.

"Mesyuarat hari ini turut mengambil maklum majikan cenderung menggajikan pekerja asing kerana kos lebih rendah.

"Kerajaan juga bersetuju meningkatkan levi secara progresif dan mewujudkan persekitaran lebih kondusif dan kompetetif bagi menggalakkan lebih banyak majikan menggajikan pekerja tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) Ke-17, yang kedua pada tahun ini, di Bangunan Parlimen, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata kadar levi progresif mengikut bilangan pekerja asing yang digajikan akan dilaksanakan pada 2019, selepas selesai sesi perbincangan bersama pihak industri dan pihak berkepentingan.

Sementara itu, beliau berkata, pengambilan pekerja asing boleh dibuat melalui sistem atas talian iaitu Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA).

"Kerajaan berharap tiada lagi masalah orang tengah dalam urusan pengambilan pekerja asing, sekali gus isu ini dapat dibanteras secara holistik," katanya.

Setakat 31 Julai lalu, bilangan pekerja asing yang sah berkurangan kepada 1.75 juta orang berbanding 2.13 juta pada Disember 2015.

Mesyuarat itu turut membincangkan lapan perkara daripada enam kementerian.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan cadangan status semasa penggajian pekerja asing dan projek perintis kebenaran bekerja untuk pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Rohingya.

Jabatan Imigresen mencadangkan pendaftaran PATI dan majikan bagi pengeluaran kad penguatkuasaan (E-kad).

Kementerian Sumber Manusia mencadangkan penambahbaikan persekitaran penggajian pekerja asing dan cadangan model dan kadar baharu levi pekerja asing.

Kementerian Kesihatan mengemukakan cadangan memperkukuhkan semula pemeriksaan perubatan pekerja asing.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencadangkan garis panduan permohonan penempatan sementara pekerja asing di lokasi baharu dalam sektor pembuatan di bawah konsep 'factory-in-factory'.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mencadangkan Skim Khidmat Layan Diri (SKLD) di stesen minyak. -  BH Online