
Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan ketua umum PKR itu akan menghadiri prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing (forex) Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an di Istana Kehakiman, esok.
R Sivarasa memberitahu wartawan di luar Istana Kehakiman yang Anwar dipanggil RCI itu hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, Anwar mungkin tidak sempat membuat persiapan secukupnya untuk memberi keterangan esok kerana kekurangan masa.
“Anwar tidak mendapat maklumat penuh kerana beliau di dalam penjara. Apa yang kita lakukan sebagai pasukan peguamnya adalah menberinya salinan kenyataan saksi.
“Namun, ada banyak dokumen penting berhubung kenyataan saksi, sehingga sekarang tidak dibekalkan kepada kita,” katanya.
Seorang lagi peguamnya, Gurdial Singh Nijar berkata, mereka hanya tahu pagi tadi yang sepina sudah diserahkan kepada urus setia Penjara Sungai Buloh untuk memanggil Anwar memberi keterangan dalam prosiding RCI itu esok.
Difahamkan, Anwar yang sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, akan menjadi saksi ke-18 dalam sesi ke-6 prosiding itu pada Khamis.
Selain Anwar, Tan Sri Ahmad Mohd Don yang merupakan gabenor BNM dari Mei 1994 hingga Ogos 1998; bekas ketua audit negara, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil dan bekas timbalan setiausaha Bahagian Kewangan di Kementerian Kewangan, Datuk Othman Che Jusoh turut berada dalam senarai saksi bagi prosiding esok.
Bekas ketua pembangkang itu sudah beberapa kali menyuarakan kesediaannya memberi keterangan kepada RCI berkenaan dan akan menjawab tuduhan salah seorang saksi RCI – bekas penolong gabenor BNM, Datuk Murad Abdul Khalid.
Pada 21 Ogos lalu, Murad mendakwa beliau pernah memaklumkan Anwar kerugian AS$170 juta yang dialami BNM akibat perdagangan forex pada awal 1990-an.
Beliau dilaporkan berkata, penerangan terbabit dibuat dalam rombongan bersama menteri kewangan itu ke Hawaii pada 1994, namun beliau diarah tidak mendedahkan kerugian itu bagi mengelakkan Anwar hilang jawatan.
RCI itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia, K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr Yusof Ismail.