Showing posts with label Lensa Politik. Show all posts
Showing posts with label Lensa Politik. Show all posts

Monday, 28 August 2017

“Bila Kita Bersara, Perlulah Sokong Orang Yang Mengganti” - PM Najib



YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata pemimpin yang sudah bersara haruslah menyokong penggantinya kerana kekuatan yang diperolehnya sebelum ini adalah berdasarkan sokongan semua anggota UMNO.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata beliau gembira kerana menerima sokongan padu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas mengambil alih jawatan perdana menteri daripada beliau.

“Saya masih ingat lagi bila saya ambil alih jawatan daripada Pak Lah (Abdullah), beliau kata: “saya mahu anda lakukan lebih baik daripada saya dan bangunkanlah negara ke tahap lebih tinggi’. Ini adalah hati orang yang ikhlas walaupun serahkan jawatan kepada saya.

“Pada saya, beliau (Abdullah) adalah negarawan yang saya hormati kerana beliau tak pentingkan soal dirinya tetapi lebih pentingkan negara,” katanya semasa menggulung perbahasan pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, Ahad.

Beliau berkata setiap perdana menteri mempunyai kewajipan untuk membawa negara ke arah yang lebih baik daripada yang dilakukan pemimpin terdahulu, dan itulah yang menjadi pegangannya sejak mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Abdullah.

Sehubungan itu, kata perdana menteri, konsep dan pesanan Abdullah akan diserahkan kepada bakal penggantinya apabila tiba masanya kelak kerana beliau sedar tanggungjawab membina negara memerlukan sokongan semua pihak dan tidak boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat.

Najib berkata keadaan itu berbeza dengan bekas pemimpin yang pernah menerajui negara selama 22 tahun, yang tidak berpegang kepada prinsip tersebut selepas beliau bersara.

“Pemimpin itu sering melaung-laungkan kepentingan untuk menyokong pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan kepada semua anggota UMNO.

“Saya masih ingat lagi (pesanan itu). Mungkin beliau lupa atau sengaja buat-buat lupa yang beliau telah ingatkan anggota UMNO bahawa bila kita bersara, perlulah sokong orang yang mengganti kerana waktu kita jadi pemimpin orang lain menyokong kita.

“Ini merupakan petua yang malangnya beliau sendiri tidak amalkan. Saya kuat kerana di belakang saya ada sokongan padu daripada anggota parti. Ini bukan soal Najib Razak sahaja, tetapi kerana ampuhnya kita sebagai UMNO,” kata beliau.

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan turut meminta jentera parti bahagian itu mendekati anggota parti UMNO yang menjadi ‘orang hitam’ bagi meraih semula sokongan dan memastikan mereka mengundi parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Memang ada senarai dalam ‘war room’ kita nama-nama mereka yang kita kategorikan sebagai ‘orang hitam’, dan apabila kita semak nama mereka ternyata mereka anggota UMNO.

“Apabila kita tanya apa sebabnya (enggan mengundi UMNO), mereka nyatakan ada sesuatu yang tidak dapat kita tunaikan. Apabila kita tidak tunaikan mereka sanggup menyatakan ayat-ayat yang menggambarkan mereka menolak UMNO dan hendak mengundi pembangkang. Tetapi kita tidak pastilah mereka sanggup lakukannya atau tidak nanti.

Sebab itulah tindakan susulan perlu dilakukan, ADUN (anggota dewan undangan negeri), PDM (pusat daerah mengundi), JR (Jalinan Rakyat), perlulah ambil tindakan segera sebab mereka ini anggota UMNO. Saya nak tahu mereka ini benar-benar sanggup khianati parti atau tidak semata-mata tidak dapat sesuatu yang mereka kehendaki,” kata beliau.

Sementara itu, Najib melancarkan strategi ‘Jihad 191’ Bahagian Pekan untuk menambah bilangan anggota UMNO dan pengundi kawasan itu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi kawasan Parlimen itu dengan 40,000 majoriti undi pada PRU14.- Bernama

Sunday, 13 August 2017

Buka Pemilihan Presiden Kepada Anggota Bukti UMNO Bukan Milik Saya Seorang - PM Najib


Langkah membuka pemilihan Presiden UMNO kepada lebih 165,000 anggotanya pada 2013 merupakan bukti nyata bahawa UMNO bukan milik saya seorang berbeza dengan zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,? kata YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata pada zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir, bekas perdana menteri itu menggunakan mekanisme ?undi kuota' dan ?undi bonus' setiap kali tiba pemilihan parti untuk kekal berkuasa.

"Masa saya jadi Presiden UMNO, saya mansuhkan (undi kuota dan undi bonus) malah nasib saya, saya serahkan kepada lebih 165,000 ahli UMNO seluruh negara serentak yang mana lebih 165,000 ahli UMNO ini tidak boleh dibeli sesuka hati.

Sumber Video : BH Online


"Akhirnya saya menang tanpa bertanding, (membuktikan) UMNO sokong secara terbuka kepimpinan saya, bukti UMNO bukan milik saya tetapi milik semua ahlinya," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron; Setiausaha Kerja UMNO Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah; dan kira-kira 5,000 perwakilan UMNO bahagian itu.

UMNO menjadi lebih terbuka, demokratik dan inklusif apabila pindaan perlembagaan parti diluluskan pada 2009 yang antara lain meningkatkan jumlah perwakilan untuk pemilihan jawatan tertinggi parti dan jawatan peringkat bahagian selain menghapuskan sistem kuota dalam pemilihan parti.

Najib berkata Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan presiden UMNO bukan kerana beliau seorang pemimpin yang popular, sebaliknya kerana tindakannya 'mengunci' kepimpinan tertinggi parti dengan 'undi kuota' dan 'undi bonus'.

"Pada pemilihan UMNO 1987, dia (Dr Mahathir) bertanding melawan Tengku Razaleigh (Hamzah), dia menang dengan 43 undi sahaja, walaupun saya rapat dengan Tengku Razaleigh tetapi saya letak prinsip wala' (kesetiaan).

"Masa itu, saya Ketua Pemuda UMNO dan Tun M (Dr Mahathir) ketua saya maka saya wajib sokong Tun M, saya tampil kepada semua nyatakan sokongan saya. Tetapi apa dia buat - dia kunci kepimpinan tertinggi dengan 'undi kuota' dan 'undi bonus'," katanya.

Najib berkata sebagai Presiden UMNO, beliau membuat pelbagai keputusan secara rundingan bersama dengan Ahmad Zahid serta pemimpin UMNO yang lain dan hasil daripada langkah itu hari ini, UMNO menjadi sebuah parti yang lebih terbuka.

Siapa yang lebih diktator dalam parti. UMNO bukan saya punya malah lebih terbuka hari ini daripada masa-masa yang lalu, saya cuma pemimpin yang jadi pemimpin kerana sokongan daripada ahli-ahli UMNO, katanya.

Sementara itu, Najib berkata beliau tidak perlu menoleh ke belakang apabila melaksanakan tugasnya sebagai perdana menteri kerana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Ahmad Zahid.

Beliau berkata hubungan rapat yang dijalin dengan Ahmad Zahid bukan sehari dua sebaliknya bermula sejak tahun 1986 lagi dan ramai yang tidak mengetahui apa yang telah dilalui mereka berdua.

Tiada orang tahu berapa kali kami pergi kursus bersama duduk dalam sebuah dormitori bersama, tiada orang tahu susah senang Ahmad Zahid di Bagan Datuk yang mana saya sebagai Ketua Pemuda UMNO dulu saya beranikan diri berkempen untuk Ahmad Zahid.

Bila ada percubaan nak goncang keyakinan saya dengan Ahmad Zahid, saya ulangi keyakinan saya kepada Ahmad Zahid, supaya tidak boleh dipertikai oleh sesiapa, katanya.

Beliau berkata hubungan tidak formal yang merujuk kepada hubungan erat terjalin antara individu di luar daripada hubungan formal dalam parti atau organisasi tertentu akan membolehkan mereka yang terlibat bertahan lama dalam politik.- Bernama

Pemimpin Akar Umbi Jangan Jadi "Tukang Kipas" - TPM Zahid


YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegur pemimpin di peringkat akar umbi supaya tidak menjadi ‘tukang kipas’ dengan menyediakan laporan sokongan berstatus yang baik sahaja.
Sebaliknya, Naib Presiden UMNO itu berkata laporan dari bilik gerakan perlulah telus termasuk menyatakan sekiranya sokongan yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) kurang memberangsangkan.
“Laporan bila kita (pemimpin) balik kawasan semua cantik…mereka tukang kipas betul, sebab kalau turun (sokongan) mereka kena jawab.
Cerita yang benar, jangan jadi tukang kipas, kalau kita kurang sokongn kita baiki, kalau kurang (sokongan) tetapi dalam penyata kita diberitahu sokongan tinggi itu yang punah,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tapah di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden mengambil contoh, situasi yang berlaku kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pilihan raya umum ke-11 (PRU11) sehinggakan beliau hanya mendapat 261 majoriti undi dalam Parlimen Pekan.
“Undi lebih sikit aja sebab bila balik ke kawasan tengok laporan bilik gerakan naik. Tapi Dalam PRU12 naik 20,000 dan PRU13 naik lebih 22,000,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan isu nasional bukan faktor utama yang menyebabkan undi di sesuatu kawasan menurun,  sebaliknya perkhidmatan yang dilaksanakan oleh jentera dan pemimpin merupakan kayu pengukur.
Katanya, jentera parti perlulah sentiasa menjalankan kerja dan tanggungjawab walaupun pemimpin atasan tidak balik ke kawasan.
“Jentera perlu turun ke bawah betulkan persepsi, jangan turun bila pemimpin turun, bila pemimpin tak balik jentera pun tak peduli.
Itu bukan cara kerja jentera di peringkat bawah, walaupun pemimpin tak turun kerja tetap kena jalan, sebab saya banyak kali beritahu kita bukan parti politik bermusim,” katanya.
Ahmad Zahid juga optimis pengundi masyarakat Cina akan kembali menyokong BN pada PRU14 selepas golongan tersebut kini sedar mereka telah ditipu oleh pembangkang.
“Kita perlu melibatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan masyarakat Cina sebab mereka ingin rapat dengan kita,” katanya.

Saturday, 12 August 2017

Pas amalkan politik matang dalam isu 1MDB - PM Najib


Belum tiba masanya lagi untuk memikirkan mengenai kerjasama politik antara UMNO dan Pas, namun pada masa yang sama politik matang yang ditunjukkan Pas terutama dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihargai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Pas tetap menjadi parti pembangkang konstruktif yang bersaing dengan UMNO dalam hal-hal tertentu namun dapat menjalinkan kerjasama apabila ia melibatkan kepentingan Islam dan rakyat.

Katanya Pas tidak menyerang sesuka hati dan mengamalkan konsep tabbayyun atau menyiasat kesahihan sesuatu isu sebelum membuat kesimpulan.

Sebagai contoh isu 1MDB, Pas memanggil Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy untuk memberikan penjelasan sebelum membuat kesimpulan.

“Kita bersaing dengan Pas tetapi pimpinan Pas hari ini tidak macam dahulu. Pimpinan Pas hari ini lebih matang berpolitik, tolak kerjasama atau tahaluf siyasi dengan DAP.

“Mereka percaya kepada ta’awun iaitu kerjasama untuk kebaikan. Dan kita bekerjasama dalam banyak perkara, seperti dalam isu Rohingya dan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau (RUU 355).

“Dalam 1MDB, mereka (Pas) mengamalkan tabbayyun, mereka siasat dahulu, panggil Presiden 1MDB, Arul Kanda dengar penjelasan dan Presiden Pas kata mereka percaya pelan pemulihan 1MDB akan berjaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat & Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di sini pagi ini.

Mengenai kerjasama politik antara Pas dan UMNO, PM Najib menjelaskan perkara itu belum ada kepastian.

Turut hadir di majlis yang dihadiri lebih 20,000 rakyat Kelantan, ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Ahmad Azlan Yakob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pertahankan Rumah Umno, Jangan Dibiar Musnah - TPM Zahid


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar anggota UMNO sama-sama mempertahankan 'Rumah UMNO' daripada dicerobohi oleh pihak luar, termasuk beberapa bekas pemimpin, yang mahu melihat parti itu musnah.

Menyamakan parti keramat berusia 71 tahun itu sebagai 'rumah', Ahmad Zahid, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, berkata sememangnya menjadi tanggungjawab anggota parti untuk mempertahankan rumah itu daripada segala ancaman.

"Kita yang berada di rumah UMNO ini, memang tanggungjawab kita menentukan bahawa jikapun rumah kita bertingkapkan kaca, berdindingkan besi, kita tidak mahu mana-mana tokoh atau bekas pemimpin atau individu cuba membaling batu ke cermin tingkap rumah kita,"kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini malam ini.

Beliau mengakui bukan mudah untuk mempertahankan 'rumah UMNO' yang telah berusia 71 tahun, namun tiang seri parti itu disifatkan masih kukuh dan perlu terus dipertahankan, selain dipermodenkan mengikut peredaran semasa.

"Rumah itu harus dipertahankan dan jangan dirobohkan untuk jadi rumah baru kerana tiang serinya masih kukuh, lantai yang mula bocor itu kita tampal dan jika boleh kita ganti lantai dengan lantai baru,"tambah Ahmad Zahid, diringi tepukan gemuruh anggota perwakilan yang hadir.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan semua anggota UMNO bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang dianggap sebagai ibu kepada PRU dan merupakan satu peperangan besar bagi parti keramat itu.

"Sebagai pejuang parti, kita bukan pejuang materialistik tetapi untuk memastikan kemenangan, kita memerlukan komitmen semua untuk memastikan kemenangan pada pilhan raya akan datang," katanya.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid turut meminta anggota UMNO agar terus berjuang walaupun menghadapi apa jua bentuk cabaran yang datang.

"Itu semua perkara lama, kita kena ada daya tahan. Kita tidak boleh menoleh ke belakang. Bila kita pandu kereta, kita tidak boleh toleh ke belakang kerana kita akan kemalangan. Sesekali kita boleh jeling dan tengok cermin ke belakang.

"Ertinya kita tidak boleh menoleh ke belakang dalam perjuangan kita. Kita kena teruskan perjuangan kita,"kata beliau.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pulai yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Md Jais Sarday.

