Tuesday 22 March 2016

Video: Pemuda UMNO Kena Ikut Cakap Saya, Kata KJ


KUALA LUMPUR – Semua ahli Pemuda UMNO ‘diharamkan’ menyertai mana-mana himpunan demonstrasi jalanan pada 27 Mac ini, tegas Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin.

Beliau juga memberi amaran mana-mana ahli Pemuda yang terlibat bakal berhadapan dengan tindakan disiplin parti.

“Tidak boleh, untuk ahli kita mereka tidak bebas melakukan apa yang mereka mahu. Mereka harus ikut cakap saya.

“Jika Pemuda ikut sertai Deklarasi Rakyat atau apa-apa gerakan, mereka akan berhadapan dengan tindakan disiplin parti,” katanya dalam sidang media selepas menandatangai perjanjian bersama Might Meteor di Ibu Pejabat UMNO, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, rakyat Malaysia bukan ahli Pemuda UMNO bebas untuk menyertai sebarang demonstrasi asalkan tidak menyalahi undang-undang.

“Ini adalah negara yang bebas mereka boleh buat apa sahaja, asalkan jangan menyalahi undang-undang.

“Jika mereka menyalahi undang-undang, mereka harus menanggung akibatnya,” katanya.


Mengulas lanjut, Khairy tegas menyatakan bahawa Pemuda UMNO menolak Deklarasi Rakyat kerana ia bertentangan dengan Demokrasi Berparlimen.

“Kita mengamalkan Demokrasi Berparlimen, yang ditentukan melalui Pilihan Raya Umum (PRU). Bukannya melalu pungutan suara, pungutan tandatangan, sidang akhbar atau apa. Mandat yang penting adalah PRU,” katanya.

Bekas menteri kabinet, Datuk Zaid Ibrahim akan menganjurkan himpunan berbentuk forum pada 27 Mac bagi mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Beberapa pemimpin termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah menyatakan kesediaan untuk hadir di perhimpunan itu selain beberapa pemimpin pembangkang. – FMT

~SuaraTv