Larian Bendera UMNO peringkat Zon Utara sempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO,
bermula di Perlis hari ini.
Larian yang disertai kira-kira 1,000 Pemuda UMNO bermula 2 petang di Padang Besar melalui Kangar, Arau
dan tamat di sempadan Perlis-Kedah di Kodiang kira-kira 6 petang.
Turut serta berlari dari Arau ke Kodiang hampir lapan kilometer ialah Setiausaha Kerja UMNO Perlis
Kamarudin Abdun dan Ketua Pemuda UMNO Perlis Syed Atif Syed Abu Bakar.
Di sempadan (Kodiang), Syed Atif menyerahkan bendera UMNO kepada Menteri Besar Kedah
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang menyerahkannya pula kepada Timbalan Ketua UMNO
bahagian Jerlun merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif
untuk meneruskan larian.
Kamarudin berkata cuaca panas tidak menjejaskan larian yang berlangsung dalam suasana penuh kemesraan
dan kekeluargaan UMNO.
"Larian ini adalah simbolik perjuangan 70 tahun UMNO ditubuhkan, bertujuan menyuntik semangat
Pemuda UMNO agar lebih mantap menghadapi ujian selain mengukuhkan perpaduan," katanya.
Larian peringkat Zon Pantai Timur juga bermula hari ini di Pangkalan Kubur, Kelantan dan berakhir
di sempadan Kelantan/Terengganu di Kuala Besut petang tadi.
- BERNAMA