Showing posts with label PAU2017. Show all posts
Showing posts with label PAU2017. Show all posts

Saturday, 9 December 2017

Wanita UMNO Pegang Empat Tunjang Menang PRU14 - Shahrizat


Semangat ‘Perang Mesti Menang’ Wanita UMNO jelas terpancar pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO hari ini apabila empat tunjang digariskan untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu ‘pedang keberanian’, ‘perisai kesetiaan’, ‘bahtera satria’ dan ‘strategi perang’.

Melalui tunjang ‘pedang keberanian’, Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata Wanita tidak perlu takut kepada sebarang kekuatan lawan dan perlu mempercayai kepada ‘pedang’ yang dimiliki sendiri.

“Kerana ini, dalam peperangan politik, apabila parti kita diasak, keberanianlah yang menjadi pedangnya. Jangan pula antara kita yang menjadi pedang menikam parti sendiri.

“Apabila pemimpin kita diasak, keberanian mempertahankan pemimpin kita adalah pedangnya, jangan pula kita yang menghunusnya.

“Apabila bangsa kita diasak, keberanian untuk berada di barisan hadapan adalah pedangnya. Apabila agama kita diasak, keberanian untuk berjihadlah menjadi pedangnya,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan perhimpunan agung itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mengenai ‘perisai kesetiaan’ pula, pemimpin Ibu Terbaik Bangsa itu menjelaskan ia adalah kesetiaan kepada pemimpin, penyokong dan anggota parti ketika susah dan senang.

Beliau turut menarik perhatian lautan biru perwakilan dan pemimpin UMNO yang memenuhi Dewan Merdeka di PWTC apabila menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi Wanita kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Dengarkanlah Datuk Seri Presiden, setia Wanita tidak bertepi, percaya Wanita tidak ternafi, sokongan Wanita tidak akan terhenti, teruskanlah memimpin kami, kibarkanlah panji aspirasi, pandulah transformasi yang telah dijanji,” katanya.

Tunjang ketiga iaitu ‘bahtera satria’ pula bermaksud satu bahtera hanya ada satu nakhoda iaitu Najib, yang disifatkan Shahrizat sebagai tenang serta bijak mengemudi parti keramat itu.

“Ingat, selagi belum menang, layar bahtera tidak akan dilabuh. Makin kuat angin fitnah bertiup, makin tinggi layar kebenaran akan dikibar.

“Bagi strategi keempat iaitu ‘strategi perang’, sebenarnya strategi perang yang paling berkesan adalah keihklasan kita berkhidmat kepada rakyat…tidak ada apa yang lebih utama daripada itu,” kata Shahrizat yang memimpin Wanita UMNO sejak 2009.

Tolak Pengkhianat UMNO, Kesetiaan Ahli Yang Tinggi Lambang Keteguhan Parti

Image result for MAHATHIR PAKLAH DAN NAJIB

Tanggal 29 Februari 2017 rakyat Malaysia menyaksikan ‘Bapa Pemodenan Malaysia’ buat kali keduanya mengumumkan keluar daripada parti yang dulunya menjadi medan perjuangan beliau. Rakyat Malaysia menyaksikan titik hitam dalam sejarah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi bertindak sedemikian apabila menyifatkan UMNO sekarang bukan lagi parti UMNO tetapi parti Najib.

Tun Mahathir keluar dari UMNO buat pertama kalinya pada tahun 2008 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, kemudiannya kembali menyertai UMNO sehari selepas Datuk Seri Najib diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada 4 April 2009. Lebih dari itu, Tun Mahathir kini menyerang UMNO dan menyertai kelompok pembangkang dalam pakatan harapan.

Namun, potret beliau masih lagi jelas kelihatan di Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC) dan di dalam dewan keramat, Dewan Merdeka tempat beliau pernah melaungkan ungkapan ‘Melayu Mudah Lupa.


Bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ahli UMNO bersifat terbuka dan tidak mempunyai masalah jika potret beliau masih lagi dipaparkan sebagai simbol penghargaan dalam mengingati jasa beliau.

“Tidak kisah apa pun yang telah berlaku, yang paling penting ahli UMNO adalah mereka yang paling terbuka dan tidak timbul pun masalah untuk ‘mengugurkan’ wajah pemimpin yang telah pergi meninggalkan perjuangan yang pernah mereka pelopori selama ini.

