Showing posts with label Najib Razak. Show all posts
Showing posts with label Najib Razak. Show all posts

Wednesday, 20 February 2019

Selepas Di Serang Bertubi2, Ini Hantaran Troll Terbaru Najib Kepada PH



Mantan Perdana Menteri, BossKu DS Najib Razak menasihatkan penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan agar tidak “panas” dengan kehadirannya pada pilihan raya kecil Semenyih.

Katanya, dirinya tidak lagi mempunyai jawatan baik di dalam Umno mahupun dalam BN serta tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil 2 Mac ini.

“Saya bukan calon di Semenyih. Saya juga bukan presiden Umno atau (pengerusi) BN. Buat apa nak serang saya?” soal Najib dalam satu hantaran di Facebook.

Sebelum ini, adalah dilaporkan risalah propaganda yang dikaitkan dengan Najib disebarkan di Semenyih.

Risalah itu antaranya memuatkan tulisan ‘Pencuri, perompak, penyangak, penyamun’ ‘Malaysia jangan lupa’.

Najib dalam hantaran di Facebook, turut berkongsi laporan berita Malaysiakini, hari ini yang bertajuk ‘Najib umpama kereta antik, orang suka tegok tapi tak beli’.

“Saya cuma pergi ke Semenyih untuk beli sedikit barang di Tesco dan sekali-sekala ke sana untuk test mikrofon.

“Itupun PH mahu panas tiap-tiap hari. Kalau panas sangat, Semenyih ada waterfall. Mandi air sungai, sejukkan badan,” katanya.

Menurut Najib, dengan menyerang beliau setiap hari tidak akan menyebabkan ekonomi negara bertambah baik dan kos sara hidup rakyat menurun.

“Maka, menyerang saya tiap-tiap hari tidak bermaksud ekonomi akan bertambah baik atau agama telah dipertahankan.

“Menyerang saya tiap-tiap hari tidak bermaksud kos sara hidup rakyat akan turun.

“Menyerang saya tiap-tiap hari tidak bermaksud sijil-sijil tipu menteri tiba-tiba menjadi sahih.

“Atau menteri-menteri mereka tidak lagi menjadi bahan jenaka untuk menghiburkan rakyat tiap-tiap hari.

“Menyerang saya tiap-tiap hari tidak bermaksud janji-janji mereka telah ditepati dan bukanlah lagi capati free yang dihidang kepada rakyat tiap-tiap hari,” katanya sinis.

Rujuk Link FB BossKu DSNR




Friday, 8 February 2019

ULANGTAHUN PERKAHWINAN YANG SUNGGUH MENYAYAT HATI BUAT DATO’ SRI Najib Razak DAN DATIN SRI ROSMAH



7/2/2019  merupakan Ulangtahun Perkahwinan Dato’ Sri Najib Tun Razak, Mantan Perdana Menteri dan isteri kesayangan beliau Datin Sri Rosmah Mansor yang ke 32.  Beberapa jam yang lalu, pasangan ini penuh ceria bukan sekadar kerana ulangtahun mereka, tetapi hari ini menjadi lebih indah apabila Peguam Negara memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengugurkan 3 pertuduhan keatas Dato’ Sri Najib.

Belumpun puas meraikan kemenangan kecil pagi tadi, tiba-tiba 3 buah kenderaan SPRM hadir untuk membawa berita sedih bahawa Dato Sri Najib perlu mereka tahan untuk didakwa esok pagi jam 8.30 8hb Februari, 2019 di Mahkamah Sesyen Jalan Duta.  Apa perlunya beliau bermalam dilokap malam ini? Pernahkah beliau tidak hadir di SPRM atau di Mahkamah apabila dipanggil?  Alhamdulillah, selepas perundingan pihak peguam dengan pegawai-pegawai SPRM, akhirnya pihak SPRM menggunakan budibicara mereka dan beredar pulang.

