Thursday, 4 August 2016

Najib Ingatkan Jemaah Haji Patuhi Langkah Keselamatan Tambahan Di Tanah Suci

pm2

PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan bakal jemaah haji tahun ini untuk mematuhi langkah keselamatan tambahan yang dijangka dilaksanakan kerajaan Arab Saudi.

Katanya susulan insiden keganasan di Masjid Nabawi, Madinah, pada bulan Ramadan lalu, kerajaan negara itu telah mewujudkan langkah keselamatan yang tertentu khususnya kepada para jemaah.

“Saya telah diberitahu kerajaan Arab Saudi akan kenakan beberapa langkah keselamatan tambahan termasuk mengimbas 10 jari secara biometrik.


“Jemaah wanita pula dikehendaki memakai gelang yang mengandungi cip keselamatan,” katanya semasa berucap pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata jemaah haji juga perlu melalui mesin pengimbas keselamatan di pintu masuk hotel selain mendapat taklimat keselamatan daripada petugas Tabung Haji di Arab Saudi.

Najib berkata pelaksanaan langkah-langkah itu tidak dapat dielakkan demi menjamin keselamatan para jemaah.

“Sejak muktahir ini banyak negara yang telah menjadi sasaran serangan pengganas. Oleh itu marilah kita semua terutama jemaah haji mendoakan kesejahteraan negara dan semasa berada di Tanah Suci,” katanya.

Perdana Menteri turut meminta jemaah haji untuk menjaga imej dan nama baik Malaysia.

Katanya Raja Arab Saudi, sama ada yang dahulu atau sekarang, kerap memuji sikap dan disiplin yang ditunjukkan jemaah Malaysia.

Najib berharap jemaah haji Malaysia mengambil iktibar daripada pelaksanaan haji yang mengumpulkan jutaan umat Islam dari pelbagai negara.

Menurutnya, perhimpunan terbesar ini mengajar umat Islam untuk bersabar, bertoleransi dan berkasih-sayang tanpa mengira warna kulit, bahasa, adat resam dan budaya.



“Sifat mahmudah ini dapat menghindarkan umat Islam daripada sebarang permasalahan serta mencari jalan keluar yang terbaik,” kata Najib.

Beliau juga harap umat Islam di Malaysia terus bersatu hati tanpa melihat kepada sebarang perbezaan yang boleh memecah-belahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Pada majlis itu Perdana Menteri mengucapkan selamat jalan kepada 450 jemaah haji yang merupakan kumpulan kedua yang akan berlepas ke Arab Saudi musim ini.

Turut hadir pada majlis itu isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Duta Arab Saudi ke Malaysia Datuk Fahad Abdullah Al-Rashid dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.-Bernama

Related Posts: