Saturday, 9 December 2017

Mahasiswa Perlu Gunakan Media Sosial Sebagai ‘Tools’ Bantu BN Menang PRU-14


Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyeru mahasiswa Kelab UMNO Luar Negara (KULN) untuk menggunakan media sosial sebagai ‘tools’ yang boleh membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Jelas beliau, memandangkan anak muda zaman sekarang amat meminati media sosial maka inilah peluang untuk mahasiswa KULN menceritakan kepada pengundi sebagai anak muda betapa kerajaan pimpinan BN membawa kebaikan dan kestabilan kepada negara.

“Perjuangan Wanita UMNO adalah untuk kita membina jalan politik, sosial, ekonomi dan lain-lain. Jadi kita mahu melihat anak muda membawa ‘automobil’ atau produk apa yang mereka ingin bawa ke ‘lebuhraya’ yang telah disediakan oleh kerajaan BN.

“Jika tiada ‘lebuhraya’ yang dibina di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib (Tun Razak), ianya adalah mustahil bagi mereka mencapai kecemerlangan,” ujar beliau dalam perjumpaan tertutup bersama mahasiswa KULN bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Beliau turut menyarankan kepada mahasiswa KULN agar bercampur dengan rakyat di tempat pengajian mereka.

“Mahasiswa perlu meluangkan masa untuk mengenali rakyat di sana dan menggunakan peluang yang sedia ada ini sebagai medan dan pentas untuk mereka melebarkan sayap dan mengembangkan ilmu pengetahuan mereka.

“Adalah satu kerugian kepada mahasiswa jika mereka tidak bercampur dengan rakyat di sana kerana mereka dapat mengembangkan cara kepimpinan negara dan bagaimana kita ‘survive’ sebagai satu negara yang membangun dan berbilang kaum.

“Mereka secara tidak langsung boleh menjadi duta atau ikon yang membawa aura positif kepada warga di luar negara supaya mereka minat dan menghormati negara kita,” ujar beliau lagi.