Saturday, 13 August 2016

Dua Parti Cap Ayam Masih Diulet Mimpi Politik Usang.

Post Pic

Perihal Parti Amanah Negara atau Amanah mahu menggantikan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu mahu mengambil alih tempat Umno dalam politik Malaysia bukan satu rahsia lagi. 

Amanah yang dibangunkan oleh bekas ahli dan pemimpin PAS meletakkan matlamat ia akan mengambil alih tempat PAS sebagai parti Islam dalam politik negara.
 
Ini kerana pemimpin-pemimpinnya yakin PAS di bawah pimpinan Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang tidak mungkin dapat dijadikan contoh bagaimana politik Islam boleh dihayati di Malaysia.   

      
                   \
Sementara pemimpin-pemimpin parti Bersatu yang baru sahaja mengemukakan pendaftarannya kepada Pendaftar Pertubuhan sudah dengan lantang menyatakan matlamatnya ialah mengambil alih tempat Umno.
 
Alasan yang diberikan oleh bakal presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah sama dengan apa yang dikatakan oleh Amanah, bahawa Umno seperti PAS, ‘sudah terkeluar dari landasan’ perjuangannya. 
 
Masalahnya, kedua-dua parti berkenaan belum membuktikan kemampuan memperbaiki nasib dan kebajikan umat Islam-Melayu tetapi sudah cekal melebarkan mesej Umno dan PAS sudah tidak releven lagi. 
 
Mereka masuk gelanggang politik kebangsaan dengan rekod politik yang tidak begitu cemerlang. Amanah ialah parti serpihan PAS yang terdiri daripada profesional yang kurang sabar menanti giliran diangkat menjadi pemimpin.
 
Mereka resah kerana pucuk pimpinan PAS pada hemat mereka tidak mahu bersikap terbuka dan lebih “liberal” dalam berpolitik. Walhal sejak 2008 lagi PAS telah membuka pintu toleransi seluas-luasnya. 
 
Ulama PAS mendakap konsep “PAS for All” yang didambakan oleh puak profesional dalam parti itu. Malah ulama PAS memakai istilah tahaluf siyasi meraikan kerjasama dengan parti yang dipimpin oleh bukan Islam. 
 
Jika penilaian jujur dibuat, PAS dari tahun 2008 hingga 2015 boleh dianggap bersikap ‘amat terbuka’. Namun ulama PAS tidak leka dengan kemenangan dan pencapaian politik era tahaluf siyasi.
 
Bagi ulama sikap berhati-hati dalam memelihara akidah dan adab siasah adalah lebih utama. Bertahaluf adalah baik untuk ummah. Bagaimanapun bertahaluf harus jangan mengorbankan prinsip. 
 
Dalam Islam setiap amalan ada sempadannya. Ini kerana banyak kali peringatan diberikan oleh Allah Azza Wa jalla tentang soal mengangkat bukan Islam sebagai pemimpin.
 
Namun pemimpin aliran profesional dan moden ini kurang sabar dan mahu Haji Hadi segera merangkul gaya politik demokrasi moden dan sekular ala-PKR dan DAP ini dan lantas cuba mengubah hiraki dalam parti. 
 
Cabaran menyeluruh dilancarkan untuk memadam dan memendam suara ulama dalam parti. Namun hakikat yang dipelajari golongan profesional ini puak ialah ulama pun pintar serta cekap berpolitik.
 
Kedudukan ulama tidak tergugat malah sebaliknya barisan profesional yang mencabar tersandar di sudut kekalahan. Ego mereka yang tewas mendorong mereka menjerit mengatakan ulama berpolitik serong dalam pemilihan PAS.
 
Protes mereka hanya topeng untuk menghalalkan langkah politik mereka keluar parti dan menubuhkan Amanah. Justeru agenda politik yang dilakarkan ialah Amanah ialah pengganti PAS.
 

Tidak sampai setahun kemudian denai politik yang sama dilakar dalam Umno. Setelah gagal menjungkar-balikkan sistem kepimpinan dan barisan peneraju Umno, golongan kecewa ini keluar Umno dan menubuhkan Bersatu.
 
Di segi perang saraf, Bersatu yang diteraju Tun Dr Mahathir Mohamad bijak membina persepsi positif berhubung citra politik yang mahu dibentuk. Berkat pengalaman dan ketrampilan Mahathir, Bersatu bermula langkah kanan.
 
Ada media arus perdana yang turut berusaha melonjakkan cabaran Bersatu dengan membuat kajian rawak untuk menyemarakkan nama Bersatu “kerana tahu manusia mudah terpukau pada sesuatu yang baru”.
 
Namun cabaran Bersatu masih berliku. Pendaftarannya bukan automatik. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Bersatu mungkin kesuntukan masa memikat ahli dan menyeleraskan strategi dengan parti-parti pembangkang lain. 
 
Di peringkat awal kelahirannya, baik Amanah mahupun Bersatu memerlukan kerjasama dan simpati daripada parti-parti pembangkang lain. 
 
PAS, DAP dan PKR perlu bertolak ansur dan berlapang dada melepaskan kerusi tertentu untuk diagihkan kepada tiga parti baru yang akan berkerjasama dengan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Menurut bekas Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub, tiga parti pembangkang itu perlu berbuat demikian demi mencapai kata sepakat menentang Umno-Barisan Nasional (BN).
 
"Kalau PAS, DAP, PKR boleh beri laluan, jumlah 60-70 kerusi untuk diberi kepada parti baru seperti Amanah, IKATAN, BERSATU.   
    
"Saya yakin dengan desakan rakyat yang mahu muafakat baru dalam pembangkang. Saya agak itu boleh dilakukan," ujar Mustafa.
 
Beliau berkata perkara itu bukan mustahil dilaksanakan kerana pernah DAP dan PAS pada 1999 “memberi kerusi” kepada PKR, yang baru sahaja ditubuhkan.
 
"Waktu PRU 1999, DAP ada tak kerusi? Ada. Begitu juga PAS. PKR 'new player' tapi kita boleh olah pada waktu itu,’ katanya.
 
Beliau menegaskan, belajar daripada tamparan yang dialami dalam PRN Sarawak dan dua PRK, pemimpin pembangkang haruslah bersedia untuk berbincang dan bertolak ansur. 
 
Malangnya, buat ketika ini, pemimpin-pemimpin pembangkang masih dilihat kurang bersedia untuk berkompromi. Mentaliti ‘memelihara jajahan’ sendiri masih mencengkam pertimbangan. 
 
Dengan ego politik DAP semakin menebal, pergeseran dalaman PKR semakin ketara dan pendirian budaya politik matang dan sejahtera yang mahu dirintis PAS, impian Amanah dan Bersatu itu tidaklah mudah dicapai seperti diucapkan. - Antara Pos

Related Posts: