YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan di bawah pimpinannya akan terus memberi sokongan kepada projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bagi mencapai visi membentuk komuniti berkualiti.
Katanya idea penubuhan PR1MA bukan sekadar untuk membina rumah sahaja, tetapi juga rumah yang dimiliki rakyat itu adalah berkualiti dan dibina dalam komuniti berkualiti dengan harga lebih rendah daripada pasaran.
"Sebagai contoh, projek PR1MA di Kuala Ketil, Kedah, bernilai RM235,000 seunit sedangkan harga rumah yang kurang berkualiti di seberang jalan RM295,000. Beza RM60,000. Ini contoh terbaik kejayaan PR1MA, ramai yang mampu miliki rumah kerana projek PR1MA," katanya pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama Rakan Bumiputera PR1MA, di sini hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga memberi jaminan bahawa agenda Bumiputera akan terus menjadi bahagian penting daripada program PR1MA. Najib berkata soal membangunkan ekonomi Bumiputera bukan sahaja melibatkan saham tetapi juga kualiti rumah dan nilai tanah yang dibangunkan.
"Jika rumah berkualiti dibina di atas tanah berkualiti maka nilai akan melonjak dan sekali gus kekuasaan ekonomi Bumiputera juga akan melonjak," katanya.
Tambahnya rumah PR1MA juga perlu dilengkapi teknologi terbaik seperti "fibre to home", suatu format penghantar isyarat optik dari pusat penyedia ke kawasan pengguna menggunakan serat optik sebagai medium penghantaran, kerana beliau mahu melihat generasi akan datang membesar dalam ekosistem berkualiti.
"Bukan rumah robek, atap bocor, dinding reput. Kita tidak mahu lagi keadaan itu untuk generasi akan datang, sebab itulah kita bangunkan PR1MA," katanya.
Selain itu, katanya, satu daripada rasional mewujudkan PR1MA juga adalah untuk membangunkan komuniti profesional dan peniaga Bumiputera supaya mereka mendapat peluang untuk lebih berjaya.
Najib berkata Perbadanan PR1MA Malaysia telah memberikan kontrak bernilai lebih RM15 bilion kepada 574 firma Bumiputera untuk pelbagai kerja pembinaan, perundingan dan perkhidmatan sokongan bagi projek-projeknya.
"Ini jumlah yang besar sebagai komitmen untuk projek ini dan nilai yang dapat diagihkan kepada syarikat Bumiputera akan terus meningkat pada masa akan datang," katanya.
Bagi memberi sokongan kepada PR1MA, suntikan tambahan kerajaan kepada perbadanan itu akan ditentukan dalam sedikit masa lagi, sebagai tambahan kepada peruntukan RM3.9 bilion yang telah diagihkan, katanya.
"Soal kemampuan kewangan, ada yang sangsi sama ada PR1MA boleh berterusan secara mampan..PR1MA memerlukan suntikan tambahan dan kita akan beri jaminan sebagai sebuah kerajaan akan tetap beri sokongan kepada PR1MA supaya cukup kewangannya untuk melaksanakan projek," jelasnya.
Perdana Menteri berkata 80 peratus daripada rumah PR1MA yang ditawarkan setakat ini telah berjaya dijual.
Selain isu perumahan, Najib menegaskan soal pengangkutan awam, kos sara hidup, pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan turut menjadi agenda utama kerajaan. - Bernama