Insiden petang ini tidak akan berlaku jika Peguam Ketua Komunis Malaya dan Peguam Lim Guan Eng, Tommy Thomas tidak dilantik sebagai Peguam Negara.  Sekiranya Tun Mahathir tidak tunduk dengan desakan DAP untuk melantik Tommy yang hanya mempunyai pengalaman dalam kes sivil dan tidak pernah mempunyai pengalaman mengendalikan kes jenayah, sudah pasti pendakwaan ke atas Dato Sri Najib tidak akan menjadi haru biru seperti ini.

Tommy Thomas jelas tidak layak menjadi Peguam Negara dan wajar meletakkan jawatan.  Sudahlah Jabatan Peguam Negara dibawah pentadbiran beliau mengamalkan pendakwaan terpilih dan gagal menegakkan “Rule of Law”, tindakan Tommy Thomas berdansar dengan individu kontroversi  dan Menteri Hal Ehwal Undang-undang, jelas menunjukkan beliau tidak memahami konsep “separation of power”.  Tindakan beliau menyorok maklumat perletakan jawatan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya Oktober lalu sehingga wujudnya tribunal yang mengaibkan untuk memecat orang yang sudah meletakkan jawatan jelas menunjukkan beliau tidak mempunyai sifat amanah dan bertanggungjawab.  

Tindakan beliau menceritakan tentang kes Dato Sri Najib yang masih dalam proses perbicaraan kepada kumpulan Tan Sri Faridah G25, jelas menunjukkan beliau telah sebagai Peguam Negara telah menunjukkan contoh yang tidak baik dengan melakukan sesuatu yang menghina mahkamah.  Namun, kebodohan yang melampau dan tidak dapat diterima sama sekali adalah apabila Tommy Thomas melakukan 3 pertuduhan terus di Mahkamah Tinggi terhadap Dato Sri Najib, tanpa mendakwa beliau terlebih dahulu di Mahkamah Sesyen.  Saya fikir DAP hanya mampu melahirkan Menteri Cap Ayam, rupa-rupanya Peguam Negara yang mereka cadangkan juga Cap Ayam.

Dato’ Lokman Noor bin Adam
Ahli Majlis Tertinggi UMNO


Thursday, 7 February 2019

Rafidah Apa Jadi Dengan Tuduhan 40,000 Hektar Tanah Diswastakan? -Najib Razak



Apa jadi kepada tuduhan "Demi Allah" Rafidah? 

Saya juga ingin bertanya lagi mengenai tuduhan amat berat yang dibuat terhadap saya sebelum PRU14.

Tuduhan Tan Sri Rafidah Aziz sebulan sebelum PRU14 di mana bekas menteri ini memulakan kenyataan tuduhannya dengan ayat "Saya bersaksi dengan Allah" dan diakhiri dengan “Wallahi, Wabillahi, Watallahi” kononnya 40,000 hektar tanah telah diswastakan kepada syarikat milik 3 individu dan mereka kini memiliki ‘setiap inci tanah’ Kementerian Pertahanan atau pihak tentera.

Nama Allah telah digunakan untuk melemparkan tuduhan. 
Ini satu tuduhan palsu yang amat berat yang digunakan untuk menaikkan kemarahan undi tentera sebelum PRU14 semasa beliau berkempen untuk PH.

Kini, PH telah memegang Putrajaya selama 9 bulan dan boleh merujuk dan membuat siasatan sesuka hati untuk mencari bukti tetapi hingga sekarang, tiada pengumuman ataupun kenyataan pernah dibuat mengenai tuduhan yang amat serius ini.

Sekadar memeriksa Surat Hakmilik sudah tahu kebenaran. Tak sampai setengah hari pun.

Inipun sudah masuk 9 bulan.

Apa telah jadi dengan tuduhan "Demi Allah" ini?

Najib Razak

Projek-Projek Zaman Che Det Tidak Pernah Dibatalkan Di Era BN - Najib Razak


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak pernah membatalkan projek-projek di bawah pemerintahan Perdana Menteri terdahulu sepanjang sembilan tahun memegang jawatan itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau malahan cuba menambah baik lagi projek atau pembangunan sedia ada kerana semangat tersebutlah yang sepatutnya dipegang oleh kerajaan.
Saya tak pernah batalkan projek (Tun) Dr. Mahathir (Mohamad)… LIMA (Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi) itu pun saya teruskan.

“Inilah semangat kita, kita tak boleh batalkan orang dahulu buat (tapi), kita buat lebih baik daripada dahulu,” katanya semasa berucap dalam Majlis Santai UMNO dan Pas di Wisma UMNO Bahagian Langkawi malam tadi.

Tambah Najib, beliau juga tidak pernah menafikan jasa Dr. Mahathir dalam membangunkan Pulau Langkawi.
“Saya tak nafikan apa Che Det (Dr. Mahathir) buat untuk Langkawi, jadi apabila saya jadi Perdana Menteri saya bawa ke peringkat lebih tinggi lagi dan kalau ada Perdana Menteri lain nanti (patut) bawa ke peringkat lebih tinggi juga,” ujarnya.

Beliau dalam ucapan itu turut berkongsi beberapa projek pembangunan yang diluluskannya ketika menjadi Perdana Menteri iaitu antaranya kelulusan tambahan 300 katil di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan rumah kos rendah berjumlah 1,000 unit.

“Saya bangunkan juga projek kabel dasar laut kepada penduduk Pulau Tuba yang berharga RM50 juta bagi mengatasi gangguan elektrik di situ, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sebanyak RM89 juta dan RM600 juta untuk loji air.

“Bukan sekarang nak batal segala-galanya, batal-batal ini siapa pun boleh buat.. tiada masalah,” katanya dipercayai merujuk kepada beberapa projek mega negara yang masih menjadi tanda tanya.
Dalam pada itu, Najib turut berkongsi kekecewaan pemandu teksi di pulau pelancongan itu terhadap isu grab atau e-hailing yang dijanjikan akan dimansuhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Grab ini menyebabkan orang teksi nak dapat RM60 sehari pun susah, kerja dari pagi sampai malam kena potong itu potong ini. Grab tak ada apa peraturan, depa (mereka) pakai selipar, kain pelikat pun boleh bawa kereta.

“Sampai hari ini tak boleh buat (mansuh), kalau tak boleh haramkan Grab sekurang-kurangnya letak ia setara dengan teksi, kalau teksi kena PSV, Grab pun kena ada PSV dan kalau teksi ada insuran, Grab pun sama supaya keadilan kepada pemandu teksi di Langkawi dan tempat-tempat lain,” katanya.


Friday, 1 February 2019

Najib Tanya Menteri PH, Kenapa Kos Kamera AES Zaman PH Lebih Mahal Dari Zaman BN?


Kesediaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menambah kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di semua lebuhraya tidak terlepas daripada kritikan Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau mendapati, harga sebuah kamera AES meningkat sebanyak RM30,000 bagi setiap unit berbanding RM170,000 yang dipasang pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Kos untuk membeli setiap kamera ialah RM170k, dia membuat sidang akhbar untuk menuduh kerajaan BN terlebih bayar 10 kali ganda untuk kamera-kamera ini. Dia kata dia pernah mencari pembekal-pembekal kamera dari Amerika Syarikat dan Eropah dan mendapat maklumat bahawa kos sebenar hanya RM15 ribu setiap kamera.

“Walaupun kerajaan BN dahulu menjelaskan bahawa kos setiap kamera termasuk kos untuk memasang, menyelenggara, latihan dan kos sistem, insan ini tetap tolak penjelasan kita dan tuduh kita rasuah.

“Hari ini, Menteri Pengangkutan PH kata kos untuk setiap kamera ialah RM200,000 iaitu lebih mahal berbanding kos RM170,000 di bawah BN. PH juga akan tambah lagi 11 kamera AES dan mereka tidak lagi memberi sebarang diskaun,” katanya di Facebook rasminya hari ini.

Jelas Najib, sebelum ini Pengerusi untuk Kempen Anti Saman Ekor (KASE) itu sering memperlekeh pelaksanaan AES di Parlimen dan sering mendesak agar rakyat tidak membayar saman AES.

Untuk rekod, Datuk Mahfuz Omar yang kini Timbalan Menteri Sumber Manusia adalah Pengerusi KASE ketika itu.

“Teringatlah saya pernah adanya seorang insan yang kini Timbalan Menteri di dalam kerajaan PH. Insan ini dulunya presiden untuk kempen anti saman ekor (KASE) yang konsisten menyerang sistem AES. Pejuang berani mati mansuh AES.

“Kerana dia kata AES tidak adil, hanya untuk memeras wang rakyat, menekan dan menzalimi rakyat yang semakin hari dihimpit kesempitan ekonomi.

“Oleh itu, insan ini sering menyeru orang ramai untuk tidak bayar saman AES dan membuat demonstrasi,” katanya lagi.

Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata 11 lagi kamerea AES akan ditambah bagi mengurangkan kemalangan yang berlaku di lebuhraya-lebuhraya yang kebanyakannya berpunca daripada pemanduan melebihi had laju yang dibenarkan.

AES mula diperkenalkan di zaman Najib pada 2012 dan diintegrasi bersama Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) menggabungkan kamera dengan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA)

Bagaimanapun pada Ogos tahun lalu, PH brtindak membatalkan 3.1 juta saman yang membabitkan nilai RM435 juta. - MalaysiaGazette

Wednesday, 30 January 2019

Bahaya Sangat Ke Saya Main Facebook? - Najib Razak


KERAjaan Pakatan Harapan (PH) pernah memohon kepada hakim supaya Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan atau menggunakan media sosial termasuk Facebook dan Twitter.

Mantan Perdana Menteri berkata, permohonan tersebut antara dua syarat yang dimohon PH tahun lalu sebelum membenarkan beliau dibebaskan dengan ikat jamin.


Bahaya sangat ke saya main Facebook?

“Alhamdulillah, tuan hakim telah menolak syarat-syarat kerajaan PH dan saya masih boleh menjelaskan dan menyangkal fitnah-fitnah mereka terhadap saya dan Barisan Nasional (BN) melalui media sosial,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Menurut Najib, syarat lain yang dimohon PH adalah meminta bekas Presiden UMNO itu tidak boleh menganjur atau menghadiri sebarang acara awam kecuali acara agama.

Kata beliau, walau bagaimanapun kedua-dua syarat dalam permohonan tersebut telah ditolak oleh hakim.

Dalam hantaran yang sama, Najib turut berkongsi keratan berita daripada portal Malaysiakini berhubung permohonan tersebut. 




Tuesday, 29 January 2019

Hukum Najib Kerana BN Menang Di Cameron Highlands



Tiga lagi dakwaan baru ke atas Najib Razak semalam adalah sebagai menghukumnya susulan kemenangan BN di Cameron Highlands, dakwa seorang pembantu bekas perdana menteri itu.

Bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan, pembantu itu memberitahu Malaysiakini bahawa kenyataan Najib telah dirakamkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 30 minit sebelum dia didakwa dengan pertuduhan tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001.
Pihak berkuasa, katanya, juga mengambil cap jari dan merakamkan gambar Najib seolah-olah ia adalah kes baru.

"Saya fikir ini untuk menghukum Najib berhubung apa yang berlaku di Cameron Highlands. Saya mengesyaki demikian kerana prestasi Najib agak cemerlang di Cameron Highlands.
"Pihak pendakwaan berkata ini adalah pertuduhan yang sama, tetapi jika sama, kenapa mereka mengambil gambar dan cap jarinya sekali lagi seperti ia adalah kes baru? Semua ini dilakukan di tingkat bawah mahkamah.

"Mereka soal-siasat dia, ambil gambar dan cap jari di pejabat pendaftar, yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, seolah-olah mereka mahu menjadikannya sebagai mangsa dan memalukannya," katanya.
Dihubungi kemudiannya, peguambela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah juga membidas pertuduhan tambahan itu dan menuduh pendakwaan sebagai "cuai".

Katanya, dakwaan pertuduhan tambahan dibuat kurang dua minggu sebelum perbicaraan Najib berhubung dakwaan berkaitan dengan skandal SRC International dijadualkan bermula.
Shafee berkata pendakwaan juga membuat pindaan kepada enam pertuduhan terdahulu, dan ini menyaksikan pasukan pembelaan mempunyai masa yang semakin berkurangan untuk mempersiapkan kes mereka.

"Bantahan saya bukan sebarangan. Peguam Negara menandatangani persetujuannya terhadap pertuduhan baru itu dan pada hari yang sama, mereka merakamkan kenyataan daripada Najib.

"Mereka memaksa Najib memberi kenyataan. Semua ini berlaku semalam.
"Ini adalah perkara yang menurut pihak pendakwaan bahawa mereka sudah bersedia beberapa bulan lalu dan adalah yang sama dengan yang apa yang dia didakwa sebelum ini.
"Sekiranya perkara sama, mengapa pihak pendakwaan tidak bersedia?" soalnya.

Semalam, Najib dikenakan tiga lagi pertuduhan tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001.
Najib dituduh terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) (a) akta itu kerana didakwa menerima sejumlah RM47 juta dalam akaun AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur pada 8 Julai 2014.
Tuduhan itu dibacakan kepada Najib di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Monday, 7 January 2019

Episod Penipuan PH Ibarat Sinetron, Tak Pernah Habis, Sindir DS Najib


Pakatan Harapan (PH) akan berterusan menipu rakyat, walaupun semasa belum menjadi kerajaan sehinggalah sesudah berjaya menakluk Putrajaya.

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ketika dahulu gabungan itu memperdaya rakyat mengenai GST dengan mengatakan cukai itu memberi kesan kepada kenaikan harga barang, bertujuan untuk memenangi PRU14.

Kata DS Najib Razak, sesudah memenangi PRU14, PH terpaksa meneruskan penipuan apabila ternyata cukai yang diperkenalkan mereka, SST sebenarnya yang lebih membebankan rakyat.

“Sebelum mansuhkan GST, saya berulang-kali memberi amaran bahawa SST akan menaikkan harga lebih tinggi berbanding GST.

“PH kata tak mungkin. Kata saya tipu, siap memberi jaminan dalam Parlimen bahawa SST akan menurunkan harga barang.

“Siapa masih ingat janji manifesto mereka untuk menurunkan harga barang, turunkan kos sara hidup. Siapa masih ingat pada bulan Ogos lalu, PH mengeluarkan kenyataan berikut:

“Kerajaan Pakatan Harapan meraih pencapaian memberangsangkan dalam tempoh 100 hari penubuhannya dan meskipun berdepan kekangan kewangan, isu-isu membabitkan kos sara hidup rakyat telah berjaya ditangani dengan baik.”

“Mereka tipu untuk menang. Selepas menang, penipuan diteruskan. Bagai sinetron, episod tak pernah habis,” sindirnya dalam satu hantaran di Facebook.

DS Najib Razak turut memberi contoh mengenai kenaikan mendadak harga makanan segera KFC ekoran dikenakan cukai SST baru-baru ini.

“Menteri sebelum ini kata akan siasat KFC mengapa harga naik begitu ketara selepas SST ganti GST. Dua minggu dia siasat.

“Setelah puas menyiasat, apa keputusannya? ‘Kos pengeluaran sudah meningkat’.

“Sebenarnya, tidak perlu siasat pun sudah tahu. Tanya mana-mana rakyat pun sudah tahu harga barang dah naik selepas SST ganti GST,” ujarnya.

Malah Najib turut menempelak apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa mengenai kenaikan tersebut.

“Dia kata harga KFC bukan di bawah barang-barang kawalan harga walaupun KFC di Malaysia ialah milik penuh kerajaan PH negeri Johor.

“Jika KFC milik kerajaan PH pun boleh menerima kesan besar dari kos pengeluaran yang meningkat, bagaimana pula dengan barang-barang yang lain?

