Friday, 13 January 2017

Rakyat Dapat BR1M Dihina, Anak Dapat RM 700 Juta Didiamkan.


Wartawan Malaysiakini melaporkan bahawa Tun Mahathir telah mengeluarkan kenyataan bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M adalah salah di sisi undang undang dan agama, memberi maksud bahawa menerima BR1M seperti menerima rasuah.

Malah pernah sebelumnya Tun Mahathir telah mengeluarkan kenyataan supaya membatalkan skim BR1M ini.

Ini nilai kita sebagai rakyat, diperkotak-katik dan dihina oleh Tun Mahathir sehingga sanggup di label jika kita menerima BR1M seperti kita menerima rasuah, dan salah di sisi agama.

Mana mungkin BR1M salah di sisi agama, jika amalan berbentuk BR1M telah pun di amalkan oleh Khalifah Rasulillah iaitu Saiyidina Umar Al Khattab ketika beliau menjadi khalifah, ketika itu bantuan tunai seperti BR1M dinamakan “Skim Pencen Tahunan”. Skim bantuan tunai secara tahunan untuk rakyat yang mempunyai pendapatan yang sedikit. Boleh rujuk kepada kitab “Faslu Al-Khitab fi Shirati Amiril Mu’minin Umar Ibni Al-Khattab: Syakhshiyyatuhu wa Ashruhu”. Karangan Dr Ali Muhammad As-Shalibi.

Malah idea BR1M yang dicetuskan oleh PM Malaysia, DS Najib juga turut memenuhi tuntutan salah satu dari 5 tuntutan Maqasid Shariah dalam urusan penjagaan “al-mal” (harta) di dalam dimensi “perolehan dan pengembangan harta”. Ianya bersumberkan dalil pada ayat 7, surah al-Hasyr yang bermaksud:

“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.”

Dari aspek ekonomi pula, mengikut akhbar The Guardian, 35 pakar ekonomi British mengakui BR1M berupaya memberi manfaat dalam meningkatkan kekuatan ekonomi negara. Malah Thailand, Indonesia dan terbaru Arab Saudi juga akan melaksanakan bantuan tunai kepada rakyat bermula tahun ini.
BR1M Rasuah, “Bail Out” Untuk Anak Boleh Pula?

Wartawan The Wall Street Journal, Leslie Lopez telah melaporkan pada 9 March 1998, mengenai rancangan tidak masuk akal Petronas untuk mengambil alih syarikat bermasalah iaitu Konsortium Perkapalan yang dimiliki secara majoriti sahamnya oleh anak sulung lelaki Tun Mahathir iaitu Mirzan Mahathir sewaktu kejatuhan ekonomi Malaysia.

Laporan ini telah diperkukuhkan oleh “Jawapan Anwar Ibrahim Kepada Penyataan Belaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dibuat didalam Mahkamah Tinggi Malaya Di Kuala Lumpur, Dalam Wilayah Persekutuan, Malaysia. (Bahagian Sivil), Guaman Sivil No: S4-23-15-2006”.

Merujuk kepada nombor 14 (vi), Tun Mahathir telah mencadangkan agar Perbendaharaan menyediakan satu skim untuk “Bail Out” Konsortium Perkapalan milik Mirzan Mahathir yang hampir muflis. Anwar Ibrahim telah mengesyorkan bahawa permintaan Tun Mahathir boleh di penuhi jika Perbendaharaan memohon bajet sokongan untuk kelulusan Parlimen.

Kemudian pada awal tahun 1998, Tan Sri Hasan Merican, CEO Petronas telah berjumpa Anwar Ibrahim untuk menzahirkan bantahan beliau bersama Eksekutif Kanan lain terhadap cadangan Tun Mahathir menggunakan dana Petronas berjumlah lebih kurang RM700 juta tunai untuk di beri kepada anaknya, Mirzan Mahathir.


BR1M Tak Salah Di Sisi Undang Undang, Bantuan Tunai Untuk Mirzan Memang Salah.

Dalam kenyataan yang sama, Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa Tun Mahathir telah menyalahguna kuasanya sebagai PM Malaysia untuk mengarahkan Petronas memberikan bantuan tunai melalui Konsortium Perkapalan menurut S.3(2) dan (3) Petroleum Development Act 1974.

Ini hakikat yang berlaku, jangan terkejut jika ada penyokong Tun Mahathir meminta kita buat laporan supaya siasatan boleh di buat terhadap “Kenyataan Balas Anwar Ibrahim”.

Saya malas hendak berjawab balas dengan mereka, kerana mereka telah meletakkan Tun Mahathir sebagai seorang yang maksum dan tidak sesekali pernah melakukan kejahatan.

Sudah sampai masanya mereka pula beramai ramai menyaman Anwar Ibrahim jika dia menipu dalam “Jawapan Balas” yang dibuat oleh beliau di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur pada 2006.

Apa yang lebih penting adakah kita sebagai rakyat begitu hina jika menerima BR1M berbanding anak Tun Mahathir, Mirzan Mahathir yang menerima RM 700 juta?.

Related Posts: