
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau mengambil masa hampir dua tahun untuk menyiapkan buku berkenaan supaya tiada fakta yang tercicir.
Buku berkenaan mengandungi lima bab dengan 315 muka surat termasuk penerangan terperinci, gambar, jadual dan rajah yang berkaitan untuk menjadi bahan bacaan yang bermutu dan rujukan berautoriti.
"Saya memulakan usaha menulis buku ini dengan bantuan sidang editorial. Niat saya tiada lain hanya ingin berkongsi pengalaman dan pengetahuan kerana saya terbabit secara langsung dalam keseluruhan proses kewujudan akta ini," katanya.
"Proses ini tidak mudah dan sangat panjang," katanya pada pelancaran buku itu di sini hari ini yang turut dihadiri dua Timbalan Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat.
Beliau berkata penggubalan POCA bermula dengan perbincangan panjang lebar dalam mesyuarat kabinet dan diikuti siri penglibatan bersama masyarakat awam menerusi perjumpaan dalam sesi dialog.
Seminar serta forum jenayah turut diadakan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas seluruh rakyat Malaysia mengenai akta itu, katanya.
Pandangan segenap lapisan masyarakat dikaji dan akta itu kemudiannya dibahaskan di Dewan Rakyat dan seterusnya di Dewan Negara.
Ahmad Zahid berkata buku itu mempunyai petikan Penyata Rasmi Parlimen (hansard) yang menerangkan keseluruhan proses dan prosedur penggubalan dan perbahasan POCA di Parlimen.
Sebanyak 3,000 naskhah buku berkenaan sudah terjual setakat ini. - Bernama