Showing posts with label WANITA UMNO. Show all posts
Showing posts with label WANITA UMNO. Show all posts

Saturday, 9 December 2017

Wanita UMNO Pegang Empat Tunjang Menang PRU14 - Shahrizat


Semangat ‘Perang Mesti Menang’ Wanita UMNO jelas terpancar pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO hari ini apabila empat tunjang digariskan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu ‘pedang keberanian’, ‘perisai kesetiaan’, ‘bahtera satria’ dan ‘strategi perang’.

Melalui tunjang ‘pedang keberanian’, Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata Wanita tidak perlu takut kepada sebarang kekuatan lawan dan perlu mempercayai kepada ‘pedang’ yang dimiliki sendiri.

“Kerana ini, dalam peperangan politik, apabila parti kita diasak, keberanianlah yang menjadi pedangnya. Jangan pula antara kita yang menjadi pedang menikam parti sendiri.

“Apabila pemimpin kita diasak, keberanian mempertahankan pemimpin kita adalah pedangnya, jangan pula kita yang menghunusnya.

“Apabila bangsa kita diasak, keberanian untuk berada di barisan hadapan adalah pedangnya. Apabila agama kita diasak, keberanian untuk berjihadlah menjadi pedangnya,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan perhimpunan agung itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mengenai ‘perisai kesetiaan’ pula, pemimpin Ibu Terbaik Bangsa itu menjelaskan ia adalah kesetiaan kepada pemimpin, penyokong dan anggota parti ketika susah dan senang.

Beliau turut menarik perhatian lautan biru perwakilan dan pemimpin UMNO yang memenuhi Dewan Merdeka di PWTC apabila menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi Wanita kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dengarkanlah Datuk Seri Presiden, setia Wanita tidak bertepi, percaya Wanita tidak ternafi, sokongan Wanita tidak akan terhenti, teruskanlah memimpin kami, kibarkanlah panji aspirasi, pandulah transformasi yang telah dijanji,” katanya.

Tunjang ketiga iaitu ‘bahtera satria’ pula bermaksud satu bahtera hanya ada satu nakhoda iaitu Najib, yang disifatkan Shahrizat sebagai tenang serta bijak mengemudi parti keramat itu.

“Ingat, selagi belum menang, layar bahtera tidak akan dilabuh. Makin kuat angin fitnah bertiup, makin tinggi layar kebenaran akan dikibar.

“Bagi strategi keempat iaitu ‘strategi perang’, sebenarnya strategi perang yang paling berkesan adalah keihklasan kita berkhidmat kepada rakyat…tidak ada apa yang lebih utama daripada itu,” kata Shahrizat yang memimpin Wanita UMNO sejak 2009.

Mahasiswa Perlu Gunakan Media Sosial Sebagai ‘Tools’ Bantu BN Menang PRU-14


Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyeru mahasiswa Kelab UMNO Luar Negara (KULN) untuk menggunakan media sosial sebagai ‘tools’ yang boleh membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Jelas beliau, memandangkan anak muda zaman sekarang amat meminati media sosial maka inilah peluang untuk mahasiswa KULN menceritakan kepada pengundi sebagai anak muda betapa kerajaan pimpinan BN membawa kebaikan dan kestabilan kepada negara.

“Perjuangan Wanita UMNO adalah untuk kita membina jalan politik, sosial, ekonomi dan lain-lain. Jadi kita mahu melihat anak muda membawa ‘automobil’ atau produk apa yang mereka ingin bawa ke ‘lebuhraya’ yang telah disediakan oleh kerajaan BN.

“Jika tiada ‘lebuhraya’ yang dibina di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib (Tun Razak), ianya adalah mustahil bagi mereka mencapai kecemerlangan,” ujar beliau dalam perjumpaan tertutup bersama mahasiswa KULN bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Beliau turut menyarankan kepada mahasiswa KULN agar bercampur dengan rakyat di tempat pengajian mereka.

“Mahasiswa perlu meluangkan masa untuk mengenali rakyat di sana dan menggunakan peluang yang sedia ada ini sebagai medan dan pentas untuk mereka melebarkan sayap dan mengembangkan ilmu pengetahuan mereka.

“Adalah satu kerugian kepada mahasiswa jika mereka tidak bercampur dengan rakyat di sana kerana mereka dapat mengembangkan cara kepimpinan negara dan bagaimana kita ‘survive’ sebagai satu negara yang membangun dan berbilang kaum.

“Mereka secara tidak langsung boleh menjadi duta atau ikon yang membawa aura positif kepada warga di luar negara supaya mereka minat dan menghormati negara kita,” ujar beliau lagi.