Wednesday 23 March 2016

Lim Guan Eng Tolak Saranan Bercuti Sementara Ketika Siasatan Dijalankan

isu banglo lim guan eng & tanah taman manggis


GEORGETOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata hari ini beliau tidak nampak sebarang sebab beliau perlu bercuti ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadapnya.

“Saya tidak nampak mengapa perlu bercuti kerana dakwaan yang terang-terang palsu terhadap saya,” katanya dalam satu kenyataan yang dicatat dalam Facebooknya.

Guan Eng menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi hasil siasatan SPRM atau ke atas Peguam Negara, yang mempunyai kuasa pendakwaan sepenuhnya.

Katanya, beliau telah juga menyatakan akan memberi kerjasama penuhnya kepada SPRM dan berharap siasatan yang adil, bebas dan profesional dijalankan.

“Saya serahkan kepada SPRM menjalankan siasatan dan akan meminta mereka menyiapkannya dengan segera agar nama saya dan nama kerajaan negeri dibersihkan,” katanya.

Media hari ini menyebut Presiden Majlis Peguam Malaysia, Steven Thiru antara mereka yang mencadangkan Lim bercuti, sehingga siasatan SPRM terhadap pembelian banglo RM2.8 juta oleh Lim, yang mencetuskan kontroversi selesai.

Isnin lalu, Pemuda PAS Pulau Pinang turut menggesa Lim bercuti. Sementara itu, Lim mendakwa beliau sentiasa menjalankan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang berdasarkan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT). 

– BERNAMA