Showing posts with label Lensa UMNO. Show all posts
Showing posts with label Lensa UMNO. Show all posts

Tuesday, 25 December 2018

PPBM Tidak Boleh Gantikan UMNO - Shamsul Anuar

Biarpun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mendakwa mereka adalah parti orang Melayu dan Bumiputra, namun UMNO pasti tetap akan menjadi pilihan utama bagi Melayu dan Bumiputra walaupun UMNO bukan lagi sebuah kerajaan sebagaimana dahulu kecuali di Pahang dan Perlis, tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Kita yakin PPBM tidak boleh menggantikan UMNO,” tegas Shamsul Anuar

Ujar beliau, penghijrahan keluar beberapa Ahli Parlimen dan ADUN UMNO tidak boleh dijadikan ukuran atau mengatakan UMNO sudah lumpuh kerana tindakan mereka ini tidak disertai bersama jumlah ahli yang ramai melainkan beberapa penyokong tegar mereka.


“Malahan kehilangan mereka juga tidak menyebabkan UMNO dikawasan berkenaan terbubar, sebaliknya apabila mereka bertindak meninggalkan parti ia dengan mudah diganti oleh pemimpin muda yang lebih baik, bertenaga dan bersemangat.

“Ini dengan sendirinya berlaku proses peralihan kuasa kepada generasi baru dan pembersihan parti secara semulajadi.

“Kita perlu ingat, mereka yang keluar UMNO tentulah antaranya kerana mereka sudah hilang keyakinan dan kesetiaan pada UMNO. Jadi, biarlah yang tidak yakin atau setia ini tinggalkan UMNO. Jika mereka terus berada dalam parti ia akan menjadi barah yang akhirnya memusnahkan parti dari dalam. UMNO hanya akan kuat jika ahli yang taat setia pada perjuangan ini kekal dalam parti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas belisu yang juga Ahli Parlimen Lenggong, paling utama ideologi dan falsafah serta prinsip perjuangan UMNO tetap kekal utuh biar apapun berlaku.

“Penghijrahan keluar sebahagian pemimpin dan ahli UMNO tidak membawa keluar bersama ideologi, falsafah dan prinsip perjuangan UMNO.

“Justeru UMNO akan terus menjadi parti yang berjuang membela kepentingan Melayu, Bumiputra dan memelihara kepentingan kaum-kaum lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ahli UMNO jangan bimbang perubahan dan pendekatan baru akan terus dilakukan oleh parti. UMNO mahu menang dan kembali berkuasa sebagai sebuah kerajaan. Oleh itu semua pihak perlu fokus, bersama menyokong kepimpinan parti dan bersama memainkan peranan.”

Kepada pimpinan PAS katanya, usah bimbang pada UMNO kerana apa yang berlaku pada UMNO adalah lebih kurang sama ketika berlakunya penghijrahan keluar pimpinan serta ahli PAS apabila tertubuhnya PAN suatu ketika dahulu.

“Biarpun PAN wujud namun PAS tetap kuat, maka biarpun beberapa wakil rakyat UMNO meninggalkan UMNO kita tetap yakin UMNO tetap sebagaimana biasa. UMNO akan terus berperanan sebagaimana ideologi yang dipegangnya malah akan terus menjadi juara membela kepentingan rakyat, dan pastinya akan merampas kembali kerusi yang hilang.

“Hakikatnya UMNO jauh lebih baik berbanding PPBM UMNO punyai sistem pentadbiran yang bersistematik. UMNO mempunyai pimpinan yang tersusun daripada peringkat UMNO Cawangan, UMNO Bahagian, UMNO Negeri hinggalah ke UMNO pusat.

“ Jauh berbeza dimana, tidak kedengaran pun mesyuarat cawangan atau bahagian PPBM diadakan hanya diadakan diperingkat pusat sahaja. Ini bukti UMNO mempunyai kekuatan lebih baik berbanding PPBM,” tegas beliau lagi. - MediaUMNO

Monday, 22 January 2018

Perumahan Mampu Milik Antara Fokus Utama Kerajaan BN - PM Najib Razak


Satu daripada fokus utama kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah menyediakan perumahan mampu milik kepada setiap lapisan masyarakat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi menyediakan perumahan mampu milik sejak 2009, ketika beliau mula menyandang jawatan Perdana Menteri.

“Setiap bajet Kerajaan Persekutuan memperuntukkan dana bagi merealisasikan aspirasi rakyat berkaitan perumahan, dan terbaru dalam Bajet 2018, sejumlah RM2.2 bilion diperuntukkan bagi meneruskan usaha menyediakan perumahan untuk semua,” kata beliau dalam catatan terbaharunya yang bertajuk ‘https://www.najibrazak.com/bm/blog/perumahan-untuk-semua/’ di blog https://www.najibrazak.com/bm/.

Najib berkata bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), kerajaan melaksanakan antaranya Program Perumahan Rakyat yang disewakan atau dijual pada harga amat rendah iaitu antara RM35,000 hingga RM42,000, dengan kos selebihnya dibiayai subsidi kerajaan.

Bagi golongan B40 tanpa rumah atau tinggal di rumah yang daif tetapi mempunyai tanah, beliau berkata program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia disediakan dengan kerajaan membina rumah pada kos RM65,000, iaitu subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 berserta subsidi 2 peratus kadar faedah pinjaman.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata program Rumah Idaman Rakyat pula membina rumah atas tanah kurniaan kerajaan negeri atau persekutuan pada harga tidak melebihi RM350,000 dengan jualan diutamakan diwujudkan bagi pembeli Orang Kelainan Upaya atau ibu tunggal.

Bagi golongan berpendapatan sederhana (M40), beliau berkata kerajaan menyediakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dibina di kawasan strategik di seluruh negara dan dijual pada harga antara RM100,000 hingga RM400,000.

“Terdapat juga Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang menyasarkan rakyat Malaysia yang menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan yang ingin membeli rumah pertama mereka. Rumawip dijual pada harga daripada RM63,000 hingga RM300,00.

“Bagi penjawat awam, kerajaan melaksanakan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), terutamanya penjawat awam berpendapatan rendah dan sederhana yang dijual pada harga antara RM90,000 hingga RM300,000 seunit,” jelas beliau.

Selain itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai skim bagi membantu rakyat memiliki rumah, yang satu daripadanya ialah Skim Rumah Pertamaku bagi membantu golongan muda baru bekerja dengan pendapatan kurang RM5,000 untuk mendapat pembiayaan 100 peratus.

“Bercakap mengenai deposit, terbaru saya mengumumkan Skim MyDeposit, di mana kerajaan membantu golongan yang ingin membeli rumah tetapi tidak mempunyai wang pendahuluan dengan membayar deposit tersebut bersamaan 10 peratus daripada nilai rumah di bawah RM500,000 atau sehingga jumlah maksimum RM30,000,” kata beliau.

Najib yang juga Pengerusi BN menegaskan banyak lagi inisiatif yang kerajaan laksanakan atas dasar keprihatinan kerajaan kepada keinginan dan keperluan rakyat untuk memiliki kediaman sendiri termasuk golongan berpendapatan rendah, golongan berpendapatan sederhana dan mereka yang mungkin tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar deposit.

Perdana Menteri berkata malang sekali, seperti ‘nasib’ yang menimpa Bantuan Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, subsidi pendidikan dan kesihatan serta bantuan-bantuan kerajaan yang lain, kesemua inisiatif itu telah dijadikan modal politik murah oleh pembangkang.

‘’Kepada mereka ini, daripada terus menyebarkan berita palsu serta fitnah memburukkan kerajaan, buatlah kerja yang bermanfaat, uar-uarkan skim perumahan ini kepada rakyat, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang ingin memiliki kediaman sendiri.

“Janganlah kerana nama pembangkang, segala-galanya pun ingin dibangkang. Inisiatif dan usaha baik yang kerajaan laksanakan, panjangkanlah kepada rakyat. Walaupun pembangkang tak berupaya laksanakan dan tak dapat buat, sekurang-kurangnya boleh bawa rakyat kepada mereka yang berupaya deliver, yakni Barisan Nasional,” kata beliau. - UMNO Online

Monday, 25 December 2017

BN Perkukuh Solidariti, Tingkatkan ‘Gear’ Hadapi PRU14


Tahun 2017 menyaksikan landskap politik tanah air diselubungi mood pilihan raya umum (PRU) dengan Barisan Nasional (BN) selaku parti memerintah mempamerkan keazaman yang kuat untuk mengekalkan genggaman terhadap Putrajaya.

Kemunculan parti-parti baharu bagi mencabar keupayaan BN, khususnya UMNO selaku parti tunjang, dilihat hanya mengukuhkan lagi kesatuan parti perikatan terbesar tanah air itu untuk mendepani PRU ke-14 tahun depan yang disifatkan ramai pemerhati sebagai ‘ibu segala pilihan raya’.

Bagi UMNO yang baru sahaja mengadakan perhimpunan agungnya, perhimpunan terakhir sebelum PRU14, api perjuangan tambah membara selepas semboyan perang dibunyikan oleh barisan kepimpinan parti.

Sepanjang lima hari perhimpunan parti di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat berjaya menanam keyakinan dalam minda perwakilan dan anggota lain bahawa parti yang bakal berdepan pilihan raya itu adalah sebuah parti yang kuat, boleh dipercayai serta mampu meneruskan legasinya dalam aspek kepimpinan negara yang kukuh.

Pada masa ini UMNO menyandang 86 daripada 132 kerusi parlimen BN manakala pembangkang pula memiliki 88 kerusi dan dua lagi diwakili Bebas.

Mesej yang diberikan Najib dalam ucapan dasar dan ucapan penangguhannya pada perhimpunan agung itu cukup jelas iaitu mahu setiap lapisan dalam UMNO merapatkan saf masing-masing serta akur PRU14 bukan PRU biasa tetapi satu ‘peperangan’ yang akan menentukan kelangsungan dan hala tuju negara.

“Perang kali ini, yang bergelar ‘bapa segala pilihan raya’, kita akan bertempur, berlawan… lawan habis-habisan.

“Ternyata ini bukan soal main-main, sebabnya percaturan perjuangan kali ini cukup serius dan tiada tawar- menawar lagi,” katanya.

Sementara itu, parti MCA dan Gerakan yang mengadakan perhimpunan tahunan masing-masing pada November lalu juga telah menyatakan kesiapsiagaan penuh mereka dalam menghadapi PRU14.

Jelas, keputusan buruk pada PRU12 dan PRU13 meniup semangat kedua-dua parti untuk bangkit semula dan berusaha meraih kembali kepercayaan pengundi khususnya kaum Cina.

Malah, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pada perhimpunan agung tahunan parti itu, berkata usaha-usaha transformasi parti yang diterajuinya sejak 2014 tersebut kini membuahkan hasil.

Katanya semakin banyak sokongan masyarakat Cina telah kembali ke pangkuan BN setelah mereka sedar bahawa selama ini mereka telah dipermainkan pihak pembangkang dengan mimpi-mimpi di siang hari.

Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong pula meluahkan keyakinannya Gerakan akan memberikan prestasi lebih baik pada PRU14 termasuk merampas kembali beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Untuk memastikan masyarakat India di negara ini turut serta dalam arus pembangunan, Najib yang juga Pengerusi BN melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India pada April lalu.

Ia merupakan sebuah dokumen rasmi kerajaan yang menggariskan agenda pembangunan untuk meningkatkan taraf hidup komuniti itu bagi 10 tahun akan datang.

Dokumen tersebut, yang pertama pernah digubal kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan, membuktikan keprihatinan khusus Najib untuk memastikan kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat India di negara ini terus terpelihara, selaras dengan polisi keterangkuman yang dijunjung beliau.

Menurut Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam baru-baru ini, pelan tindakan itu mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat India yang berkeyakinan terhadap kepimpinan Najib untuk membawa transformasi kepada mereka.

Dalam itu, Najib tetap teguh dan fokus dalam misinya mewujudkan sebuah negara yang lebih makmur untuk rakyatnya. Beliau enggan membenarkan unsur-unsur manipulatif, penipuan dan serangan sengit pihak pembangkang menggugat usahanya.

Tegasnya UMNO dan BN telah menjadi mangsa politik persepsi yang didalangi pembangkang dan sekarang adalah masa untuk parti pemerintah itu memanfaatkan sepenuhnya semua platform, terutamanya media sosial bagi melancarkan serangan balik terhadap pembangkang dan pada masa sama mendekati pengundi untuk menangani persepsi mereka terhadap BN.

Dari segi pentadbiran kerajaan dan pengurusan ekonomi negara, BN turut mencatatkan prestasi yang amat membanggakan sepanjang 2017.

Kejayaannya dalam melaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan yang berkepentingan rakyat serta pengukuhan kedudukan ekonomi negara jelas membuktikan BN merupakan pilihan terbaik untuk terus mengemudi Malaysia ke arah kecemerlangan.

Antara projek infrarakyat yang memberikan impak besar kepada masyarakat ialah perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Klinik 1Malaysia.

Walaupun berdepan cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu, Malaysia masih mampu mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang memberangsangkan pada kadar 6.2 peratus bagi suku ketiga tahun ini.

Malah menurut Najib, 97.6 peratus Aku Janji kerajaan BN yang dibuat pada PRU13 pada 2013 telah berjaya dilaksanakan menerusi 17 inisiatif dan 156 inisiatif strategi, setakat bulan lepas,

Bajet 2018 yang digelar ‘ibu segala bajet’ telah dihasikan dengan mengambil kira kepentingan setiap kelompok rakyat Malaysia dengan komitmen untuk merealisasikan agenda Transformasi Nasional 2050 yang akan meletakkan Malaysia sebagai antara 20 ekonomi terbesar dunia.

Semuanya menunjukkan kesungguhan kerajaan BN pimpinan Najib untuk membina satu masa depan yang lebih baik dan berjaya untuk segenap lapisan rakyat Malaysia menjelang 2050 dan seterusnya.