UMNO Komited Lebih Ramai Wanita Bertanding Pada PRU-14 - TPM Zahid


UMNO komited dalam memastikan lebih ramai wanita ditampilkan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi mencapai hasrat 30 peratus kaum wanita sebagai pembuat dasar, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO itu berkata sudah tiba masanya lebih ramai wanita diketengahkan sebagai anggota parlimen, anggota dewan undangan negeri (ADUN) malah sebagai menteri selaras dengan negara yang sudah mencapai 60 tahun kemerdekaan.

"Dalam mencapai 60 tahun merdeka, kita harus berubah minda dan sikap berhubung wanita. Apabila wanita bekerja kuat, jangan puji mereka (wanita) secara retorik sebaliknya beri mereka peluang untuk bertanding pada PRU.

"Bagi mereka kedudukan kerana wanita hari ini telah berada di peringkat profesional dan boleh membuat keputusan yang baik di negara ini," katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Maktab Rendah Sains Mara Batu Pahat, di sini Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong Datuk Zulkurnain Kamisan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata dalam situasi dunia tanpa sempadan dan langit terbuka ketika ini, ramai pemimpin wanita di dunia Islam sudah mula melakukan perubahan.

Malaysia juga sedang menggerakkan usaha menggalakkan peranan wanita dalam kerajaan, katanya.

"Perdana Menteri Bangladesh, ada Khaleda Zia, Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri dan Thailand juga pernah memiliki perdana menteri wanita. Insya Allah, Speaker Parlimen Singapura Halimah Yacob juga akan menjadi Presiden Singapura sama-sama kita doakan," katanya.

Beliau yang berpandangan Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam memartabatkan wanita turut meminta Mohamed Khaled supaya meneliti calon wanita yang sesuai bagi bertanding di kerusi parlimen dan dewan undangan negeri di negeri ini.

"Mohamed Khaled kena tengok supaya ada wanita calon parlimen atau ADUN. Saya bagi sokongan kepada Mohamed Khaled," katanya Sementara itu, Ahmad Zahid turut meminta seluruh jentera UMNO Johor terutamanya anggota UMNO Parit Sulong supaya menyerap semangat Panglima Kiai Salleh dalam menentang kekejaman komunis di Batu Pahat demi memastikan benteng UMNO negeri itu terus kukuh.

Menteri Dalam Negeri itu berkata semangat Panglima Kiai Salleh harus ada dalam setiap anggota parti sejajar dengan UMNO yang tidak pernah sesekali mengizinkan Johor diambil alih oleh pembangkang.

"Saya mengimbas sejarah Panglima Kiai Salleh ini kerana kita sering lupakan sejarah. Bagaimana Panglima Kiai Salleh tetap bersemangat tinggi seolah-olah beliau mempunyai tentera yang banyak walaupun sebenarnya tentera itu sedikit dalam melawan komunis.

"Generasi kedua dan ketiga dalam pemimpin UMNO harus ambil roh perjuangan Panglima Kiai Salleh sebagai mercu tanda baru bagaimana Johor perlu dipertahankan daripada musuh," katanya.



Garis Tiga Prinsip Penentu Kejayaan Perjuangan UMNO, BN - PM Najib


Roh perjuangan yang ikhlas untuk rakyat, barisan kepimpinan yang padu dan wala kepada pemimpin adalah tiga prinsip utama yang menentukan kejayaan perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sebaliknya, perjuangan yang berasaskan balas dendam, kekecewaan dan material pasti akan menemui kegagalan.

"Kalau perjuangan itu berdasarkan roh perjuangan yang suci untuk melakukan sesuatu yang terbaik, maka insya-Allah akan berkat perjuangan kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang, di sini, hari ini.

Najib yang juga Presiden UMNO turut berharap akan berlaku perubahan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 berbanding pilihan raya sebelum ini memandangkan sokongan terhadap UMNO dan BN di negeri itu bertambah baik.

Sementara itu, Najib berkata sebanyak 418 unit rumah PPR dengan kos RM75 juta yang sedang dibina di Kampung Batu 25 di sini, dijangka siap pada awal 2019.

Beliau berkata PPR berkenaan yang merupakan antara lapan projek yang sedang dan telah siap dilaksanakan di Kelantan, adalah sebahagian daripada janji beliau kepada rakyat Machang beberapa tahun lepas.

Beliau berkata setiap unit rumah PPR itu dijual pada harga RM35,000 seunit dengan subsidi antara RM80,000 dan RM120,000 ke atas ditanggung kerajaan berdasarkan kos pembinaan dan harga tanah bagi sesebuah PPR.

"Kerajaan persekutuan melakukan yang terbaik untuk semua rakyat Kelantan. Sebagai Perdana Menteri saya tidak pernah amalkan dasar menghukum rakyat Kelantan, kalau diukur dari segi peruntukan saya beri lebih daripada pemimpin yang terdahulu.

"Di bawah Rancangan Malaysia Kelapan jumlah peruntukan yang diluluskan kepada Kelantan hanya RM3.7 bilion manakala pada Rancangan Malaysia Ke-11 peruntukannya berjumlah RM12.87 bilion, hampir empat kali ganda,\" katanya.

Antara pembangunan yang dilaksanakan kerajaan persekutuan di Kelantan ialah lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai, projek perumahan, hospital, jambatan baharu serta membina dan membaik pulih masjid.

Pada majlis itu, Najib turut merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Machang.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dan Anggota Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub - Bernama

Saturday, 5 August 2017

Zambry: DUN Atau Parlimen?


Saat diaju persoalan sama ada beliau akan bertanding di kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan ia soalan paling popular diterimanya sejak beberapa bulan ini.

Malah, bagi Menteri Besar Perak itu, persoalan berkenaan menimbulkan rasa ingin tahunya mengapa ramai pihak membuat spekulasi mengaitkannya dengan kerusi Parlimen antaranya Lumut, Bukit Gantang, Tambun dan Gerik.

Dalam nada berhati-hati, beliau berkata ia terpulang kepada pucuk pimpinan parti dalam menentukan kedudukannya sama ada terus kekal di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau beralih ke kawasan Parlimen.

"Saya seorang yang mudah, disuruh pergi saya pergi, disuruh datang saya datang. Apabila amanah diberi, saya akan memberikan khidmat bakti," katanya dalam temu bual dengan Bernama pada Jumaat .
Bagaimanapun, ADUN Pangkor itu berkata beliau telah dimaklumkan untuk terus mengepalai jentera Barisan Nasional (BN) Perak pada PRU14 dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Ditanya sama ada ia merupakan indikasi untuknya terus menerajui kerajaan negeri, Zambry berkata urusan pelantikan Menteri Besar merupakan keputusan Najib yang perlu mengemukakan nama calon bagi mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Kata Zambry, beliau yakin pucuk pimpinan parti akan membuat penilaian terbaik terhadap dirinya berdasarkan maklum balas daripada rakyat dan akar umbi dalam menentukan sama ada beliau layak untuk terus menerajui kerajaan negeri, sekiranya mendapat mandat rakyat pada PRU14.

Beliau berkata fokus sebenar bukan kepada isu siapa yang akan dilantik menjadi Menteri Besar, sebaliknya persiapan menghadapi PRU14 dalam memastikan kemenangan BN.

Dilihat sebagai satu daripada medan pertempuran sengit pada PRU14 dengan BN Perak hanya memenangi 31 daripada 59 kerusi DUN pada PRU13, Zambry berkata pelbagai usaha harus giat dilakukan seperti memastikan semua anggota parti itu termasuk yang berada di luar kawasan untuk mengundi.

"Sebagai contoh, ada kawasan Parlimen kita tewas hanya tidak sampai 900 undi tetapi apabila kita membuat perkiraan, anggota UMNO yang tidak keluar (mengundi) lebih kurang 3,000 orang. Tetapi bukan sebab dia boikot calon yang berkenaan, tetapi mungkin mereka menganggap bahawa calon itu akan menang," jelasnya.

Beliau bagaimanapun melahirkan keyakinan BN akan terus mengekalkan kuasa di negeri Perak berasaskan kepada gerak kerja dan program-program yang telah dilaksanakan demi membantu rakyat.

"Kami bekerja sebaik habis PRU lepas dan kami terus bekerja...ini akan memberikan perspektif yang baik kepada rakyat berbanding sesuatu parti yang hanya bekerja apabila pilihan raya akan diadakan," tambahnya.

Zambry berkata slogan kerajaan BN Perak 'Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir' menjadi pegangan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan parti politik.

Mengenai persoalan sokongan masyarakat Cina kepada BN di Perak, beliau yakin pengundi kaum Cina akan melihat keupayaan parti itu mengekalkan kesejahteraan dan keamanan serta pertumbuhan ekonomi sebagai faktor dalam membuat penilaian.

"Kita tidak boleh membuat tanggapan bahawa sokongan masyarakat Cina tetap statik, atau tidak berubah, trend atau pemikiran mereka sentiasa kepada pembangkang. Saya tidak fikir begitu kerana mereka merupakan masyarakat yang dinamik dan mereka melihat sesuatu perkembangan dan realiti," katanya.

Mengenai calon PRU14, Zambry berkata ia melibatkan kombinasi antara golongan berpengalaman, muda dan wanita selain pemimpin di peringkat akar umbi.

"Kita sudahpun ada senarai-senarai calon dan kaji selidik sedang kita buat untuk melihat calon-calon yang boleh diterima, ini termasuk mereka yang sedang berkhidmat sama ada ADUN mahupun Anggota Parlimen. Semua akan dibuat penilaian kerana Perdana Menteri amat menekankan aspek prestasi dalam kalangan Yang Berhormat kita," katanya.- Bernama

Thursday, 3 August 2017

Kesetiaan Ahmad Zahid Usah Dipertikai



Ternyata cubaan dan usaha untuk melagakan Zahid dan Najib tidak menjadi kenyataan. Semua sedia maklum bahawa Wala' Taat setia Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Razak tetap utuh dan ikatan setiakawan yang terjalin sejak sekian lama. Kita sedia maklum sejak Ahmad Zahid dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pelbagai cerita dan usaha untuk menjatuhkan beliau dirancang pelbagai pihak yang ternyata tidak mahu melihat kombinasi "Barisan Ampuh" dibina dalam pentadbiran Najib dan Zahid.

