KUALA KANGSAR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai orang ramai mengunjungi Bazar Ramadan Manong di sini.
Walaupun sibuk dengan jadual yang padat, beliau yang tiba pukul 5.00 petang itu meluangkan masa kira-kira 30 minit melakukan tinjauan mesra di bazar tersebut diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Najib turut beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung bazar berkenaan dan membeli beberapa juadah seperti sate, lauk pauk antaranya pajeri nenas, kari terung, ikan keli bakar, buah tembikai dan air lai chi kang.
Turut mengiringinya anak-anak calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Mohd Yazid iaitu Wan Emir Astar, 26, Wan Imar Izzat, 25, Wan Iskandar, 23 dan Wan Mohammad Amar 19 tahun.
Orang ramai yang hadir juga tidak melepaskan peluang bersalaman dan mengambil gambar kenangan bersama pemimpin nombor satu negara itu.
Seorang peniaga sate, Yusof Ismail, 49, berkata beliau sangat teruja apabila pemimpin nombor satu negara itu datang ke kedainya dan membeli sate jualannya.
"Saya dah meniaga dekat sini selama 15 tahun. Memang seronok dan bangga bila Datuk Seri datang ke sini. Beliau beli RM20, 45 cucuk," katanya.
Peniaga minuman, Muhammad Ikwan Mohd Razak, 22 berkata perasaannya sangat seronok apabila pertama kali bertemu dengan perdana menteri itu.
"Saya dah berniaga dalam enam tahun. Rasa seronok..Datuk Seri beli air lai chi kang, lemon tea dengan milo. Berdebar-debar pun ada," katanya.
Najib kemudian ke Masjid Nurul Huda, Manong bagi menghadiri Program Semarak Ramadan dan majlis berbuka puasa bersama masyarakat sebelum menunaikan solat Magrib berjemaah.
Selepas itu, Perdana Menteri akan menunaikan solat Isyak, Tarawih serta moreh bersama masyarakat di Masjid Kampung Guar, di sini.
- BERNAMA