Berbekalkan rekod prestasi yang cemerlang ini BN kini hanya menunggu isyarat akhir daripada Perdana Menteri untuk mara ke ‘medan perang’.

Sumber : UMNO Online

Saturday, 9 December 2017

Tolak Pengkhianat UMNO, Kesetiaan Ahli Yang Tinggi Lambang Keteguhan Parti

Image result for MAHATHIR PAKLAH DAN NAJIB

Tanggal 29 Februari 2017 rakyat Malaysia menyaksikan ‘Bapa Pemodenan Malaysia’ buat kali keduanya mengumumkan keluar daripada parti yang dulunya menjadi medan perjuangan beliau. Rakyat Malaysia menyaksikan titik hitam dalam sejarah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi bertindak sedemikian apabila menyifatkan UMNO sekarang bukan lagi parti UMNO tetapi parti Najib.

Tun Mahathir keluar dari UMNO buat pertama kalinya pada tahun 2008 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, kemudiannya kembali menyertai UMNO sehari selepas Datuk Seri Najib diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada 4 April 2009. Lebih dari itu, Tun Mahathir kini menyerang UMNO dan menyertai kelompok pembangkang dalam pakatan harapan.

Namun, potret beliau masih lagi jelas kelihatan di Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC) dan di dalam dewan keramat, Dewan Merdeka tempat beliau pernah melaungkan ungkapan ‘Melayu Mudah Lupa.


Bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ahli UMNO bersifat terbuka dan tidak mempunyai masalah jika potret beliau masih lagi dipaparkan sebagai simbol penghargaan dalam mengingati jasa beliau.

“Tidak kisah apa pun yang telah berlaku, yang paling penting ahli UMNO adalah mereka yang paling terbuka dan tidak timbul pun masalah untuk ‘mengugurkan’ wajah pemimpin yang telah pergi meninggalkan perjuangan yang pernah mereka pelopori selama ini.

“Ini bukti keterbukaan UMNO hari ini, kita tidak pula menyisihkan Tun Mahathir dalam sejarah perjuangan UMNO. Sekurang-kurangnya, tidak perlulah puak pembangkang khususnya dari PPBM untuk mengatakan bahawa UMNO membuang semua wajah Tun Mahathir dari bangunan ini sebagai membalas dendam terhadap apa yang dibuat Tun Mahathir kepada UMNO sejak akhir-akhir ini,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Larut.

Beliau turut menyifatkan jika seseorang ahli UMNO yang telah keluar dari parti lalu menentang segala perjuangan UMNO yang jelas untuk agama, bangsa dan negara maka individu terbabit adalah seorang pengkhianat.

“Jika dahulunya mereka adalah ahli UMNO, berjuang bersama UMNO tetapi selepas keluar UMNO, mereka membangkang dan menghentam segala yang UMNO lakukan …. Mereka inilah sebenarnya pengkhianat perjuangan bangsa, jadi saya nasihatkan ahli UMNO yang setia hari ini agar tidak akan mengikut telunjuk pengkhianat bangsa ini,” tambahnya.


Bagi EXCO Pergerakan Puteri UMNO, Khaidirah Abu Zahar pula menyifatkan bahawa UMNO tidak pernah menafikan jasa yang telah Tun Mahathir taburkan ketika zaman beliau sebagai Perdana Menteri dahulu.

Jadi tidak munasabah jika potret atau gambar-gambar beliau diturunkan daripada khalayak ramai kerana beliau pernah mengetuai UMNO satu ketika dulu.

“Beliau sangat hebat satu ketika dulu, jangan kita nafikan jasa beliau tetapi hari ini beliau bertindak menyerang semula perjuangan yang pernah beliau pelopori, malah lebih mengejutkan apabila beliau berdamai dan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin pembangkang yang satu ketika dulu merupakan musuh ketatnya terutamanya dari DAP dan juga bekas anak didiknya sendiri, Anwar Ibrahim,” ujarnya

Pengerusi Kelab UMNO Wales, Muhammad Nabil Halimi juga tidak menafikan bahawa Tun Mahathir merupakan seorang yang berpengaruh besar dalam kancah politik negara.

“… tetapi apabila beliau bertindak untuk keluar dari parti, kita dapat lihat ahli-ahli UMNO tidak pernah berkurang malah yang lebih penting hari ini kita mempunyai ahli yang benar-benar setia kepada parti dan bukannya ahli yang sekadar setia kepada seseorang individu semta-mata.

“Kesinambungan dari ini adalah soal kesetiaan, saya rasa kesetiaan ahli UMNO sangat tinggi dan saya rasa tidak perlu risau kerana kesetiaan ahli UMNO akan membuatkan sesebuah parti itu lebih kuat berbanding parti-parti lain”.

Sunday, 13 August 2017

Buka Pemilihan Presiden Kepada Anggota Bukti UMNO Bukan Milik Saya Seorang - PM Najib


Langkah membuka pemilihan Presiden UMNO kepada lebih 165,000 anggotanya pada 2013 merupakan bukti nyata bahawa UMNO bukan milik saya seorang berbeza dengan zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,? kata YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata pada zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu menggunakan mekanisme ?undi kuota' dan ?undi bonus' setiap kali tiba pemilihan parti untuk kekal berkuasa.

"Masa saya jadi Presiden UMNO, saya mansuhkan (undi kuota dan undi bonus) malah nasib saya, saya serahkan kepada lebih 165,000 ahli UMNO seluruh negara serentak yang mana lebih 165,000 ahli UMNO ini tidak boleh dibeli sesuka hati.

Sumber Video : BH Online


"Akhirnya saya menang tanpa bertanding, (membuktikan) UMNO sokong secara terbuka kepimpinan saya, bukti UMNO bukan milik saya tetapi milik semua ahlinya," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron; Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah; dan kira-kira 5,000 perwakilan UMNO bahagian itu.

UMNO menjadi lebih terbuka, demokratik dan inklusif apabila pindaan perlembagaan parti diluluskan pada 2009 yang antara lain meningkatkan jumlah perwakilan untuk pemilihan jawatan tertinggi parti dan jawatan peringkat bahagian selain menghapuskan sistem kuota dalam pemilihan parti.

Najib berkata Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan presiden UMNO bukan kerana beliau seorang pemimpin yang popular, sebaliknya kerana tindakannya 'mengunci' kepimpinan tertinggi parti dengan 'undi kuota' dan 'undi bonus'.

"Pada pemilihan UMNO 1987, dia (Dr Mahathir) bertanding melawan Tengku Razaleigh (Hamzah), dia menang dengan 43 undi sahaja, walaupun saya rapat dengan Tengku Razaleigh tetapi saya letak prinsip wala' (kesetiaan).

"Masa itu, saya Ketua Pemuda UMNO dan Tun M (Dr Mahathir) ketua saya maka saya wajib sokong Tun M, saya tampil kepada semua nyatakan sokongan saya. Tetapi apa dia buat - dia kunci kepimpinan tertinggi dengan 'undi kuota' dan 'undi bonus'," katanya.

Najib berkata sebagai Presiden UMNO, beliau membuat pelbagai keputusan secara rundingan bersama dengan Ahmad Zahid serta pemimpin UMNO yang lain dan hasil daripada langkah itu hari ini, UMNO menjadi sebuah parti yang lebih terbuka.

Siapa yang lebih diktator dalam parti. UMNO bukan saya punya malah lebih terbuka hari ini daripada masa-masa yang lalu, saya cuma pemimpin yang jadi pemimpin kerana sokongan daripada ahli-ahli UMNO, katanya.

Sementara itu, Najib berkata beliau tidak perlu menoleh ke belakang apabila melaksanakan tugasnya sebagai perdana menteri kerana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Ahmad Zahid.

Beliau berkata hubungan rapat yang dijalin dengan Ahmad Zahid bukan sehari dua sebaliknya bermula sejak tahun 1986 lagi dan ramai yang tidak mengetahui apa yang telah dilalui mereka berdua.

Tiada orang tahu berapa kali kami pergi kursus bersama duduk dalam sebuah dormitori bersama, tiada orang tahu susah senang Ahmad Zahid di Bagan Datuk yang mana saya sebagai Ketua Pemuda UMNO dulu saya beranikan diri berkempen untuk Ahmad Zahid.

Bila ada percubaan nak goncang keyakinan saya dengan Ahmad Zahid, saya ulangi keyakinan saya kepada Ahmad Zahid, supaya tidak boleh dipertikai oleh sesiapa, katanya.

Beliau berkata hubungan tidak formal yang merujuk kepada hubungan erat terjalin antara individu di luar daripada hubungan formal dalam parti atau organisasi tertentu akan membolehkan mereka yang terlibat bertahan lama dalam politik.- Bernama

