Isu yang membabitkan kerajaan negeri Pulau Pinang yang kini ditadbir oleh DAP dan Lim Guan Eng, sentiasa tidak pernah surut dan aman. Pastinya ada sahaja isu dan skandal menyelubungi kerajaan negeri ini yang dilihat semakin hari semakin tidak telus dan penuh dengan pelbagai isu berbangkit yang tidak pernah dapat diselesaikan.
Terbaru, isu pembinaan jambatan ketiga yang menghubungkan antara tanah besar Semenanjung dengan pulau di Georgetown. Daripada tiada apa-apa isu berbangkit antara kerajaan negeri berkenaan dengan kerajaan pusat, secara tiba-tiba Guan Eng menuduh kerajaan pusat tidak meluluskan permohonan projek pembinaan jambatan ketiga berkenaan.
Semasa Persidangan DUN Negeri Pulau Pinang baru-baru ini, Guan Eng jelas tersepit apabila diasak oleh segenap penjuru berhubung projek terowong dasar laut yang dikatakan sedang dibina hari ini. Tidak tahu dari mana dia mendapat idea, secara tiba-tiba dia mendakwa kerajaan pusat enggan membenarkan pembinaan jambatan ketiga yang menurutnya cukup perlu untuk penduduk Pulau Pinang.
Sehari kemudian, Datuk Fadillah Yusof mengeluarkan satu kenyataan balas berhubung tohmahan yang dilemparkan Guan Eng terhadap kerajaan. Dalam kenyataan akhbar berkenaan, beliau jelas terkejut dengan dakwaan Guan Eng berkenaan kerana sepanjang yang beliau tahu, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak pernah mengemukakan sebarang cadangan, plan mahupun kertas kerja bagi pembinaan berkenaan.
Beliau hairan, bagaimana Guan Eng boleh mendakwa kerajaan dan Kementerian Kerja Raya tidak meluluskan pembinaan berkenaan sedangkan pihaknya langsung tidak dihubungi oleh kerajaan negeri untuk tujuan permohonan dan sebagainya.
Menariknya, dalam reaksi balas, Guan Eng tetap berkeras kononnya pihak kerajaan negeri telah menghantar kertas kerja pembinaan berkenaan kepada kerajaan pusat. Lebih menghairankan, Guan Eng mendesak kerajaan pusat meluluskan dahulu permohonan pembinaan berkenaan sebelum plan lengkap pembinaan jambatan berkenaan dihantar ke Kementerian Kerja Raya.
Adakah ini cara Guan Eng berurusan dengan kerajaan pusat? Menerusi rujukan yang dilakukan terhadap Kementerian Kerja Raya, sumber dalaman mengesahkan, tiada sebarang permohonan dilakukan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memohon peruntukan atau kelulusan bagi membina jambatan ketiga berkenaan.
Ini menunjukkan Guan Eng jelas cuba mengelirukan dan menipu rakyat Pulau Pinang dengan dakwaan yang jelas tidak berasas. Lebih menarik, seumpama seseorang itu harus melahirkan anak terlebih dahulu sebelum bernikah, itulah perumpamaan paling tepat apabila dia mendesak kerajaan pusat meluluskan dahulu cadangan berkenaan sebelum menyerahkan kertas kerja lengkap dan plan pembinaan berkenaan.
Tidak ada mana-mana kerajaan dalam dunia ini boleh bertindak seperti apa yang dimahukan Guan Eng. Individu yang mahu meminjam wang dari pihak bank sendiri perlu mengemukakan permohonan rasmi, bukan melalui kenyataan mulut dan sebagainya. Semua kementerian dibawah Kerajaan Pusat mempunyai Standard Operation Prosidure (SOP) yang cukup lengkap bagi menguruskan permohonan mana-mana pihak.
Kerajaan pusat bukan seperti ceti atau ah long yang boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan peruntukan tanpa meneliti terlebih dahulu keperluan dan kertas kerja yang dikemukakan. Mana mungkin Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang tidak mengetahui semua ini? Lawak apa yang sedang dicipta oleh Guan Eng di Pulau Pinang?