Sunday 14 February 2016

Leftenan Adnan, Wira Yang Dikenang Sepanjang Masa

20160214_145858

Kira-kira 74 tahun yang lalu, telah tercatat sejarah bagaimana seorang anak Melayu kelahiran Sungai Ramal, Kajang, Selangor, gugur sebagai seorang pahlawan Melayu yang cukup terbilang. Siapa dapat melupakan, bagaimana Allahyarham Adnan Bin Saidi atau lebih dikenali sebagai Leftenan Adnan berjuang 2 hari 1 malam mempertahankan kubu Askar Melayu terakhir di Bukit Chandu, Permatang Pasir, Singapura pada Februari 1942.
Gerakan beliau mempertahankan negara dari serangan tentera Jepun ini mencatatkan sejarah bagaimana keperwiraan anak Melayu begitu gagah mempertahankan negara bersama-sama anak-anak Melayu yang lain disaat tentera penjajah yang diketuai Inggeris menjadi penakut dan bacul melihat kemaraan pantas tentera Jepun ke dalam negara ini.

download (3)

Sebaik sahaja membina kubu terakhir di Bukit Chandu, Allahyarham bersama-sama platunnya sentiasa bersiap sedia menahan dan menangkis setiap gerakan yang cuba dilakukan oleh Jepun yang pada ketika itu masih gagal menakluk Malaya sepenuhnya hanya kerana keutuhan pertahanan Bukit Chandu dibawah penjagaan Allahyarham.
Sehinggalah pada satu tahap, pada 12 Februari 1942, Tentera Jepun enggan lagi berkompromi lalu melancarkan serangan besar-besaran menakluk kubu terakhir Askar Melayu di Bukit Chandu. Maka berlakulah serangan besar-besaran Tentera Jepun dari segenap arah samada dari daratan maupun udara.
Kehebatan Leftenan Adnan bersama-sama pasukannya mempertahankan Bukit Chandu ini nyata cukup menimbulkan kemarahan Tentera Jepun. Masakan tidak, Pasukan Tentera Inggeris sendiri telahpun melarikan diri dan hanya Askar-Askar Melayu sahaja yang bertindak mempertahankan kubu berkenaan.


Namun takdirNya telah menetapkan bahawa anak-anak Melayu yang mempertahankan Bukit Chandu akhirnyamenemui syahid. Seorang demi seorang anak Melayu ini menemui ajalnya dan ini tidak terkecuali dengan Leftenan Adnan. Kebencian Tentera Jepun terhadap Leftenan Adnan diserlahkan dengan bagaimana mereka melayan mayat Leftenan Adnan.
Menurut penceritaan, tidak kurang dari 40 kesan cucukan banet tentera Jepun memenuhi tubuh Allahyarham. Malah, berpuluh-puluh kesan tembakan turut ada pada tubuh Allahyarham yang ditemui tergantung dengan kaki di atas dan kepala kebawah di sebatang pokok ceri di puncak bukit berkenaan.
Kini, selepas 74 tahun peristiwa ini berlaku, ramai dikalangan anak pasca merdeka sudah beransur-ansur melupai jasa besar yang ditaburkan Leftenan Adnan Saidi bersama-sama platunnya. Masing-mmasing sibuk meraikan hari Valentine bersama-sama kekasih hati berbanding mengenang semula kehebatan seorang anak Melayu kelahiran Kajang, Allahyarham Adnan Bin Saidi.
Al Fatihah untuk Allahyarham dan barisan pejuang negara yang gugur mempertahankan negara.