Monday 22 February 2016

Genap 24 Tahun Allahyarham Sudirman Pergi, Kenangan Hebat Air ‘Sudi’ Jadi Memori


Hari ini genap 24 tahun penyanyi lagenda negara Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad meninggal dunia pada tahun 1992 kerana penyakit radang paru-paru (pneumonia). Bagi rakyat Malaysia, Sudirman meninggalkan banyak kesan di hati kerana beliau merupakan penyanyi versatile dilahirkan negara ini.
Gaya persembahan lincah dan uniknya begitu mengingatkan kita betapa Sudirman berjaya menyatukan rakyat berbilang bangsa di negara ini.
Hari ini, antara yang paling diingati berkenaan Sudirman ialah air minuman berkarbonat dengan jenama beliau sendiri iaitu ‘Sudi’ yang pernah laris penjualannya sekitar tahun 1990-an.
Allahyarham pada tahun 1989 telah menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Sudirman Usaha Dagang Industri (SUDI) Sdn Bhd dengan modal berjumlah RM3 juta pada masa itu, menurut beberapa blog hiburan.
Minuman Sudi dipasarkan dengan empat jenis perisa iaitu Oren, Cola, Lemonade dan Isotonik. Harganya pada masa itu tidak jauh beza dengan minuman bergas yang lain. Pada masa itu, sekejap sahaja stok air berkenaan di kedai runcit habis dijual pada awal-awal pelancarannya. Gaya rambut Allahyarham dengan huruf ‘S’ menjadi penghias tin berkenaan.
220216SudiCola
2202SudiCola_2
Gambar yang menjadi paparan ialah gambar ketika beliau menerima Anugerah Penghibur Terbaik Asia di Asian Popular Music Awards di Royal Albert Hall, London.
Dikatakan pada masa itu, air perisa Lemonade merupakan antara yang mendapat sambutan pada ketika itu.
Ada cerita, katanya pemilik kedai runcit pada ketika itu ada yang menghadkan pembelian hanya satu tin minuman sahaja untuk seorang.
Pada tahun 1991, Allahyarham Sudirman turut mengadakan konsert percuma di Tapak Ekspo Ayer Keroh, Melaka bertarikh 9 Mac sebagai menghargai jasa orang ramai yang sudi membeli air minuman itu.
Kini, sesudah 24 tahun Sudirman meninggalkan kita jenama ini pun sudah lenyap dan tidak lagi wujud di pasaran. Bagi peminat Sudirman yang menyimpan tin minuman ‘Sudi’ ini, pastinya ia satu kenangan untuk memiliki satu antara memoir berharga pada zaman kegemilangan Sudirman.
Lagu-lagu nyanyian Allahyarham masih lagi diputarkan di radio seperti lagu Pelangi Petang, Joget Kenangan Manis, Milik Siapakah Gadis Ini? dan antara lagu kegemaran masa kini ialah Bila Wajahmu Aku Bayangkan.
Pada masa kini, tidak keterlaluan untuk berkata bahawa tiada penyanyi lelaki pada masa kini yang setaraf ataupun hampir dengan Allahyarham Sudirman Hj Arshah… Al-Fatihah untuk Allahyarham.