PUTRAJAYA: Artikel mengenai pembekuan kredit isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor oleh pihak berkuasa antarabangsa adalah fitnah dan pembohongan semata-mata, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak .
Beliau berkata laporan berita yang disebarkan di laman sosial dan aplikasi WhatsApp itu hanya bertujuan mencemarkan imej Rosmah dan keluarga perdana menteri. Katanya, artikel tersebut sebenarnya bersumberkan olahan daripada sebuah portal antarabangsa yang ditulis pada Julai 2016.
“Ternyata bahawa olahan portal tersebut merupakan fitnah semata-mata kerana sudah hampir setahun, masih belum ada apa-apa tindakan pembekuan kredit terhadap Datin Seri Rosmah Mansor,” katanya kepada Bernama hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyebaran berita palsu itu di laman sosial dan aplikasi WhatsApp.
Dalam pada itu, Salleh mengingatkan pemilik portal dan orang ramai bahawa tindakan menulis atau menyebarkan maklumat palsu dan berunsur fitnah merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia dah boleh dikenakan tindakan. - Bernama