KUALA KANGSAR: Sebanyak 32,632 daripada 32,949 pemilih berdaftar layak mengundi esok bagi memilih wakil rakyat mereka dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 23 pusat mengundi dengan 21 daripadanya adalah sekolah, manakala dua lagi dewan orang ramai akan dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Sebanyak 11 daripada pusat mengundi itu terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan, manakala 12 lagi di DUN Manong yang semuanya melibatkan 69 saluran.
Sebanyak 312 daripada pemilih berdaftar itu merupakan pengundi awal yang menunaikan tanggungjawab itu pada 14 Jun lepas manakala lima ialah pengundi tidak hadir.
Sementara itu, Pengarah SPR Perak Ahmad Adli Abdullah menasihati para pengundi supaya keluar awal bagi mengelak cuaca panas pada tengah hari.
"Walaupun masa mengundi itu panjang, tapi kalau boleh kita minta pengundi keluarlah lebih awal dan jangan tunggu sehingga saat akhir," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.
Ahmad Adli turut mengingatkan pengundi supaya tidak sewenang-wenangnya memberikan kad pengenalan mereka kepada mana-mana individu kecuali petugas SPR.
Katanya peti undi pertama yang dijangka tiba di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Perak adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford memandangkan jarak antara kedua-dua tempat hanya kira-kira 500 meter.
PRK Kuala Kangsar diadakan serentak dengan PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor esok berikutan kematian Angggota Parlimen masing-masing iaitu Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikoper di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.
SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi kedua-dua PRK itu adalah 75 peratus.
Semasa Pilihan Raya Umum ke-13, peratusan keluar mengundi di Parlimen Kuala Kangsar adalah 84.3 peratus, manakala di Sungai Besar 88.3 peratus.
Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.
Bagaimanapun, daripada keempat-empat calon itu hanya Mastura yang berdaftar sebagai pengundi di Parlimen Kuala Kangsar, manakala Dr Najihatussalehah merupakan pengundi di Parlimen Parit, Dr Ahmad Termizi (Shah Alam, Selangor), manakala Izat Bukhary (Kelantan).
Mastura dalam sidang media hari ini berkata beliau sedia untuk keluar menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi esok di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin.
Calon BN itu sedang dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari berikutan kematian suaminya Wan Mohammad Khair-il Annuar.