Tuesday 23 February 2016

Laporan Akhir Ketua Audit Negara Mengenai 1MDB Ditangguh, Jangka Dibentang Awal Mac

Hasan-Ariffin-PAC-1MDB

KUALA LUMPUR – Laporan Akhir oleh Ketua Audit Negara terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan pembentangannya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) esok telah ditangguhkan.

Pengerusi PAC, Datuk Hassan Arifin yang mengumumkan perkara itu menjelaskan penangguhan tersebut susulan kebanyakan ahli PAC mempunyai urusan di luar negara termasuk ada yang sedang mengerjakan umrah.

“Pembentangan Laporan Akhir Pengauditan Ketua Audit Negara Terhadap 1MDB yang dijadualkan pada 24 Februari (Rabu) dan 25 Februari (Khamis) ini ditangguhkan.

“Penangguhan dibuat memandangkan kebanyakan ahli PAC berada di luar negara, ada yang menunaikan umrah serta ada yang mempunyai komitmen penting,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu beliau menjangkakan tarikh baru pembentangan laporan akhir itu mungkin diadakan sekitar minggu pertama bulan Mac ini.

“Adalah penting untuk semua ahli PAC hadir bagi mendengar pembentangan laporan akhir pengauditan Ketua Audit Negara Terhadap 1MDB berkenaan,” ujarnya lagi - BERNAMA