ORANG kuat Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Khairuddin Abu Hassan bakal menyertai DAP? Menurut sumber dalaman DAP, terdapat ura-ura mengatakan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bakal menyertai DAP dalam masa terdekat bagi membolehkannya menjadi calon untuk parti itu di kerusi Parlimen Batu Kawan pada pilihanraya umum yang akan datang.
Jika ura-ura ini benar, maka ia berkemungkinan besar akan menimbulkan pergolakan dalaman kepada DAP memandangkan Batu Kawan adalah kerusi tradisi DAP. Justeru akan timbul persoalan mengenai kewajaran seseorang seperti Khairuddin yang kesetiaannya boleh dipertikaikan diletak menjadi calon kepada DAP.
Khairuddin adalah bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan. Kerusi parlimen Batu Kawan ketika ini disandang oleh Kasthuriraani A/P Patto daripada DAP.
Kasthuriraani pada pilihanraya umum yang lalu menang dengan majoriti sebanyak 25,962.
Khairuddin sebelum ini pernah menyerang Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menggesa bekas Timbalan Perdana Menteri itu ‘membersihkan’ namanya daripada dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan wanita berkahwin.
Khairuddin berkata, ia berdasarkan dakwaan ahli pengasas parti, Anina Saadudin yang dilucutkan jawatan sebagai ketua Srikandi (wanita) kerana didakwa terbabit dalam skandal seks.
Sebelum ini juga pernah timbul desas-desus yang sama mengenai penyertaan Khairuddin ke dalam DAP berikutan kekecewaannya terhadap Muhyiddin yang didakwa mengenepikan ‘orang Mahathir’ dalam PPBM.
Sekiranya DAP memilih untuk menerima Khairuddin sebagai ahli dan seterusnya meletakkan beliau sebagai calon mereka pada pilihanraya umum akan datang, secara tidak langsung ia menunjukkan yang parti tersebut benar-benar berada dalam kedudukan terdesak serta ketandusan calon yang berwibawa untuk diketengahkan