JAKARTA - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa kalangan dunia Islam agar menyenaraikan kekuatan masing-masing yang boleh dijadikan loncatan bagi memperluaskan kemampuan serta jangkauan mereka.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12 yang sedang berlangsung di sini, sebagai permulaan yang baik serta menjadi platform bagi negara-negara berkenaan memperluaskan rangkaian mereka.
Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia di akhir lawatan kerja tiga hari beliau ke Jakarta bagi menghadiri Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-11 serta Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-12.
"Saya juga memaklum kepada mereka yang hadir dalam forum ini bahawa kita perlu senaraikan kekuatan negara-negara Islam yang mungkin boleh dipertimbangkan oleh negara-negara Islam lainnya," kata Najib.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata WIEF sebagai forum, juga terbukti mencapai banyak kejayaan.
"Ia merupakan satu platform yang boleh mengetengahkan kejayaan negara-negara Islam. Malaysia juga tidak terkecuali kerana ia sudah dikenali sebagai peneraju dalam perbankan kewangan Islam," katanya.
Najib turut berkongsi contoh kejayaan syarikat-syarikat Malaysia lain seperti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang juga pemilik penuh dan pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, Turki.
Selain itu, tiga syarikat besar negara iaitu Sime Darby Bhd, I&P Group Sdn Bhd dan SP Setia (Indonesia) Sdn Bhd juga telah bekerjasama dengan PT Hanson International Tbk membangunkan sebanyak 40,000 unit rumah mampu milik di Indonesia, kata Perdana Menteri.
Mengulas rundingan dua hala bersama pemimpin beberapa negara sempena Forum WIEF ke-12 itu, Najib berkata kesemua ketua negara berkenaan menyuarakan hasrat untuk meneruskan kerjasama serta meningkatkan pelaburan dengan Malaysia.
Perdana Menteri sebelum ini telah meluangkan masa menerima kunjungan Presiden Republik Tajikistan Emomali Rahmon, Presiden Republik Guinea Prof Alpha Conde, Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Shriyan Wickremesinghe, Timbalan Perdana Menteri Jordan Dr Jawad Al Anani dan Menteri Ekonomi dan Perdagangan Qatar, Sheikh Ahmed Jassin Al Thani.
Menyentuh pertemuannya dengan Emomalii Rahman, Prof Alpha Conde dan Dr Jawad Al Anani, Najib berkata ketiga-tiga pemimpin berkenaan memaklumkan mengenai peluang pelaburan di negara masing-masing dan berharap melihat lebih ramai pelabur Malaysia ke sana.
"Guinea mahu kita meninjau (peluang) sumber mineral mereka sementara pemimpin Sri Lanka pula mahu Malaysia meningkatkan dagangan dan seterusnya mewujudkan Majlis Perniagaan Sri Lanka-Malaysia.
"Begitu juga dengan Jordan yang mahukan lebih banyak interaksi serta kerjasama ekonomi (dijalinkan)," kata Najib.
Sheikh Ahmed Jassin pula mahu perbincangan mengenai perjanjian jaminan yang masih dalam peringkat perundingan, disegerakan.
"Menurut Sheikh Ahmed, sekiranya dikuatkuasakan dengan segera, lebih banyak peluang pelaburan boleh dilakukan," kata Najib.
Dalam pertemuan dengan pemimpin Qatar itu, Perdana Menteri turut menyentuh peluang menyertai pembangunan infrastruktur berkaitan pembinaan stadium bersempena penganjuran temasya bola sepak Piala Dunia 2022.
"Saya memaklumkan kepada beliau mengenai kemungkinan syarikat-syarikat Malaysia dipelawa bagi menyertai proses tender antarabangsa membabitkan pembinaan stadium itu," katanya.
Pada masa sama, kata Perdana Menteri, Qatar turut meminta Malaysia memberi sokongan kepada kepada pencalonan negara itu bagi jawatan Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). - Bernama