Puteri UMNO Sungai Besar sudah bersiap bersedia untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) mengadapi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar yang akan berlangsung 18 Jun ini.
Ketuanya, Widia Wati Abuzar berkata, segala persediaan dan perancangan untuk menggerakkan anggotanya ke seluruh pelosok Parlimen Sungai Besar telah dilakukan dengan rapi.
Menurutnya, sebagai sayap parti, peranan Puteri UMNO ialah untuk membantu BN mengesan pengundi-pengundi muda di sini dan menerangkan pelbagai isu semasa yang mengelirukan mereka terutamanya dakyah-dakyah memburukkan Kerajaan Persekutuan oleh pembangkang.
“Setakat ini perancangan berjalan lancar. Walaupun kempen belum bermula secara rasmi, kita sudah melakukan kerja-kerja untuk mengesan dan berjumpa dengan para pengundi dari rumah ke rumah terutamanya wanita di bawah usia 42 tahun.
“Semua sayap Puteri di cawangan-cawangan UMNO dalam Bahagian Sungai Besar telah diberi taklimat mengenai gerak kerja untuk PRK ini. Kami telah bersedia 100 peratus untuk turun padang,” katanya penuh bersemangat.
Hari penamaan calon untuk PRK Parlimen Sungai Besar akan diadakan pada 5 Jun ini. Undian awal pula akan berlangsung pada 14 Jun.
Tambah Widia, gerak kerja Puteri UMNO Sungai Besar bukan setakat PRK sahaja kerana mereka telah bermula sejak pilihan raya umum yang lalu.
“Ini secara kebetulan sahaja. Oleh kerana Puteri UMNO sentiasa aktif turun padang berjumpa masyarakat di sini, sedikit sebanyak ia memudahkan lagi kerja-kerja kita.
“Sebagai contoh, kita sentiasa menziarah ibu-ibu muda yang bersalin di hospital setiap bulan. Selain mendapatkan data mereka, kita juga membantu apa yang patut untuk mereka,” katanya.
Widia yang namanya dikatakan turut tersenarai sebagai calon bertanding untuk PRK ini, bagaimanapun berserah dan bersedia untuk menerima siapa sahaja yang dipilih sebagai calon oleh pucuk pimpinan.
“Tiada isu mengenai siapa yang akan dipilih. Kita akur dengan keputusan pucuk pimpinan. Sudah tentu calon yang dipilih ini telah dikaji sedalam-dalamnya dan memenuhi kriteria yang diperlukan masyarakat di parlimen ini,” katanya.
Apa yang penting, menurut Widia, Barisan Nasional perlu bergerak dalam satu pasukan dan bersatu hati demi memastikan kemenangan BN dalam PRK ini.
“Kunci utama untuk meraih kemenangan pastinya bekerja dalam satu pasukan, bekerjasama, satu hati dan bulatkan tekad untuk mencapai objektif kita.” katanya lagi.