Walaupun tanpa ketua masing-masing yang sudah ditahan pihak polis semalam, penyokong BERSIH 5 dan Baju Merah tetap meneruskan himpunan mereka dengan penyokong kedua-dua kumpulan mula membanjiri ibu kota Kuala Lumpur pada Sabtu di beberapa lokasi.
Setakat ini, perhimpunan berjalan dengan lancar dan tidak ada laporan mengenai insiden provokasi antara kedua-dua penyokong yang berkumpul.
Polis sudah mengesahkan sudah 14 orang ditahan, ia termasuk Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah dan Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Peserta dikatakan mula berhimpun seawal jam 5 pagi di beberapa lokasi termasuk di Masjid Jamek, Dataran Maybank, Bangsar, sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Padang Merbok dan Dataran Merdeka.
Dilaporkan Sekumpulan Baju Merah muncul di hadapan para peserta BERSIH 5 di jalan berhampiran Jalan TAR namun tiada sebarang insiden buruk berlaku.
Kumpulan Baju Merah juga mula bergerak dari PWTC menuju ke Padang Merbok sambil berselawat ke atas junjungan Nabi secara berjemaah.
Perhimpunan hari ini dijadualkan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang hari ini, dengan peserta berhimpun di Dataran Maybank di Bangsar dan Masjid Negara sebelum berarak ke sekitar Dataran Merdeka.
Sebanyak 58 jalan membabitkan tujuh kawasan utama di sekitar ibu negara dilencongkan mulai jam 7 pagi tadi susulan perhimpunan Bersih 5 di Dataran Merdeka.
Lencongan membabitkan kawasan sekitar Maybank (Bangsar), Little India (Brickfields), Masjid Negara dan Muzium Negara, Sogo dan Dataran Merdeka, Parlimen dan Bank Negara, Pudu Sentral dan Pasar Seni, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Jalan Chow Kit.
Beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok; Pengerusi Bersih 2, Datuk S Ambiga dan aktivis Adam Adli Abd Halim turut kelihatan di beberapa lokasi termasuk di hadapan LRT Bangsar.
Dalam pada itu, kawalan keselamatan juga diketatkan dengan beberapa bas dilihat membawa sejumlah anggota polis tambahan tiba di Jalan Raja Laut bagi membuat kawalan keselamatan di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya termasuk jalan menuju Padang Merbok.
Lima bas membawa anggota terbabit tiba jam 11.45 pagi tadi.
Aspek keselamatan mula dipertingkat di sekitar kawasan dataran bersejarah itu sejak jam 11 pagi tadi bagi mengelak insiden membabitkan peserta serta penyokong BERSIH 5 dan kumpulan Baju Merah.
Setakat jam 12 tengah hari ini, kawasan Dataran Merdeka masih ditutup.
Peserta Baju Merah yang cuba memasuki Jalan Raja Laut untuk ke Dataran Merdeka turut diarah keluar sebelum berkumpul di sekitar stesen LRT Bandaraya berhampiran pusat beli-belah Sogo.