Sememangnya perkataan kontroversi tidak boleh dipisahkan daripada lipatan sejarah peribadi Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Dan bukannya semua pemimpin sanggup dilabelkan sebagai seorang yang kontroversi kerana perkataan itu lebih banyak mengandungi elemen negatif.

Apa sahaja yang dilakukan oleh Ahmad Zahid akan mendapat perhatian dan setiap laungan atau kata-kata yang dikeluarkan, pasti akan mendapat respons sama ada yang positif ataupun negatif. Ahmad Zahid bukanlah setahun jagung dalam permainan ini. Kata-kata yang pernah diluahkan oleh pihak lawan akan diterjemahkan dengan cara dan nada yang lain apabila Ahmad Zahid pula yang bersuara.

Benarlah bagai dikata, pengalaman adalah sebaik baik guru. Dan dalam hal ini, Ahmad Zahid sudah banyak makan garam dan melalui pelbagai rintangan dan dugaan, terutamanya ketika mula-mula mencipta nama ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO pada 1996 dahulu. Sepak terajang yang dilalui dalam dunia politik dilalui Ahmad Zahid.


Beliau pernah dilabel sebagai 'orang itu' dan 'orang ini'. Namun hakikatnya beliau tidak pernah menumpang kejayaan dan populariti orang lain. Kejayaan Ahmad Zahid adalah disebabkan oleh usaha beliau sendiri yang menunjukkan sifat kepemimpinan jitu sejak dahulu lagi.

Perhatikan sahaja bagaimana beliau menempa nama dalam perjuangan politiknya. Beliau melalui pelbagai proses, bertanding pelbagai jawatan dalam UMNO dan diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan penting dalam kerajaan. Beliau tidak pernah diberikan laluan mudah dan sudah merasai jatuh bangun sebagai seorang ahli politik.


Hubungan Kerja Sudah Lama

Sekarang, sekali lagi beliau berdepan dengan satu lagi fitnah, kononnya beliau berjumpa dengan bekas pemimpin UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad dan digambarkan seperti mempunyai niat untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak. Ahmad Zahid bukanlah seorang insan yang sanggup menikam sahabat dari belakang dan jangan sekali-kali kita semua mempertikaikan kesetiaannya kepada Perdana Menteri.


Hubungan kerja antara Ahmad Zahid dengan Najib sudah lama terjalin iaitu sejak beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Najib ketika Najib memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pertahanan iaitu dari 1986 sehingga 1993. Itu sebabnya kesetiaan Ahmad Zahid, jangan dipersoalkan.


Hari ini pihak lawan akan sentiasa memerhatikan apa yang dilakukan oleh Ahmad Zahid. Sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam dunia politik, Ahmad Zahid tahu segala usaha baik yang cuba dilakukan oleh dirinya dan pihak kerajaan umumnya akan dilenyapkan apabila timbulnya sesuatu yang lebih kontroversi.

Contohnya, barangkali mungkin ada yang masih ingat baru-baru ini Ahmad Zahid menegaskan bahawa Pusat Sufi Sedunia akan ditubuhkan di sini sebagai pusat untuk menjalankan kajian dan menghimpunkan pandangan mengenai amalan itu, seterusnya menyebarkannya ke seluruh dunia. Ahmad Zahid menjelaskan lagi bahawa ini adalah satu usaha yang baik untuk membantu membetulkan pandangan serong, prasangka dan prejudis terhadap agama Islam.


Namun belum sempat kita menilai secara mendalam akan usaha murni yang dilakukan ini, Ahmad Zahid terus diserang bertubi-tubi oleh pihak lawan yang nampaknya tidak memberi peluang langsung kepada beliau. Ini semua adalah permainan seteru politik yang begitu cemburu melihat gandingan mantap Najib-Ahmad Zahid yang pastinya dapat terus memberikan kekuatan dan semangat baharu kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk berdepan pilihan raya umum (PRU) akan datang.


Kombinasi Begitu Digeruni

Apa yang pasti, fitnah dan serangan terhadap Ahmad Zahid serta Najib ini akan berterusan. Ini juga membuktikan bahawa kombinasi kedua pemimpin tertinggi ini begitu digeruni pihak lawan hingga sanggup menabur fitnah bagi mencerobohi benteng yang kukuh dibina dan sukar untuk ditembusi ini.

Ahmad Zahid juga tahu yang setiap langkahnya akan diawasi dan setiap kata-katanya akan cuba digunakan oleh pihak lawan untuk menentangnya. Namun bagi Ahmad Zahid, ini semua adalah permainan kotor pihak lawan yang semakin ketandusan idea untuk menjatuhkan beliau sebagai seorang pemimpin.

