KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam.
Pegawai khas Tun Mahathir, Sufi Yussof ketikadihubungi SuaraTV berkata saman tersebut difailkan oleh Tetuan Hanif Khatri di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 10.31 pagi tadi.
Sementara itu menurut penguam kepada bekas perdana menteri itu, Haniff Khatri saman tersebut untuk memohon perintah mahkamah agar mengisytiharkan Najib mengambil tanggungjawab terhadap salah-laku tort misfeasance dalam jawatan awam atau kemungkiran fidusiari dalam jawatan awam yang dilakukan olehnya.
Selain Mahathir, plaintif lain adalah bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
“Ketiga-tiga Plaintif (bersama dengan 42 yang lain) telah menjadi perintis satu Deklarasi Rakyat menuntut perletakan jawatan Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia di atas tindak tanduk sengaja Najib Razak untuk mencampuri, menghalang dan menindas siasatan berhubung alegasi tentang salah laku kewangan berkaitan 1MDB (dan syarikat-syarikat lain yang berkaitan) berserta kemasukan dana dalam anggaran USD700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi bank Najib Razak (“skandal tersebut”).
“Tindakan ini adalah berhubung dengan tort misfeasans dalam jawatan awam dan tort kemungkiran fidusiari dalam jawatan awam yang dilakukan oleh Najib Razak lanjutan amalan korup dalam pengambilan langkah-langkah aktif dan sengaja dengan niat jahat dan mala fide untuk menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri yang telah dikelolakan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang dan badan-badan berkanun berhubung dengan alegasi skandal tersebut” katanya melalui kenyataan yang dihantar sebentar tadi.
Menurut Haniff lagi, Najib adalah merupakan defendan tunggal dalam tuntutan itu dan ketiag-tiga plaintif akan, mengadakan satu sidang akhbar khas dalam masa terdekat berhubung perkara ini.
“Ketiga-tiga Plaintif menyatakan bahawa tidak ada mana-mana saluran undang-undang lain yang wujud melainkan untuk Plaintif-Plaintif memohon bantuan Mahkamah Yang Mulia untuk mengakaskan penghancuran kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang mana Najib Razak telah menghapuskan ke tahap hampir tidak boleh diperbaiki.
“Ketiga-tiga Plaintif juga percaya bahawa mereka akan dengan rela mengharungi keperluan pembuktian kes terhadap Najib Razak sehingga ke tahap Najib Razak perlu menghadapi kesemua akibat yang perlu berhubung mesfeasans dan salah lakunya” katanya lagi.
Ketiga-tiga plaintif adalah sebahagian daripada gerakan Deklarasi Rakyat untuk menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri. – SuaraTV.