“Sama-sama naik kerana semua sudah Senyap-Senyap Tibai (SST) oleh kerajaan PH dan kita semua Sama Sama Terkena,” sindirnya lagi. -SuaraTv

Tuesday, 1 January 2019

“Tahun Baru, Rakyat Basah Lagi,” DS Najib Razak Sindir PH Beri Dua ‘Hadiah’ Kepada Rakyat


Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir Pakatan Harapan (PH) di atas dua pengumuman kerajaan itu hari ini yang disifatkannya ‘hadiah’ tahun baru kepada rakyat.

DS Najib Razak merujuk kepada pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung harga petrol dan diesel yang dikekalkan pada kadar semasa untuk beberapa hari, dan juga pengumuman oleh Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam bahawa cukai SST akan diperluaskan kepada 4 lagi perkhidmatan baru berkuat kuasa 1 Mac depan.

“Selain dari memberi peluang kepada rakyat untuk terus memberi ‘subsidi’ petrol 34 sen liter kepada kerajaan, satu lagi hadiah tahun baharu untuk rakyat juga diberi oleh PH hari ini.

“Petang tadi juga, kerajaan PH mengumumkan bahawa 4 lagi sektor perkhidmatan akan dikenakan cukai servis 6% berkuat kuasa 1 Mac depan.

“Perkhidmatan pengendalian taman hiburan itu termasuk taman tema, penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan meliputi komisen (brokerage) bagi jualan saham, perkhidmatan pembersihan termasuk khidmat membersih bangunan serta dobi, manakala penyediaan latihan itu merangkumi khidmat seperti seminar atau bengkel turut akan dikenakan cukai 6% apabila disediakan kepada pengguna.

“Kerajaan PH berkata mereka prihatin dan cukai servis ke atas perkhidmatan-perkhidmatan baru ini tidak akan membebankan golongan B40.

“Mungkin kerana golongan B40 (termasuk kanak-kanak) tidak berhibur di taman tema dan taman hiburan, tidak menggunakan dobi, membeli saham ataupun mengambil kursus, latihan atau bengkel. Betul ke, ni?,” soalnya sinis dalam satu hantaran di Facebook.

Malah DS Najib Razak juga menyindir Lim Guan Eng kerana ‘menghilangkan diri’ apabila tidak tampil ke depan dan mengumumkan sendiri berhubung pertambahan perkhidmatan yang dikenakan cukai SST.

“Satu lagi yang saya hairan ialah apabila ada pengumuman mengenai pengecualian SST, Menteri Kewangan akan tampil ke depan untuk buat pengumuman panjang lebar ditambah dengan ayat ayat propagandanya.

“Tetapi apabila ada penambahan cukai SST, Ketua Pengarah kastam yang membuat pengumuman manakala menteri kewangan menghilang diri,” sindirnya.

Terdahulu dalam hantaran berasingan, DS Najib Razak menyindir Lim Guan Eng berhubung pengumuman Menteri Kewangan itu bahawa penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan hanya akan dilaksanakan sebelum akhir minggu pertama 2019.

Lim Guan Eng berkata penangguhan ini adalah selepas mengambil maklum balas beberapa pihak berwajib.

Justeru katanya, buat masa ini harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel masing-masing kekal pada paras RM2.50, RM2.20 dan RM2.18 seliter.

Untuk rekod, pada 24 Disember lalu, Lim Guan Eng mengumumkan harga runcit petrol akan kembali ditetapkan secara mingguan bermula 1 Januari 2019.

“Ini belum U-Turn lagi. Ini traffic light. Ini bukan lagi Senyap-Senyap Tibai.

“Ini sudah terang-terang tibai 30 sen setiap liter.

“Beratus juta Ringgit cukai petrol untuk minggu ini lagi. Tibai dua bulan lebih, mana cukup? Tahun Baru, rakyat basah lagi,” sindir Ahli Parlimen Pekan itu lagi. - SuaraTv