Nak Jadi Hero Biarlah Guna Akal Waras TIDAK semua aset kerajaan sesuai digunakan ketika banjir, bahkan masing-masing memiliki fungsi tersendiri.
KERETA kebal merupakan kenderaan tempur berperisai (ACV) berantai direka untuk memusnahkan musuh yang kelihatan melalui tembakan langsung daripada meriam bergaris pusat besar dan tembakan sokongan daripada mesingan. Ia hanya digunakan semasa peperangan.
Oleh itu, mengapa adanya golongan ‘bijak pandai’ yang mempertikai kerajaan ‘kedekut’ menggunakan aset ini ketika membantu mangsa banjir?
Inilah yang terjadi apabila masing-masing mahu nampak seperti hero di media sosial dengan bersuara tanpa menggunakan akal fikiran dan tidak mengetahui fungsi sesebuah aset itu.
Pertama sekali, mereka perlu faham, tidak semua aset yang dikatakan hanya sekadar digunakan semasa sambutan Hari Kemerdekaan sesuai digunakan ketika banjir. Bahkan anggota keselamatan juga terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Ia tidak sebegitu mudah seperti memetik jari.
Kedua, keadaan di sana juga tidak mengizinkan. Banyak kenderaan dan pokok ditenggelami air tidak terlihat. Sama ada bot anggota keselamatan pecah atau kenderaan di bawah air teruk dihentam bot. Mana tahu pilihan tepat ketika itu? Nampaknya, dua-dua bukan pilihan yang baik.
Oleh itu, dalam situasi darurat seperti ini, kita tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang hanya menimbulkan provokasi dan kebencian terhadap kerajaan. Kerajaan sudah sedaya upaya membantu mangsa dengan cara yang baik.
Hantaran yang tidak bertanggungjawab hanya akan menyukarkan misi bantuan oleh agensi penyelamat.
Bagi saya, anggota penyelamat sudah melakukan yang terbaik. Ada dalam kalangan mereka juga terkesan banjir tetapi jasad dan hati mereka masih suci membantu orang ramai walaupun tidak mengetahui bagaimana keadaan ahli keluarga.
- NK Bagan Serai Perak