AYAM TAMBATAN pemimpin utama pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Rafizi Ramli agak kurang menonjol dan nampak sepi pula pada himpunan Bersih 5.0 kali ini.
Walaupun dia merupakan tunjang utama pembangkang selaku Setiausaha Agung merangkap Naib Presiden PKR, namun untuk Bersih siri ini namanya dan laungan untuk dirinya tiada langsung kedengaran dari 15,500 orang yang hadir.
Sebagai seorang perjuang Bersih yang tidak pernah gagal menyertai, memberikan ucapan, menaikkan semangat orang ramai dan mengetuai mereka sejak 2007 lagi, adalah tidak wajar namanya tidak disebut langsung dan perhatian keatas dirinya tidak diberikan oleh Bersih kali ini.
Lebih-lebih lagi ketika mana Rafizi bakal dikenakan hukuman penjara selama 18 bulan atas kesalahan melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang ditetapkan oleh mahkamah pada 14 November lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Rafizi didakwa memiliki secara salah halaman 98 laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB. Justeru, beliau didakwa melanggar Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972.
Rafizi juga dituduh mengedarkan dokumen sulit tanpa kebenaran di lobi parlimen pada 28 Mac dan ia didakwa melanggar Seksyen 8(1)(e)(iv) akta yang sama.
Setiap satu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan.
Jadi amatlah wajar sebenarnya untuk Bersih 5.0 tampil memperjuangkan Ahli Parlimen Pandan itu bagi menghargai dan memuliakan jerih perih dan pengorbanannya selama ini terhadap perjuangan Bersih.
Tindakan Bersih 5.0 yang hanya dilihat ‘melayan’ Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai ‘VVIP’ pada hari itu amat berat sebelah dan tidak ubah seperti ‘kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’.
Paling tidak pun, berilah sedikit ucapan kepada Rafizi untuk ‘percutian’ panjangnya selama 18 bulan itu nanti.