Pemimpin Akar Umbi Jangan Jadi "Tukang Kipas" - TPM Zahid


YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegur pemimpin di peringkat akar umbi supaya tidak menjadi ‘tukang kipas’ dengan menyediakan laporan sokongan berstatus yang baik sahaja.
Sebaliknya, Naib Presiden UMNO itu berkata laporan dari bilik gerakan perlulah telus termasuk menyatakan sekiranya sokongan yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) kurang memberangsangkan.
“Laporan bila kita (pemimpin) balik kawasan semua cantik…mereka tukang kipas betul, sebab kalau turun (sokongan) mereka kena jawab.
Cerita yang benar, jangan jadi tukang kipas, kalau kita kurang sokongn kita baiki, kalau kurang (sokongan) tetapi dalam penyata kita diberitahu sokongan tinggi itu yang punah,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tapah di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden mengambil contoh, situasi yang berlaku kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pilihan raya umum ke-11 (PRU11) sehinggakan beliau hanya mendapat 261 majoriti undi dalam Parlimen Pekan.
“Undi lebih sikit aja sebab bila balik ke kawasan tengok laporan bilik gerakan naik. Tapi Dalam PRU12 naik 20,000 dan PRU13 naik lebih 22,000,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan isu nasional bukan faktor utama yang menyebabkan undi di sesuatu kawasan menurun,  sebaliknya perkhidmatan yang dilaksanakan oleh jentera dan pemimpin merupakan kayu pengukur.
Katanya, jentera parti perlulah sentiasa menjalankan kerja dan tanggungjawab walaupun pemimpin atasan tidak balik ke kawasan.
“Jentera perlu turun ke bawah betulkan persepsi, jangan turun bila pemimpin turun, bila pemimpin tak balik jentera pun tak peduli.
Itu bukan cara kerja jentera di peringkat bawah, walaupun pemimpin tak turun kerja tetap kena jalan, sebab saya banyak kali beritahu kita bukan parti politik bermusim,” katanya.
Ahmad Zahid juga optimis pengundi masyarakat Cina akan kembali menyokong BN pada PRU14 selepas golongan tersebut kini sedar mereka telah ditipu oleh pembangkang.
“Kita perlu melibatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan masyarakat Cina sebab mereka ingin rapat dengan kita,” katanya.

Saturday, 12 August 2017

Pas amalkan politik matang dalam isu 1MDB - PM Najib


Belum tiba masanya lagi untuk memikirkan mengenai kerjasama politik antara UMNO dan Pas, namun pada masa yang sama politik matang yang ditunjukkan Pas terutama dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihargai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Pas tetap menjadi parti pembangkang konstruktif yang bersaing dengan UMNO dalam hal-hal tertentu namun dapat menjalinkan kerjasama apabila ia melibatkan kepentingan Islam dan rakyat.

Katanya Pas tidak menyerang sesuka hati dan mengamalkan konsep tabbayyun atau menyiasat kesahihan sesuatu isu sebelum membuat kesimpulan.

Sebagai contoh isu 1MDB, Pas memanggil Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy untuk memberikan penjelasan sebelum membuat kesimpulan.

“Kita bersaing dengan Pas tetapi pimpinan Pas hari ini tidak macam dahulu. Pimpinan Pas hari ini lebih matang berpolitik, tolak kerjasama atau tahaluf siyasi dengan DAP.

“Mereka percaya kepada ta’awun iaitu kerjasama untuk kebaikan. Dan kita bekerjasama dalam banyak perkara, seperti dalam isu Rohingya dan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau (RUU 355).

“Dalam 1MDB, mereka (Pas) mengamalkan tabbayyun, mereka siasat dahulu, panggil Presiden 1MDB, Arul Kanda dengar penjelasan dan Presiden Pas kata mereka percaya pelan pemulihan 1MDB akan berjaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat & Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di sini pagi ini.

Mengenai kerjasama politik antara Pas dan UMNO, PM Najib menjelaskan perkara itu belum ada kepastian.

Turut hadir di majlis yang dihadiri lebih 20,000 rakyat Kelantan, ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Ahmad Azlan Yakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pertahankan Rumah Umno, Jangan Dibiar Musnah - TPM Zahid


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar anggota UMNO sama-sama mempertahankan 'Rumah UMNO' daripada dicerobohi oleh pihak luar, termasuk beberapa bekas pemimpin, yang mahu melihat parti itu musnah.

Menyamakan parti keramat berusia 71 tahun itu sebagai 'rumah', Ahmad Zahid, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, berkata sememangnya menjadi tanggungjawab anggota parti untuk mempertahankan rumah itu daripada segala ancaman.

"Kita yang berada di rumah UMNO ini, memang tanggungjawab kita menentukan bahawa jikapun rumah kita bertingkapkan kaca, berdindingkan besi, kita tidak mahu mana-mana tokoh atau bekas pemimpin atau individu cuba membaling batu ke cermin tingkap rumah kita,"kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini malam ini.

Beliau mengakui bukan mudah untuk mempertahankan 'rumah UMNO' yang telah berusia 71 tahun, namun tiang seri parti itu disifatkan masih kukuh dan perlu terus dipertahankan, selain dipermodenkan mengikut peredaran semasa.

"Rumah itu harus dipertahankan dan jangan dirobohkan untuk jadi rumah baru kerana tiang serinya masih kukuh, lantai yang mula bocor itu kita tampal dan jika boleh kita ganti lantai dengan lantai baru,"tambah Ahmad Zahid, diringi tepukan gemuruh anggota perwakilan yang hadir.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan semua anggota UMNO bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang dianggap sebagai ibu kepada PRU dan merupakan satu peperangan besar bagi parti keramat itu.

"Sebagai pejuang parti, kita bukan pejuang materialistik tetapi untuk memastikan kemenangan, kita memerlukan komitmen semua untuk memastikan kemenangan pada pilhan raya akan datang," katanya.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid turut meminta anggota UMNO agar terus berjuang walaupun menghadapi apa jua bentuk cabaran yang datang.

"Itu semua perkara lama, kita kena ada daya tahan. Kita tidak boleh menoleh ke belakang. Bila kita pandu kereta, kita tidak boleh toleh ke belakang kerana kita akan kemalangan. Sesekali kita boleh jeling dan tengok cermin ke belakang.

"Ertinya kita tidak boleh menoleh ke belakang dalam perjuangan kita. Kita kena teruskan perjuangan kita,"kata beliau.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pulai yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Md Jais Sarday.

UMNO Komited Lebih Ramai Wanita Bertanding Pada PRU-14 - TPM Zahid


UMNO komited dalam memastikan lebih ramai wanita ditampilkan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi mencapai hasrat 30 peratus kaum wanita sebagai pembuat dasar, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO itu berkata sudah tiba masanya lebih ramai wanita diketengahkan sebagai anggota parlimen, anggota dewan undangan negeri (ADUN) malah sebagai menteri selaras dengan negara yang sudah mencapai 60 tahun kemerdekaan.

"Dalam mencapai 60 tahun merdeka, kita harus berubah minda dan sikap berhubung wanita. Apabila wanita bekerja kuat, jangan puji mereka (wanita) secara retorik sebaliknya beri mereka peluang untuk bertanding pada PRU.

"Bagi mereka kedudukan kerana wanita hari ini telah berada di peringkat profesional dan boleh membuat keputusan yang baik di negara ini," katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Maktab Rendah Sains Mara Batu Pahat, di sini Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong Datuk Zulkurnain Kamisan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata dalam situasi dunia tanpa sempadan dan langit terbuka ketika ini, ramai pemimpin wanita di dunia Islam sudah mula melakukan perubahan.

Malaysia juga sedang menggerakkan usaha menggalakkan peranan wanita dalam kerajaan, katanya.

"Perdana Menteri Bangladesh, ada Khaleda Zia, Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri dan Thailand juga pernah memiliki perdana menteri wanita. Insya Allah, Speaker Parlimen Singapura Halimah Yacob juga akan menjadi Presiden Singapura sama-sama kita doakan," katanya.

Beliau yang berpandangan Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam memartabatkan wanita turut meminta Mohamed Khaled supaya meneliti calon wanita yang sesuai bagi bertanding di kerusi parlimen dan dewan undangan negeri di negeri ini.

"Mohamed Khaled kena tengok supaya ada wanita calon parlimen atau ADUN. Saya bagi sokongan kepada Mohamed Khaled," katanya Sementara itu, Ahmad Zahid turut meminta seluruh jentera UMNO Johor terutamanya anggota UMNO Parit Sulong supaya menyerap semangat Panglima Kiai Salleh dalam menentang kekejaman komunis di Batu Pahat demi memastikan benteng UMNO negeri itu terus kukuh.

Menteri Dalam Negeri itu berkata semangat Panglima Kiai Salleh harus ada dalam setiap anggota parti sejajar dengan UMNO yang tidak pernah sesekali mengizinkan Johor diambil alih oleh pembangkang.

"Saya mengimbas sejarah Panglima Kiai Salleh ini kerana kita sering lupakan sejarah. Bagaimana Panglima Kiai Salleh tetap bersemangat tinggi seolah-olah beliau mempunyai tentera yang banyak walaupun sebenarnya tentera itu sedikit dalam melawan komunis.

"Generasi kedua dan ketiga dalam pemimpin UMNO harus ambil roh perjuangan Panglima Kiai Salleh sebagai mercu tanda baru bagaimana Johor perlu dipertahankan daripada musuh," katanya.



Garis Tiga Prinsip Penentu Kejayaan Perjuangan UMNO, BN - PM Najib


Roh perjuangan yang ikhlas untuk rakyat, barisan kepimpinan yang padu dan wala kepada pemimpin adalah tiga prinsip utama yang menentukan kejayaan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sebaliknya, perjuangan yang berasaskan balas dendam, kekecewaan dan material pasti akan menemui kegagalan.

"Kalau perjuangan itu berdasarkan roh perjuangan yang suci untuk melakukan sesuatu yang terbaik, maka insya-Allah akan berkat perjuangan kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang, di sini, hari ini.

Najib yang juga Presiden UMNO turut berharap akan berlaku perubahan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 berbanding pilihan raya sebelum ini memandangkan sokongan terhadap UMNO dan BN di negeri itu bertambah baik.

Sementara itu, Najib berkata sebanyak 418 unit rumah PPR dengan kos RM75 juta yang sedang dibina di Kampung Batu 25 di sini, dijangka siap pada awal 2019.

Beliau berkata PPR berkenaan yang merupakan antara lapan projek yang sedang dan telah siap dilaksanakan di Kelantan, adalah sebahagian daripada janji beliau kepada rakyat Machang beberapa tahun lepas.

Beliau berkata setiap unit rumah PPR itu dijual pada harga RM35,000 seunit dengan subsidi antara RM80,000 dan RM120,000 ke atas ditanggung kerajaan berdasarkan kos pembinaan dan harga tanah bagi sesebuah PPR.

"Kerajaan persekutuan melakukan yang terbaik untuk semua rakyat Kelantan. Sebagai Perdana Menteri saya tidak pernah amalkan dasar menghukum rakyat Kelantan, kalau diukur dari segi peruntukan saya beri lebih daripada pemimpin yang terdahulu.

"Di bawah Rancangan Malaysia Kelapan jumlah peruntukan yang diluluskan kepada Kelantan hanya RM3.7 bilion manakala pada Rancangan Malaysia Ke-11 peruntukannya berjumlah RM12.87 bilion, hampir empat kali ganda,\" katanya.

Antara pembangunan yang dilaksanakan kerajaan persekutuan di Kelantan ialah lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, projek perumahan, hospital, jambatan baharu serta membina dan membaik pulih masjid.

Pada majlis itu, Najib turut merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Machang.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub - Bernama

Wednesday, 9 August 2017

Tampil Pemimpin Melayu Tapi Bau Tetap Dap - Datuk Sham

Image result for dato sham bagan serai

BAGAN SERAI - Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, biarpun pakatan harapan menampilkan Tun Mahathir Mohamad dalam kepimpinan utamanya, namun mereka tidak dapat menyembuyikan hakikat sebenar bahawa Dap tetap merupakan parti paling berkuasa di dalam pakatan tersebut.

Menurut beliau, ini memandangkan kenyataan yang dibuat oleh Tun Mahathir terhadap UMNO dan kerajaan hari ini amat mirip seperti apa yang dikatakan oleh kepimpinan Dap selama ini, termasuklah terhadap Tun Mahathir sendiri ketika menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri sebelum ini.

“Biarpun pakatan harapan cuba menonjolkan Tun Mahathir sebagai pemimpin utama pembangkang menggantikan Anwar Ibrahim, namun mereka tidak dapat menyorokkan hakikat bahawa Dap tetap menjadi parti yang paling berkuasa di dalam pakatan harapan dan pemimpin Melayu hanya boneka.

“Sebab itulah, kita lihat hari ini, kenyataan pihak pembangkang termasuk Tun Mahathir sendiri terhadap UMNO dan kerajaan adalah berbaur Dap. Apa yang Dap kata terhadap UMNO dan kerajaan sebelum ini, itulah yang diungkapkan kembali oleh Tun Mahathir untuk menyerang UMNO dan kerajaan.

“Sebab itulah kita yakin, bahawa Dap sekadar menggunakan pengaruh Tun Mahathir untuk mendapatkan sokongan rakyat, khususnya pengundi Melayu, sepertimana mereka pernah mempergunakan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sebelum ini,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau, penguasaan Dap terhadap pakatan harapan bukanlah satu propaganda UMNO sepertimana kata sesetengah pihak, tetapi ianya adalah berdasarkan realiti dan fakta.

“Sebenarnya, bagi saya sejak dari Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan, Dap sememangnya mahu menjadi parti yang paling berkuasa di dalam pakatan pembangkang. Sikap Dap itulah yang menyebabkan pakatan pembangkang berpecah sebanyak dua kali termasuklah apabila Pas bertindak keluar dari pakatan tersebut.

“Dap mahu pakatan pembangkang membawa idelogi politik pemikiran mereka seperti isu sama rata dengan slogan Malaysian Malaysia, dan kita dapat lihat hari ini kenyataan kepimpinan pembangkang, termasuklah Tun Mahathir dilihat lebih menjurus kepada kehendak politik Dap.

“Saya yakin, parti-parti lain seperti PKR, PAN dan juga PPBM tahu akan hakikat ini, namun kerana terlalu mahu berkuasa dan didesak dengan dendam kesumat terhadap UMNO, maka mahu tidak mahu, mereka terpaksa bercakap mengikut rentak dan nada yang dialunkan oleh Dap,” tegasnya.-MediaUMNO