Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang sebelum ini dikatakan telah membahagikan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri walaupun hakikatnya mereka belum menakluk Putrajaya.
Tanpa disedari sesiapapun, perjanjian sulit yang dibuat oleh dua 'dinasour' politik itu telah didedahkan oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dengan dakwaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan dinaikkan sebagai Perdana Menteri.
Pendedahan itu menyaksikan seolah-olah Kit Siang `terpukau' dengan aura Mahathir sehingga sanggup mengenepikan sekutu lamanya iaitu PKR untuk dibawa berbincang mengenai siapa yang paling layak bergelar Perdana Menteri dan timbalan jika mereka berkuasa di Malaysia.
Apabila perjanjian sulit ini mula bocor, maka 'kelam kabut' mereka berdua menepis dan menafikannya.
Namun hakikatnya, bagi PKR, tiada individu yang sesuai menjadi Perdana Menteri kecuali Anwar Ibrahim meskipun beliau kini berada di penjara atas tuduhan meliwat.
Ia ditegaskan oleh bendahari PKR, Dr. Tan Yee Kew yang mengingatkan sekutunya termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahawa tiada siapa yang layak kecuali Anwar.
``Siapa yang akan mengetuai PRU14? Memang terdapat perbezaan pandangan dalam pakatan pembangkang mengenai siapa yang akan mengetuai pada PRU14 dan calon Perdana Menteri.
``Namun parti komponen Pakatan Harapan telah sebulat suara membuat keputusan memberi sokongan kuat kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri pada Konvensyen Pakatan Harapan 2016,” dakwanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Nah, sekarang mana satu calon yang dipilih secara 'rasmi' bagi mewakili pembangkang? Sudah pasti suara Dr Tan itu mewakili suara Dr Wan Azizah Wan Ismail dan sekali gus Anwar secara rasmi adalah pilihan PKR.
Jadi di manakah kedudukan Dr. Mahathir sebenarnya? Beliau sebaliknya hanya sekadar 'melukut di tepi gantang' sahaja.
Dalam situasi ini, pembangkang harus sedar bahawa Dr. Mahathir sedikit demi sedikit telah mula 'hijack' hingga ke tahap beliau mahu menentukan siapa bakal Perdana Menteri. Mungkin tidak lama lagi Dr. Mahathir pula akan diangkat sebagai ketua pembangkang.
Tulisan :
Beruang Biru
BB304, Selasa
28 Februari 2017