Wala’ Saya Untuk Najib - Zahid ( Persidangan Agung UMNO December 3, 2016)


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan wala’nya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dihadapan perwakilan parti itu dan beliau tidak akan sesekali derhaka kepada ketuanya.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu berkata, usahlah cuba untuk ‘cucuknya’ kerana beliau tetap taat kepada pucuk pimpinan.

“Wala’ saya kepada beliau (Najib) tidak berbelah bahagi, pemimpin kita hanya seorang. (Datuk Seri) Presiden kita berbuat baik seperti mana Allah berbuat baik kepada kita.

Image result for zahid najib hishamudin

“Datuk Seri (Najib), (Datuk Seri) Hishammuddin dan saya dua beradik. Jangan lagakan dua beradik ini, cukuplah.

“Kita ada seorang ketua, ketua kita pemimpin parti kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 (PAU2016) di PWTC.

Pada sesi itu juga Ahmad Zahid turut mengajak perwakilan bangun sebagai menyatakan taat setia kepada Presiden UMNO sambil melaungkan ‘Hidup Najib’.

Sebelum itu memulakan ucapannya, beliau menyampaikan seloka mengingatkan kepemimpinan parti supaya menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.


Saya Tidak Akan Tinggalkan PM Najib - TPM Zahid


YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan terus wala' dan berdiri teguh di belakang Perdana Menteri,YAB Datuk Seri Najib Razak, untuk menghadapi segala ujian.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Perdana Menteri terpaksa berdepan pelbagai fitnah dalam tugasnya mentadbir negara dan beliau sebagai orang nombor dua juga turut terkena tempiasnya.

"Saya Tidak Akan Tinggalkan Perdana Menteri Keseorangan Menghadapi Mehnah (ujian) Ini".

"Konsep wala' dan taat inilah yang saya terjemahkan. Perdana Menteri turut mengingatkan kita supaya tidak setia membuta tuli," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 - Fiqh Wala' dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara.

Ahmad Zahid berkata, politik kini sudah menjadi medan fitnah dan maki serta berkonspirasi, bukan lagi untuk bermuafakat.

"Inilah realiti politik dan suasana mutakhir serta zaman ini. Masing-masing berusaha melepas diri dan seronok menyebar serta melayangkan fitnah," tegas Ahmad Zahid.

Sumber : Blog Parlimen Bagan Datuk






Monday, 24 July 2017

UMNO Tidak Kenal Erti Kalah Dalam Perjuangan

Hasil carian imej untuk UMNO

Tiada istilah kalah dalam UMNO, sebaliknya parti keramat orang Melayu itu sentiasa bekerja keras untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata untuk itu, anggota UMNO tidak sewajarnya mudah gentar, sebaliknya perlu mempunyai 'winning mentality' dalam memperjuangkan parti demi kelangsungannya serta Barisan Nasional (BN).

"Kita rasa kita menang kerana kita kerja bersungguh-sungguh dalam memberi peranan kepada rakyat. Pada PRU lalu ada rakyat telah dikelirukan dengan tohmahan dan janji kosong, jadi kita perlu jelaskan perkara sebenar supaya dia kembali bersama kita.

"Kadang kala kita perlu menyerang, kita tidak boleh mempertahankan diri kerana musuh tidak menunggu kita, malah akan mencari jalan untuk hapuskan kita, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyerang,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Gopeng di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian Gopeng Datuk Hamzah Kassim.

Menurut Salleh, dalam perjuangan, pemimpin bukan menjadi ukuran utama kerana mereka datang dan pergi, tetapi matlamat perjuangan adalah yang menjadi keutamaan.

"Matlamat parti politik bukan hanya untuk memberi pembangunan kepada rakyat kerana memberi pembangunan sememangnya tanggungjawab kita (pemimpin) bukannya perjuangan.

"Sebaliknya, kita perlu menjiwai perjuangan (parti), kalau tidak jiwainya, kita hanya sekadar menjadi ahli biasa dan itu tidak akan mencapai matlamat kita,"katanya.

Dalam pada itu, berkata anggota UMNO perlu supaya berhati-hati kerana mereka kini perlu menempuhi cabaran di media sosial tidak seperti dahulu.

"Setiap hari macam-macam maklumat palsu yang disebarkan musuh bertujuan untuk menghilangkan kepercayaan kepada pemimpin dan parti yang hanya akan memecahbelahkan kita, jadi kita perlu berhati-hati,"katanya. - Bernama

Monday, 29 May 2017

62 Tahun, Barisan Nasional Sebenarnya Yang Berpakat, Bukannya Pakatan Pembangkang


Pada tahun 1952, UMNO yang pada ketika itu baru berusia 8 tahun penubuhannya telah membentuk satu gabungan perikatan bersama-sama Persatuan Cina Malaya (MCA) untuk hadapi Pilihan Raya Majlis Bandaraya Kuala Lumpur.

