Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem terus kekal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk penggal ke-10 setelah memenangi kerusi Tanjong Datu, hari ini.Pengerusi BN Sarawak dan Presiden PBB itu mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan, dengan majoriti 5,892 undi.
Adenan mendapat 6,360 undi berbanding Jazolkipli yang meraih 468 undi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) itu.Calon PKR itu hilang deposit.Pada PRN-10,Adenan menang dengan majoriti 3,216 undi setelah menewaskan calon PAS, Nani Sahari dan calon Bebas, Gilbert Asson Kulong.
Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak PRN 2006 dan sebelum itu beliau merupakan ADUN Muara Tuang sejak pilihan raya kecil pada Januari 1979.Ini kali pertama Adenan, selaku Ketua Menteri, mengetuai BN negeri pada pilihan raya negeri.
Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2014, menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud, kini Yang Dipertua Negeri Sarawak, yang menerajui Sarawak kira-kira 33 tahun.Pada PRN 2011,PBB menampilkan prestasi cemerlang apabila memenangi kesemua 35 DUN yang ditandinginya, dan kali ini PBB bertanding di 40 kerusi ekoran proses persempadanan semula kawasan yang menyaksikan jumlah kerusi bertambah daripada 71 kepada 82.
– BERNAMA