Friday 6 May 2016
Hanya BN Jamin Pembangunan Dan Perpaduan Negara - Najib
By @MNA at 21:58:00
BAU - Keharmonian antara pelbagai kaum, agama dan budaya di Sarawak tidak wujud dengan sendiri tetapi hasil daripada dasar perpaduan yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hanya kerajaan BN mampu meneruskan keunikan ini melalui dasar kesederhanaan dan progresif.
Beliau berkata mandat pada pilihan raya negeri Sarawak esok adalah untuk meneruskan keharmonian yang unik di Bumi Kenyalang.
"Kita percaya kepada konsep perpaduan dalam kepelbagaian untuk semua kumpulan etnik di negeri ini. Kita sayang rakyat dan negeri Sarawak," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Redeems Centre, Singai, kira-kira 30km dari Kuching, hari ini.
Beliau berkata rakyat Sarawak harus sedar bahawa hanya BN sahaja boleh membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan di negeri ini.
Najib juga mengingatkan rakyat Sarawak agar menolak pembangkang yang masih belum tentu membawa arus pembangunan.
Pada majlis itu, perdana menteri meluluskan RM5 juta untuk menaik taraf Jalan Sibuluh-Serikin.
Selepas majlis, Najib menunaikan solat Jumaat dan solat hajat di Masjid Nurul Ashiqin di Kampung Lidah Tanah, Batu Kitang, kira-kira 40km dari Kuching.
Berucap selepas bersolat, Najib berkata pengundi Sarawak perlu bijak memilih pemimpin pada pilihan raya negeri itu dan langkah silap akan menimbulkan masalah dan kesan terhadap keharmonian dan perpaduan kaum dan agama di negara ini.
- BERNAMA