Friday 8 April 2016

RTM Sedia Siarkan Debat Guan Eng Dan Abdul Rahman Secara Langsung

Image result for rahman dahlan dan lim guan eng

Selepas kesediaan kedua-dua pihak antara Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mahu berdebat, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersedia menyiarkannya secara langsung debat berkenaan.
Debat itu nanti berkaitan sebidang tanah di Taman Manggis di Pulau Pinang yang menjadi kontroversi kerana sudah terbiar tanpa pembangunan selama enam tahun dan ia juga ada kaitan dengan pembelian rumah banglo Lim Guan Eng yang jauh lebih murah dari harga pasaran.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata RTM akan membantu melancarkan perjalanan debat itu melalui slot program ‘Demokrasi’ RTM.
“Kami bersedia menyiarkan secara langsung debat itu dan terpulang kepada mereka berdua untuk menerima tawaran ini. Debat itu akan tanpa kehadiran audiens bagi memastikan program berjalan lancar,” katanya kepada Bernama di Putrajaya, hari ini.
Abdul Rahman yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) menyambut baik kesudian Guan Engg untuk mengadakan debat umum itu.
Dalam catatan Twitternya, Abdul Rahman berkata: “Saya menyambut baik debat umum mengenai (tanah) Taman Manggis itu. Pegawai saya akan hubungi pihak anda (YAB Ketua Menteri) untuk menyelesaikan butiran yang perlu.”
“Debat itu akan membolehkan rakyat Pulau Pinang mengetahui fakta dan kebenaran di sebalik skandal Taman Manggis,” Abdul Rahman dipetik sebagai berkata demikian.
Semalam, Guan Eng berkata beliau bersedia untuk berdebat dengan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan mengenai perkara itu, malah mahukan acara itu disiarkan secara langsung.
BN mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP menjual tanah Taman Manggis sedangkan tanah itu telah diperuntuk bagi pembinaan rumah mampu milik.