Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) dinasihatkan agar mengenepikan perbezaan pendapat dan kepentingan peribadi demi memastikan BN mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar 18 Jun ini.
Nasihat itu disampaikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada jentera BN agar memberi fokus kepada gerak kerja kempen terutamanya menangkis propaganda parti pembangkang yang sentiasa mahu menjatuhkan kredibiliti Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri itu menjelaskan, BN akan mengunakan pendekatan sedikit berbeza dengan pilihanraya umum lalu, memandangkan ini pilihan raya kecil untuk Parlimen yang perlu diberi lebih tumpuan.
“Kami menjangkakan isu-isu nasional pasti digunakan dan akan kami hadapi di Sungai Besar. Tentunya isu-isu ini akan digunakan sepenuhnya pembangkang untuk menjatuhkan kredibiliti BN.
“Kami yakin isu tempatan juga akan dibangkitkan, namun BN sudah bersedia untuk menangkiis segala tohmahan dan kempen lawan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan dengan pimpinan BN Selangor di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar.
Mengenai usaha memikat pengundi muda pada PRK ini, Ahmad Zahid berkata BN mempunyai beberapa pendekatan yang disifatkan sebagai ‘munasabah’ untuk meraih kepercayaan mereka mengundi BN.
“Kita mempunyai beberapa pendekatan munasabah yang disesuaikan dengan situasi setempat. Kita yakin kaedah itu akhirnya akan menerobos minda kumpulan sasaran (golongan muda),” katanya.
Ahmad Zahid yang memangku tugas Timbalan Presiden UMNO berkata BN tetap berkeyakinan untuk mencapai kemenangan pada PRK 18 Jun ini dan parti itu memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan BN Selangor untuk memastikan kejayaan dapat dicapai.
“Kami yakin dengan kepimpinan BN Selangor pimpinan Datuk Seri Noh Omar dan jentera BN di sini. Apa yang penting sudah tentu jentera BN Sungai Besar perlu bekerja keras kerana mereka adalah jentera anak-anak tempatan di sini,” katanya.