Saturday, 10 September 2016

#VIDEO : Hasrat Mahathir Satukan Parti Pembangkang Tidak Akan Kesampaian - Zahid



BAGAN DATOH : Hasrat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyatukan semua parti pembangkang bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) mungkin tidak akan kesampaian.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perkara itu tidak mudah untuk dicapai kerana semua parti yang ingin disatukan itu masih ‘terluka’.

“Saya yakin cadangan itu sukar diterima biarpun untuk satukan semua parti di dalam satu wadah kerana tokoh itu (Tun Mahathir) telah menyebabkan parti-parti yang mahu disatukan itu masih terluka dan masih ada parut politik. 

“Tentunya kalau ada ‘perkahwinan’ politik, ianya adalah berbentuk sementara untuk mencapai tujuan-tujuan yang orang itu sahaja ketahui,”katanya kepada pemberita  di majlis penyerahan 130 ekor lembu korban bagi kawasan Parlimen Bagan Datoh,pada Jumaat.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berpendapat bahawa umum melihat tindakan pertemuan Tun Mahathir dan Anwar itu adalah satu tindakan yang terdesak.

Katanya,  umum melihat tindakan itu semata-mata untuk mencapai tujuan seseorang dan diuruskan oleh seorang yang lain seolah-olah ada kesatupaduan di kalangan pemimpin parti-parti berkenaan.

“Tindakan terdesak itu mungkin kerana eranya sudah berlalu dan mana-mana organisasi, mereka mahu pembaharuan.

“Jika lagu lama masih dimainkan apatah lagi lagu politik dan kebencian terus didendangkan, tentulah tidak ada timbal balas yang baik diterima oleh mana-mana pengikut organisasi yang mahukan perubahan,” katanya.



Related Posts: