Monday, 22 August 2016

Contohi Onn Jaafar Tidak Burukkan Parti Bila Keluar.


SHAH ALAM – Sikap pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar yang tidak memburukkan pemimpin dan parti walaupun telah meninggalkan Umno harus dicontohi oleh semua pihak, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, Onn yang merupakan datuknya juga tidak menimbulkan huru-hara dan mengajak rakyat turun ke jalanan ketika memutuskan untuk keluar parti pada 1951.

“Saya masih simpan pesanan terakhir Onn kepada Umno, maka saya berharap juga pihak Umno ini akan memandangnya dengan pandangan yang luas … pandangan yang dikatakan nasional atau kebangsaan dan jangan semata-mata hadapkan pandangan itu kepada pandangan sempit semata-mata iaitu hidup hanyalah di bawah tempurung sendiri dengan tidak menghiraukan tempurung-tempurung lain yang terletak di sebelah.

“Dia (Onn) tidak suruh kita mengaruk (mengamuk), dia tidak suruh kita jatuhkan perdana menteri, dia tidak suruh runtuhkan kerajaan. Ini pemimpin yang mempunyai nilai keikhlasan dan kesabaran.

“Disebabkan dua nilai ini cucunya ini dapat bersama-sama anda. Saya juga melihat misi Datuk Onn telah menjadi kenyataan dalam pendekatan kita di Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kota Raja di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Kamaruzzaman Johari.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan dalam pada itu meminta pemimpin akar umbi Umno di Selangor mendekati anggota sendiri sebagai asas utama dalam usaha merampas kembali negeri itu.

“Dekati anggota parti yang belum berdaftar (sebagai pengundi), anggota parti yang perlu dikesan, anggota parti yang berada di luar bahagian, anggota parti yang tidak mengundi dalam PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13).

“Ini semua berkisar kepada parti kita sendiri dan itu semua hanya kita boleh selesaikan serta tidak boleh harap orang lain kerana ini melibatkan keluarga kita … sebab itu kita kena menjaga rumahtangga kita dahulu,” katanya.

Beliau turut menasihati semua anggota Umno Selangor supaya mengetepikan kepentingan peribadi, bersikap ego, tamak dan berpuak-puak dalam parti.

“Percayalah, kalau semua itu dibuat tiada sebab kemenangan yang tidak dijangka ketika pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dijadikan sebagai detik permulaan, dan gelombang kecil pun boleh menjadi gelombang tsunami untuk pastikan kemenangan (BN) di semua kerusi di Selangor,” katanya. – Bernama

Related Posts: