Wednesday 23 March 2016

Duta China puji kepimpinan pentadbiran Najib


Kepimpinan dan pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mentadbir negara telah mendapat pujian dari Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang.

Memetik laporan The Star, semenjak memegang jawatan sebagai duta pada Januari 2014, Dr Huang telah menghadiri pelbagai majlis pelancaran projek ikonik, termasuk pelancaran Jambatan Kedua Pulau Pinang, Pusat Pemuliharaan Panda Gergasi di Zoo Negara dan Forest City, di Johor.
Menurut beliau, kesemua projek-projek berkenaan telah memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara Malaysia dan China, terutama sekali kepada ekonomi tempatan.

"Kami sangat berterima kasih kepada Najib.

"Saya percaya, di bawah kepimpinan anda (Najib) akan ada banyak lagi pelaburan dari China dan projek-projek ikonik dengan kerjasama China pada masa akan datang," ujarnya.

Dr Huang berkata demikian semasa majlis pengumuman oleh China Railway Group Ltd menandakan pusat serantaunya dalam Bandar Malaysia yang akan dibina tidak lama lagi. 

Syarikat China tersebut yang merupakan salah sebuah syarikat milik kerajaan terbesar di China juga komited untuk menarik lebih banyak syarikat di negara itu untuk turut serta dalam projek ini. 

Turut dilaporkan, beliau memuji pelan kerajaan Malaysia yang bercita-cita tinggi untuk menjadikan Bandar Malaysia sebagai sebuah pusat ekonimo antarabangsa dan mercu tanda baru yang juga berfungsi sebagai pintu masuk utama bagi Kuala Lumpur dalam perkhidamatan kereta api berkelajuan tinggi denagn kerjasama Singapura.

Dr Huang juga memuji visi dan keazaaman Perdana Menteri untuk menarik rakan kongsi global terkemuka untuk menubuhkan pejabat serantau di Bandar Malaysia.

"Saya menjangka Malaysia akan menjadi salah satu daripada pusat-pusat ekonomi dinamik yang terbaik di dunia dan terus menarik syarikat multinasional, termasuk syarikat-syarikat dari China," katanya sambil mengakui bahawa Malaysia merupakan rakan dagang terbesar China di Asean selama lapan tahun berturut-turut. 

Tambah beliau, banyak peluang-peluang besar di Malaysia, dari segi insfrastruktur, pembinaan, teknologi hijau serta kewangan.