“Ini bukti keterbukaan UMNO hari ini, kita tidak pula menyisihkan Tun Mahathir dalam sejarah perjuangan UMNO. Sekurang-kurangnya, tidak perlulah puak pembangkang khususnya dari PPBM untuk mengatakan bahawa UMNO membuang semua wajah Tun Mahathir dari bangunan ini sebagai membalas dendam terhadap apa yang dibuat Tun Mahathir kepada UMNO sejak akhir-akhir ini,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Larut.

Beliau turut menyifatkan jika seseorang ahli UMNO yang telah keluar dari parti lalu menentang segala perjuangan UMNO yang jelas untuk agama, bangsa dan negara maka individu terbabit adalah seorang pengkhianat.

“Jika dahulunya mereka adalah ahli UMNO, berjuang bersama UMNO tetapi selepas keluar UMNO, mereka membangkang dan menghentam segala yang UMNO lakukan …. Mereka inilah sebenarnya pengkhianat perjuangan bangsa, jadi saya nasihatkan ahli UMNO yang setia hari ini agar tidak akan mengikut telunjuk pengkhianat bangsa ini,” tambahnya.


Bagi EXCO Pergerakan Puteri UMNO, Khaidirah Abu Zahar pula menyifatkan bahawa UMNO tidak pernah menafikan jasa yang telah Tun Mahathir taburkan ketika zaman beliau sebagai Perdana Menteri dahulu.

Jadi tidak munasabah jika potret atau gambar-gambar beliau diturunkan daripada khalayak ramai kerana beliau pernah mengetuai UMNO satu ketika dulu.

“Beliau sangat hebat satu ketika dulu, jangan kita nafikan jasa beliau tetapi hari ini beliau bertindak menyerang semula perjuangan yang pernah beliau pelopori, malah lebih mengejutkan apabila beliau berdamai dan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin pembangkang yang satu ketika dulu merupakan musuh ketatnya terutamanya dari DAP dan juga bekas anak didiknya sendiri, Anwar Ibrahim,” ujarnya

Pengerusi Kelab UMNO Wales, Muhammad Nabil Halimi juga tidak menafikan bahawa Tun Mahathir merupakan seorang yang berpengaruh besar dalam kancah politik negara.

“… tetapi apabila beliau bertindak untuk keluar dari parti, kita dapat lihat ahli-ahli UMNO tidak pernah berkurang malah yang lebih penting hari ini kita mempunyai ahli yang benar-benar setia kepada parti dan bukannya ahli yang sekadar setia kepada seseorang individu semta-mata.

“Kesinambungan dari ini adalah soal kesetiaan, saya rasa kesetiaan ahli UMNO sangat tinggi dan saya rasa tidak perlu risau kerana kesetiaan ahli UMNO akan membuatkan sesebuah parti itu lebih kuat berbanding parti-parti lain”.

Mahasiswa Perlu Gunakan Media Sosial Sebagai ‘Tools’ Bantu BN Menang PRU-14


Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menyeru mahasiswa Kelab UMNO Luar Negara (KULN) untuk menggunakan media sosial sebagai ‘tools’ yang boleh membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Jelas beliau, memandangkan anak muda zaman sekarang amat meminati media sosial maka inilah peluang untuk mahasiswa KULN menceritakan kepada pengundi sebagai anak muda betapa kerajaan pimpinan BN membawa kebaikan dan kestabilan kepada negara.

“Perjuangan Wanita UMNO adalah untuk kita membina jalan politik, sosial, ekonomi dan lain-lain. Jadi kita mahu melihat anak muda membawa ‘automobil’ atau produk apa yang mereka ingin bawa ke ‘lebuhraya’ yang telah disediakan oleh kerajaan BN.

“Jika tiada ‘lebuhraya’ yang dibina di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib (Tun Razak), ianya adalah mustahil bagi mereka mencapai kecemerlangan,” ujar beliau dalam perjumpaan tertutup bersama mahasiswa KULN bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Beliau turut menyarankan kepada mahasiswa KULN agar bercampur dengan rakyat di tempat pengajian mereka.

“Mahasiswa perlu meluangkan masa untuk mengenali rakyat di sana dan menggunakan peluang yang sedia ada ini sebagai medan dan pentas untuk mereka melebarkan sayap dan mengembangkan ilmu pengetahuan mereka.

“Adalah satu kerugian kepada mahasiswa jika mereka tidak bercampur dengan rakyat di sana kerana mereka dapat mengembangkan cara kepimpinan negara dan bagaimana kita ‘survive’ sebagai satu negara yang membangun dan berbilang kaum.

“Mereka secara tidak langsung boleh menjadi duta atau ikon yang membawa aura positif kepada warga di luar negara supaya mereka minat dan menghormati negara kita,” ujar beliau lagi.