Tahun 2017 menyaksikan landskap politik tanah air diselubungi mood pilihan raya umum (PRU) dengan Barisan Nasional (BN) selaku parti memerintah mempamerkan keazaman yang kuat untuk mengekalkan genggaman terhadap Putrajaya.
Kemunculan parti-parti baharu bagi mencabar keupayaan BN, khususnya UMNO selaku parti tunjang, dilihat hanya mengukuhkan lagi kesatuan parti perikatan terbesar tanah air itu untuk mendepani PRU ke-14 tahun depan yang disifatkan ramai pemerhati sebagai ‘ibu segala pilihan raya’.
Bagi UMNO yang baru sahaja mengadakan perhimpunan agungnya, perhimpunan terakhir sebelum PRU14, api perjuangan tambah membara selepas semboyan perang dibunyikan oleh barisan kepimpinan parti.
Sepanjang lima hari perhimpunan parti di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat berjaya menanam keyakinan dalam minda perwakilan dan anggota lain bahawa parti yang bakal berdepan pilihan raya itu adalah sebuah parti yang kuat, boleh dipercayai serta mampu meneruskan legasinya dalam aspek kepimpinan negara yang kukuh.
Pada masa ini UMNO menyandang 86 daripada 132 kerusi parlimen BN manakala pembangkang pula memiliki 88 kerusi dan dua lagi diwakili Bebas.
Mesej yang diberikan Najib dalam ucapan dasar dan ucapan penangguhannya pada perhimpunan agung itu cukup jelas iaitu mahu setiap lapisan dalam UMNO merapatkan saf masing-masing serta akur PRU14 bukan PRU biasa tetapi satu ‘peperangan’ yang akan menentukan kelangsungan dan hala tuju negara.
“Perang kali ini, yang bergelar ‘bapa segala pilihan raya’, kita akan bertempur, berlawan… lawan habis-habisan.
“Ternyata ini bukan soal main-main, sebabnya percaturan perjuangan kali ini cukup serius dan tiada tawar- menawar lagi,” katanya.
Sementara itu, parti MCA dan Gerakan yang mengadakan perhimpunan tahunan masing-masing pada November lalu juga telah menyatakan kesiapsiagaan penuh mereka dalam menghadapi PRU14.
Jelas, keputusan buruk pada PRU12 dan PRU13 meniup semangat kedua-dua parti untuk bangkit semula dan berusaha meraih kembali kepercayaan pengundi khususnya kaum Cina.
Malah, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pada perhimpunan agung tahunan parti itu, berkata usaha-usaha transformasi parti yang diterajuinya sejak 2014 tersebut kini membuahkan hasil.
Katanya semakin banyak sokongan masyarakat Cina telah kembali ke pangkuan BN setelah mereka sedar bahawa selama ini mereka telah dipermainkan pihak pembangkang dengan mimpi-mimpi di siang hari.
Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong pula meluahkan keyakinannya Gerakan akan memberikan prestasi lebih baik pada PRU14 termasuk merampas kembali beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Untuk memastikan masyarakat India di negara ini turut serta dalam arus pembangunan, Najib yang juga Pengerusi BN melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India pada April lalu.
Ia merupakan sebuah dokumen rasmi kerajaan yang menggariskan agenda pembangunan untuk meningkatkan taraf hidup komuniti itu bagi 10 tahun akan datang.
Dokumen tersebut, yang pertama pernah digubal kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan, membuktikan keprihatinan khusus Najib untuk memastikan kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat India di negara ini terus terpelihara, selaras dengan polisi keterangkuman yang dijunjung beliau.
Menurut Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam baru-baru ini, pelan tindakan itu mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat India yang berkeyakinan terhadap kepimpinan Najib untuk membawa transformasi kepada mereka.
Dalam itu, Najib tetap teguh dan fokus dalam misinya mewujudkan sebuah negara yang lebih makmur untuk rakyatnya. Beliau enggan membenarkan unsur-unsur manipulatif, penipuan dan serangan sengit pihak pembangkang menggugat usahanya.
Tegasnya UMNO dan BN telah menjadi mangsa politik persepsi yang didalangi pembangkang dan sekarang adalah masa untuk parti pemerintah itu memanfaatkan sepenuhnya semua platform, terutamanya media sosial bagi melancarkan serangan balik terhadap pembangkang dan pada masa sama mendekati pengundi untuk menangani persepsi mereka terhadap BN.
Dari segi pentadbiran kerajaan dan pengurusan ekonomi negara, BN turut mencatatkan prestasi yang amat membanggakan sepanjang 2017.
Kejayaannya dalam melaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan yang berkepentingan rakyat serta pengukuhan kedudukan ekonomi negara jelas membuktikan BN merupakan pilihan terbaik untuk terus mengemudi Malaysia ke arah kecemerlangan.
Antara projek infrarakyat yang memberikan impak besar kepada masyarakat ialah perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Klinik 1Malaysia.
Walaupun berdepan cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu, Malaysia masih mampu mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang memberangsangkan pada kadar 6.2 peratus bagi suku ketiga tahun ini.
Malah menurut Najib, 97.6 peratus Aku Janji kerajaan BN yang dibuat pada PRU13 pada 2013 telah berjaya dilaksanakan menerusi 17 inisiatif dan 156 inisiatif strategi, setakat bulan lepas,
Bajet 2018 yang digelar ‘ibu segala bajet’ telah dihasikan dengan mengambil kira kepentingan setiap kelompok rakyat Malaysia dengan komitmen untuk merealisasikan agenda Transformasi Nasional 2050 yang akan meletakkan Malaysia sebagai antara 20 ekonomi terbesar dunia.
Semuanya menunjukkan kesungguhan kerajaan BN pimpinan Najib untuk membina satu masa depan yang lebih baik dan berjaya untuk segenap lapisan rakyat Malaysia menjelang 2050 dan seterusnya.
Berbekalkan rekod prestasi yang cemerlang ini BN kini hanya menunggu isyarat akhir daripada Perdana Menteri untuk mara ke ‘medan perang’.
Sumber : UMNO Online