PAN memperlekehkan keupayaan PKR untuk menentang Pas dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar serta Parlimen Kuala Kangsar.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, PKR berdepan kesukaran untuk menentang Pas dalam kedua-dua PRK tersebut.
“PAN bersedia untuk mewakili pakatan pembangkang pada kedua-dua PRK ini dan mengucapkan terima kasih kepada DAP Selangor atas sokongan terbuka mereka untuk PAN bertanding di Parlimen Sungai Besar,” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook PAN hari ini.
Pakatan pembangkang masih belum mencapai kata sepakat berhubung soal parti yang akan bertanding dalam PRK Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.
Pas berkeras ingin meletakkan calonnya walaupun tindakan itu akan menyebabkan berlaku pertembungan dengan sekutunya, PKR dan parti serpihannya, PAN.
Khalid menambah, PKR perlu menerima kenyataan bahawa Pas tidak akan menarik diri dan rundingan tidak perlu diteruskan.
“Umum mengetahui bahawa Pas menolak usaha ini maka persoalan pertembungan tiga penjuru yang bakal berlaku bukan hasil kehendak dan sikap pakatan pembangkang,” jelasnya.
Beliau memberitahu, Pas tidak mungkin akan menarik diri kerana parti itu melihat kedua-dua PRK berkenaan sebagai peluang keemasan untuk membuktikan PAN tidak mempunyai sokongan dan daya tarikan dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Sekiranya Pas menarik diri maka ia akan dilihat sebagai bukti bahawa parti itu takut berhadapan dengan PAN,” katanya.
Khalid turut menggesa mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang diadakan segera bagi menentukan parti yang akan bertanding dalam kedua-dua PRK tersebut.
#MY4SB