UMNO pada waktu itu diterajui oleh Tunku Abdul Rahman bersama-sama Tun Tan Cheng Lock dari MCA menghadapi pilihanraya Majlis Bandaraya Kuala Lumpur, sebelum Pilihan Raya Umum pertama diadakan. Hasilnya, Parti Perikatan ini mencapai kemenangan yang menyakinkan.

Setelah berjaya mengasilkan kejayaan yang menakjubkan, Kongres India Se-Malaysia (MIC) akhirnya tertarik untuk menyertai Parti Perikatan. Pada 27 Julai 1955, sewaktu Pilihan Raya Umum pertama, UMNO, MCA dan MIC berjaya memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

Perikatan tersebut diberikan keutamaan untuk menubuhkan kerajaan pertama di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertama. Beliau kemudian menubuhkan Kabinet Menteri yang dilantik daripada pelbagai kaum di Malaysia.

Barisan Nasional pula ditubuhkan secara rasmi pada 1 Januari 1973 oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussien. Secara amnya, penubuhan Barisan Nasional ini adalah pengganti kepada Parti Perikatan dengan keanggotaan Barisan Nasional ini berkembang dengan meliputi parti-parti yang ada di Sabah dan Sarawak.

Inilah sejarah kemunculan Parti Perikatan yang menjadi teras kepada kejayaan gabungan 14 buah parti di dalam Barisan Nasional hari ini. Sudah 62 tahun termasuk sejak Perikatan lagi.

Sejarah ini terlalu panjang untuk dirungkai, namun apa yang pasti, selama 62 tahun, gabungan teras antara UMNO, MCA dan MIC dengan disertai oleh 11 buah parti yang lain, kekal menerajui kerajaan sehingga kini.

Pada usia 62 tahun, gabungan parti-parti politik ini kekal mengamalkan toleransi tahap tertinggi. Soal siapa hendak menjadi Perdana Menteri, soal logo, soal perlembagaan parti, soal agihan kerusi semasa PRU dan soal agihan jawatan kabinet dicapai persetujuannya secara konsensus dalam BN.

Pembangkang yang menggunakan perkataan "pakatan" yang sebenarnya tidak berpakat. Pembangkang sudah mencuba beberapa gabungan dan mahu meniru cara pakatan seperti BN, tetapi akhirnya mereka gagal mencapai kata sepakat.

Pembangkang cuba bergabung buat pertama kali pada era 1990-an apabila DAP, PAS dan Semangat 46 membentuk Barisan Rakyat namun menemui kehancuran pada pertengahan 1999.

Reformasi muncul. Keadilan berganding bersama PAS. Manakala DAP pula mengheret Parti Rakyat Malaysia (PRM) atas satu nama baru iaitu Barisan Alternatif (BA). Barisan ini pun tidak tahan lama, DAP keluar dari BA kerana tidak puashati dengan PAS pada 2001.

Gabungan BA ini yang diterajui PKR dan ikatan longgar dengan PAS dan DAP mampu bertahan selama 9 tahun sahaja sebelum dibubarkan pada tahun 2008.

Pada 2008 pula, DAP, PAS dan PKR membentuk satu gabungan baru yang diberi nama Pakatan Rakyat. Sudah tiga nama bertukar, dari Barisan Rakyat ke Barisan Alternatif dan kemudian jadi Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat pun menemui kehancuran pada 2015. Muncul pula buat kali keempat nama Pakatan Harapan dengan DAP menjadi ketua bersama PKR, PAN dan PPBM.

Sudah pasti nama Pakatan Harapan ini tidak akan kekal lama jika mereka menawan Putrajaya. Akan berlakulah pergolakan merebut jawatan PM, jawatan menteri dan agihan harta negara yang mereka anggap hendak bankrap dan muflis ini.

Entah apa nama pakatan yang mereka hendak beri nanti. Nama apa pun, ketuanya tetap sama iaitu DAP. Amalan kuku besi, kronisme dan dasar yang chauvinis sudah pasti dilaksanakan oleh parti yang berteraskan DAP ini.

UMNO sejak 71 tahun dulu sudah ada 7 orang Presiden. MCA sejak 68 tahun dulu, sudah ada 10 orang Presiden. MIC sejak 71 tahun, ada 9 orang Presiden. Gerakan sejak 49 tahun sudah ada 5 orang Presiden. PAS sejak 62 tahun dulu, dah ada 7 orang Presiden.

Hanya DAP yang ada satu nama sejak 51 tahun dulu iaitu Kit Siang. Ini parti yang demokratik? Parti yang demokratik dan berpakat adalah parti parti dalam Barisan Nasional.

BN kekal berbakti dan berbudi kepada rakyat selama 62 tahun dulu sejak Perikatan lagi. Pakatan pembangkang hanya berpakat pakat sahaja hendak rebut kuasa sahaja.

Lepas dapat kuasa, habis binasa dibuat mereka. Lebih baik jangan perjudikan nasib negara kita pada mereka yang "berpakat pakat" secara tidak ikhlas ini. Tetaplah hati bersama BN. - Beruang Biru