Saturday 14 May 2016

MCA Ikrar Bantu Kempen Calon UMNO Di PRK Sungai Besar



BENTONG - MCA berikrar untuk membantu kempen calon UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun depan, kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow berkata sokongan itu bagi membolehkan calon Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi yang dimenangi Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon pada pilihan raya umum ke-13.

"Kita telah mengadakan mesyuarat di peringkat BN berhubung PRK Sungai Besar dan akan memberi sokongan padu kepada calon daripada UMNO.

"Kita akan turun ke peringkat akar umbi bagi mendapatkan sokongan rakyat bagi menjamin masa depan dan pembangunan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jom JPJ peringkat Negeri Pahang di Dataran Trans di sini, Sabtu.

PRK Sungai Besar diadakan ekoran kematian Noriah dalam nahas helikopter semasa membantu kempen pilihan raya negeri Sarawak di Sebuyau pada 5 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK itu diadakan serentak dengan PRK Parlimen Kuala Kangsar yang turut kosong ekoran kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter yang sama.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK itu pada 5 Jun, pengundian awal pada 14 Jun dan hari pengundian pada 18 Jun.

Pada PRU lalu, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti 399 undi, manakala Wan Mohammad Khair-il memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar mengalahkan calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah dan Datuk Kamilia Ibrahim, (Bebas) dengan majoriti 1,082 undi.


- BERNAMA