Wednesday 24 February 2016

UMNO Perlu Bersihkan Parti Dari Pengkhianat Sebelum Ulangtahun Ke-70


Parti UMNO dilihat perlu membersihkan saf kepimpinannya serta ahli dari pengkhianat sebelum tibanya hari ulangtahun ke-70 tahunnya pada bulan Mei nanti untuk terus relevan dan melancarkan gerak kerja parti untuk rakyat.
Tahun ini, sesetengah pihak telah dilihat muncul menentang dan cuba berbeza idea dengan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Paling menonjol ialah Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kerap mengkritik Najib selepas bermulanya dakwaan berkaitan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau nampaknya terikut-ikut rentak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa ada duit dari syarikat berkenaan berjumlah RM2.6 bilion sudah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Padahal, selepas siasatan dan pembentangan laporan terbukti bahawa wang berkenaan adalah sumbangan derma dari keluarga Diraja Arab Saudi untuk UMNO melalui Najib.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sudah membuktikan perkara yang sama.
Dalam soal Muhyiddin, bukan berkaitan kes ini sahaja. Dia dikatakan sudah ada membuat perjumpaan dengan pihak tertentu untuk memulakan gerakan menjatuhkan Najib dari jawatannya sebelum ini lagi.
Selain beliau, yang nampaknya jelas tidak sealiran dengan kepimpinan ialah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Bagi Mukhriz, akibat dari perbuatan ini, beliau hilang kepercayaan dari kepimpinan UMNO negeri Kedah sehingga digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar.
Secara terbuka, beliau mempersoalkan bukti yang sudah diperoleh hasil siasatan serta mempertikaikan banyak perkara yang tidak berasas kepada Najib.
Bercakap mengenai Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna, beliau nampaknya ketika ini lebih banyak mendiamkan diri dari mengkritik Presiden.
Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) juga boleh dilihat sebagai antara pengkhianat dalam UMNO untuk Najib menjalankan tugas memimpin parti dan negara dengan lancar.
Kebanyakan dari ahli UMNO yang terlibat dengan GKCM ada yang sudah digantung keahlian mereka selama enam tahun tetapi masih ada lagi yang aktif yang tidak diketahui dari mana.
Gerakan membersihkan pengkhianat dalam UMNO perlu dimulakan segera supaya barisan kepimpinan lebih segar menjelang sambutan berkenaan yang juga menandakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 semakin hampir.