KUALA LUMPUR - Jabatan Penerangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan siri jelajah di kesemua negeri-negeri untuk bertemu rakyat dan pimpinan masyarakat di peringkat akar umbi untuk memperjelaskan isu-isu berhubung dasar-dasar negara, ekonomi dan juga isu-isu semasa, demikian menurut Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa.
Menurut beliau, program siri jelajah penerangan yang bakal dilaksanakan bermula 7 Oktober ini sehingga akhir November akan melibatkan , ahli-ahli parlimen, ahli-ahli majlis tertinggi, anggota kabinet dan juga Barisan Nasional Backbenchers Club.
“Kita meramalkan menjelang belanjawan dan menjelang sidang parlimen yang akan datang, banyak sekali isu-isu yang menyentuh dasar negara, yang menyentuh tentang keadaan ekonomi negara dan dasar-dasar belanjawan serta dasar dan program kerajaan yang mesti disampaikan kepada masyarakat dan rakyat.Ia bertujuan agar rakyat dapat memahami segala rancangan-rancangan yang diwujudkan oleh kerajaan.
“Jadi untuk memastikan perkara itu sampai secara terus daripada ahli parlimen sendiri yang terlibat dalam perdebatan di dewan negara, dan juga daripada ahli-ahli majlis tertinggi sendiri yang terlibat dalam membuat dasar-dasar ini.
“Selain daripada mereka berbicara dan memberikan kenyataan pada media, kita mahu mereka turun ke akar umbi ke seluruh negara untuk memberikan penjelasan, dan juga mengadakan dialog untuk mengutip maklum balas dari rakyat tentang perkara-perkara yang berbangkit nanti,” jelas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.
Kata Annuar lagi, sehubungan dengan itu Jabatan Penerangan UMNO Malaysia telah mengatur sebanyak 14 program di seluruh negara bermula dari Perlis sehingga ke Sabah.
“Sehubungan dengan itu, ahli-ahli parlimen, BN BBC, ahli majlis tertinggi, anggota kabinet akan diminta untuk turun secara lansung ke peringkat akar umbi bagi memberikan penerangan face to face dan dapat memberikan penjelasan dengan lebih jelas kepada rakyat.
“Saya harap dengan pendekatan seperti ini, selain daripada menggunakan media massa, ianya dapat memberikan mesej kerajaan dan penjelasan berhubung program kerajaan kepada rakyat dengan lebih dekat dan terus daripada mereka-mereka yang terlibat,” ujarnya.- MediaUmno