Friday 20 May 2016

#PRK Kuala Kangsar: Pemuda BN Perak serah 3 nama



IPOH: Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak mengemukakan tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, bulan depan. 

Pengerusinya, Hairul Anwar Mohamed Noor, berkata nama dikemukakan memenuhi ciri sebagai calon boleh menang, disukai dan diterima pengundi, namun menyerahkan penilaian muktamad kepada pucuk pimpinan tertinggi. 

Beliau berkata, Pemuda BN sepakat menerima siapa sahaja calon dipilih dan berikrar memberi sokongan padu bagi memastikan kemenangan calon BN. 

"Kita ada peluang tinggi untuk meningkatkan majoriti. "Jika keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu majoriti diperoleh BN ialah 1,082 undi, kali ini kita yakin ia boleh bertambah," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pemuda BN negeri dan Rakan BN di sini, malam tadi. 

Hairul Anwar berkata, lebih 3,000 jentera Pemuda BN Perak termasuk rakan BN akan membantu kempen PRK Parlimen Kuala Kangsar dan memastikan 85 peratus keluar mengundi. 

Katanya, jentera Pemuda BN akan bertindak seperti 'ejen pemasaran' mendekati pengundi untuk memberi penjelasan dan meyakinkan mereka menyokong calon BN. 

"Kita perlu mendengar harapan pengundi muda dan keluh-kesah mereka. Kalau tidak dapat diselesaikan pada masa itu, kita bawa ke peringkat lebih tinggi. 

"Kita turun padang dan buat pelbagai aktiviti bersama. Kita tidak akan buat program syok sendiri," katanya. 

Beliau berkata, penugasan gerak kerja antara Pemuda BN dipecahkan mengikut 23 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi melaksanakan pelbagai program. 

Daripada 33,000 pengundi, katanya, sejumlah 35 peratus adalah pengundi muda dan Pemuda BN akan memberi komitmen terbaik -BH