KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, kewujudan parti baharu yang ditunjangi oleh bekas pemimpin UMNO jelas dapat dilihat bertujuan untuk memecah-belahkan UMNO dan ianya disifatkan sebagai peperangan minda.
Jelasnya, peperangan minda ini bukan sekadar mahu menjatuhkan pemimpin sedia ada tetapi mahu mengalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO.
“Inilah sasaran mereka dan mereka ini akan melakukan apa sahaja untuk hasut orang UMNO dan atas pagar.
“Jadi kita harus melakukan sesuatu untuk kita mempertahankan parti supaya orang UMNO dan masyarakat tidak terpengaruh. Kita kena kenal pasti isu dan jangan sekadar duduk diam.
“Kita juga harus memantau dan ikuti apa sahaja yang dilakukan oleh mereka supaya kita boleh menjawab dan terangkan kepada kumpulan sasaran termasuk komponen,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Oleh itu tambah beliau, UMNO tidak boleh sama sekali memperkecilkan seolah-olah parti baharu ini tidak membawa masalah atau beranggapan tidak ada apa yang hendak ditakutkan.
“Kita tidak boleh berasa selesa atau mereka seolah-oleh tidak tergugat. Masalahnya kita selalu defensif.. menunggu orang serang kita dan kemudian baru nak melawan. Dah tumbang baru nak bangun dah tak guna…
“Jadi kita kena ke hadapan agar dapat menjangkakan apa yang pembangkang cuba lakukan untuk menjatuhkan UMNO. Dengan ini baru kita boleh mengambil tindakan menjatuhkan rancangan mereka sebelum merebak,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak harus menerima hakikat bahawa parti baru ini akan bersatu dengan pembangkang dan akan menimbulkan tentangan kepada UMNO dan BN menjelang PRU-14.
Oleh itu tegasnya UMNO sama sekali tidak boleh menganggap parti baharu ini sesuatu yang remeh.
Jelas beliau, sekadar ada mata tengok, ada telinga dengar tidak mencukupi kerana kini adalah masanya untuk bertindak.
“Jadi kita harus semak kembali apakah kita sudah bersedia untuk berhadapan dengan PRU-14. Sama ada parti baharu atau tidak, kita sedar masa makin dekat..
“…apa persiapan kita. Adakah setiap bahagian dan kawasan malah setiap individu telah melaksanakan gerak kerja? Kita tidak boleh sekadar kata sudah bersedia tetapi sudahkah kita bergerak melaksanakan gerak kerja.
“Saya yakin dan percaya kalau setiap wakil rakyat dan komponen memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat setempat, pengundi dan ahli parti sepatutnya tidak ada masalah untuk UMNO terus di hati rakyat,” ujarnya. – MediaUMNO