Thursday 5 May 2016

BN Dijangka Dapat Tambahan Undi Popular Semua Kaum



KUCHING - Impak 'Adenan' akan menyaksikan lonjakan dalam undi popular daripada semua kaum untuk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu ini, menurut penganalisis politik.

Lebih banyak pengundi akan menyokong ketua menteri popular, Tan Sri Adenan Satem yang mengemudi BN buat pertama kali dalam pilihan raya negeri selepas mengambil alih kepimpinan negeri, dua tahun lepas.

"Sudah tentu, saya tidak mengharapkan sebarang penurunan seterusnya kerana 'deman dan aura' Adenan. Beliau telah menunjukkan beliau adalah seorang pemimpin bersifat rendah diri dan melaksanakan pembaharuan yang rakyat berpuas hati," kata pengulas politik, Dr Jeniri Amir.

"Sokongan untuk BN akan meningkat secara menyeluruh daripada empat kumpulan etnik utama walaupun daripada masyarakat Cina. Saya menjangka kenaikan sekurang-kurangnya enam peratus.

"Jika Adenan boleh meningkatkan undi popular terutama dalam kalangan masyarakat Cina maka ia adalah satu pencapaian yang besar," katanya.

Pada 2011, undi popular BN merosot kepada 55.4 peratus berbanding 61.8 peratus pada pilihan raya negeri 2006. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah satu-satunya parti komponen BN mendapat peningkatan undi popular.

BN akan terus mendapat sokongan baik daripada masyarakat Melayu-Melanau manakala undi popular kaum Dayak akan meningkat walaupun wujud masalah isu-isu tempatan dan calon, kata Jeniri.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka peratusan yang keluar mengundi Sabtu ini adalah antara 75 dan 80 peratus, penganalisis dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu meramal antara 70 dan 73 peratus.

"Tidak seperti landskap politik 2011, bukan banyak orang akan pulang untuk mengundi kerana tiada tentangan yang luar biasa terhadap BN. Berikutan faktor geografi, sebilangan orang mungkin tidak keluar mengundi di kawasan pedalaman," katanya.

Seorang lagi pemerhati politik berkata BN boleh mengharapkan lebih banyak undi daripada masyarakat Cina walaupun belum dapat dilihat sekiranya ia dapat mencetuskan peralihan sokongan kepada BN dalam beberapa kawasan.

"Sudah pasti, kerana populariti Adenan, akan ada peningkatan undi untuk BN. Berdasarkan bilangan hadirin pada majlis-majlis SUPP kali ini berbanding pilihan raya lepas, saya ramal undi popular kaum Cina akan lebih tinggi kali ini," kara Dr Lee Kuok Tiung.

Beliau menjangka peratusan pengundi keluar mengunfi adalah antara 70 dan 75 peratus.


- BERNAMA