Friday, 6 January 2017

BR1M Bantu 7 Juta Penerima Penuhi Keperluan Asas Dan Manfaat

Image result for br1m 2017

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) memberi manfaat kepada lebih tujuh juta rakyat, terutama golongan miskin, dalam mengurangkan beban isi rumah, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata golongan berpendapatan rendah menggunakan wang tersebut untuk membeli keperluan asas seperti beras.

“BR1M membantu golongan yang benar-benar miskin, mereka amat berharap pada BR1M. Mereka menunggu BR1M yang akan diagih Februari ini untuk mengurangkan beban isi rumah mereka,” katanya dalam sidang media mengenai bantuan itu di Perbendaharaan, di sini hari ini.

Sambil menggesa semua pihak tidak mempolitikkan BR1M, Mohd Irwan Serigar berkata:”Apabila anda menarik balik BR1M, anda menafikan hak golongan miskin dari segi kos sara hidup mereka.”

“Dari satu segi anda mengkritik kos sara hidup dan dari segi yang lain pula anda mengkritik BR1M. Saya tidak faham,” katanya, menambah rungutan tentang BR1M itu dibuat oleh golongan kaya.

Mohd Irwan Serigar berkata kajian terbaharu oleh Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati 83.4 peratus responden dalam kalangan golongan berpendapatan rendah B40 yang disoal selidik sangat bersetuju supaya BR1M dikekalkan.

Katanya kajian itu kini pada peringkat semakan dan akan diumum kepada orang ramai dalam masa terdekat.

Beliau berkata kajian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia jelas membuktikan rasionalisasi subsidi pukal harus dibuat supaya subsidi diberi kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Katanya sebelum BR1M diperkenalkan, golongan profesional termasuk daripada Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Bank Negara Malaysia berpendapat satu mekanisme baharu perlu dilaksana untuk meringankan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah.

Mohd Irwan Serigar berkata ketika BR1M mula diperkenalkan pada 2012, bantuan itu mendapat sambutan daripada golongan berpendapatan rendah selain dipuji oleh institusi antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan sedang berusaha menjadikan BR1M sebagai bayaran pendahuluan membeli Proton Iriz oleh penerima yang tidak mempunyai kenderaan, untuk membantu mereka menjana pendapatan tambahan menerusi penawaran perkhidmatan seperti Uber.

Katanya pembaharuan itu yang akan dilaksana tahun ini, membolehkan penerima beranjak daripada golongan B40 kepada berpendapatan sederhana M40.

“Rundingan sedang diadakan dan Proton mungkin akan memberi diskaun sebanyak RM4,000 dan sebagainya untuk mereka (penerima BR1M) memiliki kereta.

“Pemandu Uber yang sambilan sahaja boleh mendapat pendapatan RM4,000 hingga RM7,000 sebulan,” katanya.

BR1M 2017 akan dibayar secara berperingkat sebanyak tiga kali pada Februari, Jun dan Ogos.-UmnoOnline

Related Posts: