Wednesday 23 March 2016

Pulau Pinang Perlu Ambil Iktibar Daripada Kesilapan Singapura

senarai kampung yg akan lenyap di Pulau Pinang

PULAU PINANG – Kerajaan DAP Pulau Pinang dan pihak berkuasa tempatan (PBT) diingatkan supaya mengambil iktibar terhadap kesilapan dilakukan kerajaan Singapura yang melupuskan penempatan awal dan kampung-kampung tradisi di negara itu bagi tujuan pembangunan.

Menurut Pensyarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, ekoran kesilapan itu, kerajaan Singapura ketika ini mula memberi perhatian untuk mengembalikan nilai sejarah di tapak-tapak warisan yang telah dimusnahkan.

Sedangkan, kata beliau, usaha itu bukan sahaja sudah terlambat dan sia-sia kerana nilai warisan yang hilang tidak mungkin boleh dikembalikan, malah merupakan pembaziran wang dan masa di­sebabkan melibatkan kos yang tinggi.

Sehubungan itu, beliau mengi­ngatkan apa yang berlaku di negara jiran berkenaan tidak mustahil berlaku di negeri ini sekiranya fokus menyelamatkan kampung-kampung tradisi dan penempatan awal di negeri ini tidak dianggap penting.

“Singapura menghapuskan kampung-kampung tradisi yang wujud di negara itu semata-mata memberi laluan kepada projek pembanggunan yang mana pada akhirnya pemerintahnya sedar mereka kehilangan jejak sejarah sendiri.

“Kita patut belajar daripada kesilapan Singapura itu dan mengambil contoh negara-negara lain se­perti di Eropah yang begitu menjaga warisan-warisan mereka,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi penyelidik USM, Prof. Emeritus Dr. Omar Farouk Sheikh Ahmad berkata, pemantauan pihaknya mendapati, penghapusan kampung-kampung dan penempatan tradisi di negeri ini mendatangkan impli­kasi buruk terhadap kelangsungan hidup masyarakat.

Menurutnya, setiap kampung tradisi itu mempunyai identiti dan nilai sejarah tersendiri yang pasti­nya berbeza dari segi cara hidup serta amalan masyarakatnya.

“Jadi pembangunan moden yang menolak serta mengabaikan aspek-aspek ini akan turut menyebabkan corak hidup masyarakat turut le­nyap bersama kampung-kampung mereka,” katanya.

Sementara itu, pensyarah pusat penyelidikan sama, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Mohd. Noor Merican berkata, kajian pihaknya ketika ini menunjukkan sekurang-kurangnya 28 buah kampung di Pulau Pinang dikenal pasti berdepan ancaman penghapusan ketika ini.

Menurut beliau, kampung-kampung itu masih boleh diselamatkan sekiranya pihak berwajib turut melihat kepentingannya dari nilai sejarah berbanding keuntungan pembangunan komersial semata-mata.

“Adakah pihak berkuasa me­lakukan perkara yang betul atau sebaliknya dalam merancang pembangunan sehingga kini dan jika begitu, mengapa 28 buah kampung ini menjadi mangsa dan diancam?,” katanya.

Menurut beliau, penghapusan kampung-kampung tradisi itu perlu diketahui bukan sekadar menghilangkan warisan yang ada tetapi turut membunuh gaya hidup serta norma masyarakat.

“Negeri ini akan hilang sejarah­nya jika kampung-kampung asal se­perti Kampung Batu Uban, Jelutong dan Sungai Pinang lenyap kerana di sini bermulanya pembukaan penempatan awal negeri ini,” katanya. – Utusan